Setelah berlalu lima kurun, nah lihatlah apa yang terjadi pada penyatuan orang Melayu hari ini? Adakah kebarangkalian terbentuk coalition baharu berdasarkan teras Melayu-Islam dan bumiputera?

AHMAD FARIS ABDUL HALIM
AHMAD FARIS ABDUL HALIM 

Kita orang Melayu tentu sekali berharap pemimpin-pemimpin Melayu berlapang dada dan berjiwa besar demi masa depan anak bangsa seperti mana dilafazkan oleh Allahyarham Dr. Burhanuddin.

Sebagai orang yang kaya pengalaman dan masak sepak terajang politik, elok kiranya Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memulakan inisiatif penyatuan Melayu sejajar dengan penguasaan dalam segala sumbernya.

Alangkah indahnya beliau dapat duduk semeja bersama pemimpin-pemimpin utama Melayu yang lain khususnya Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketepikanlah perbezaan pendapat. Letakkan kepentingan Islam dan Melayu atas segala-galanya.

Penulis cukup yakin Dr. Mahathir pun sudah nampak apa yang berlaku kebelakangan ini yang terbukti ‘belang’ DAP dan Dong Zong. Apabila sudah mendapat sedikit kuasa dengan jawatan enam menteri, ketara sungguh ‘lagu’ mereka.

Persoalan dan kebimbangan ini dibangkitkan bukan masalahnya kita orang Melayu rasis. Tetapi semua ini diperjuangkan demi menjaga hak-hak dan kepentingan Melayu-Islam dan bumiputera.

Tidak mahulah apa yang berlaku di Singapura berulang di negara ini.

Lihatlah Geylang Serai yang dahulunya merupakan kampung Melayu kini menjadi pusat tarikan pelancongan yang hanya mempamerkan rumah-rumah tradisional orang Melayu. Nilai orang Melayu di republik itu bertukar dari penduduk asal kepada etnik ‘eksotik’.

Orang Melayu lama pasti tidak lupa dengan kampung Melayu yang sudah pupus seperti Kampung Glam. Selepas kemenangan PAP (People’s Action Party) diketuai Lee Kuan Yew pada tahun 1959, Housing Development Board (HDB) yang diperkenalkannya setahun kemudian benar-benar mengubah polisi perumahan di Singapura.

Hasilnya kini kebanyakan kawasan perumahan terancang di negara itu didiami lebih 80 peratus orang Cina. Selebihnya kaum Melayu dan India.

Di Amerika Syarikat, kaum asalnya, Red Indian apa sudah jadi? Takkanlah bila nasi sudah jadi bubur, baru tersedar dari lena. Abaikanlah DAP, Parti Amanah Negara dan sebilangan mereka dalam PKR sebab kita sudah tahu mereka siapa?

Belang mereka ini semakin terserlah. Apabila seorang ahli perniagaan menghentam tentera kita hanya ‘makan dan tidur’, pemimpjn Parti Amanah diam seribu bahasa. Hanya beberapa hari baru Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bersuara. Itupun kelihatan buat-buat tak faham dengan mengalih tajuk, mengaitkan isu itu dengan perkauman.

Perkembangan mutakhir ini yang menimpa nasib orang Melayu seolah-olah menjadi ‘api dalam sekam’ yang berisiko sebagai ‘bom jangka’ jika tidak dikekang. Tidak perlu menjadi duri dalam daging terhadap masa depan Melayu.

Ini tidak, bila dua menteri DAP menghentam penceramah antarabangsa, Dr. Zakir Naik, dua lagi menteri dari Bersatu dan Amanah cepat-cepat menyokong mereka. Kita jangan peduli lagi dengan ‘gunting dalam lipatan’ ini.

Hakikatnya Anwar hendak jadi Perdana Menteri pada bila-bila masa pun boleh. Jika dulu Pas meletakkan dua syarat, tanpa DAP dan Presiden PKR itu untuk parti itu menerima bakal PM-8, kini tidak lagi selepas menetapkan ‘cuma tanpa DAP’.

Adakah Anwar menolak tuah dengan nekad meninggalkan rakan-rakan DAP nya serta mereka dalam Amanah yang oportunis?

Dan daripada Dr. Mahathir menjadikan DAP sebagai rakan kongsinya, mengapa tidak dibuang dendam itu dengan duduk semeja bersama pemimpin-pemimpin parti Melayu yang lain.

Sebagai kompromi untuk transisi sementara (peralihan kepimpinan), barangkali Tengku Razaleigh Hamzah boleh bertindak sebagai caretaker memandangkan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu diterima banyak pihak.

Kalau boleh kita tidak mahu melihat hanya UMNO dan Pas menandatangani piagam muafakat pada 14 September depan

Mana kelibat yang lain? Bukankah indah sekali ia disertai Parti Bersatu selain Parti Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)?

Kata orang - jangan ada had limit untuk melihat penyatuan Melayu-Islam terlaksana.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.