Kesusasteraan kita sudah mantap sejak lama baik kesusasteraan tradisional mahupun moden. Karya hasil penulisan bersifat kesenian mampu dijadikan medium ampuh membentuk saling pemahaman masyarakat tentang aspirasi kehidupan, kemanusiaan dan nilai-nilai indah yang sedia dimiliki bersama.

Kesusasteraan hasil cipta seni kreatif. Setiap kelompok masyarakat menggemarinya. Kanak-kanak pelbagai kaum di negara kita mengenali kesusasteraan melalui pelbagai bentuk penulisan. Puisi dan prosa serta lirik-lirik nyanyian mampu menarik minat dan pembacaan.

Minat ini berkembang. Meningkat remaja, pelajar di sekolah diperkenalkan dengan pelbagai cabang karya lagi, belajar menggunakan simpulan dan peribahasa dalam penulisan karangan. Mereka memahami maksud penggunaan tidak terkecuali mempraktikannya dalam kehidupan.

Syarahan, pidato dan seumpamanya menuntut anak-anak kita pelbagai kaum menggunakan bahasa yang indah, tepat dan berfungsi. Antara lain dikutip daripada karya-karya kesusasteraan yang diperkenalkan. Pantun dan syair digunakan dengan berkesan sekali. Taburan karya yang meluas melalui subjek kesusasteraan Melayu dan komponen kesusasteraan dalam subjek Bahasa Melayu sebenarnya mengeratkan lagi hubungan mereka dengan teks kesusasteraan.

SAHSIAH

Karya sastera milik semua lapisan dan kelompok masyarakat. Masyarakat Melayu terkenal dengan cerita-cerita rakyatnya, demikian Iban dan Kadazandusun yang kaya dengan tradisi lisan hebat. Melalui sastera lisan, yang kemudian menjadi bahan bacaan setelah dibukukan, mampu memberi gambaran akan nilai hidup masyarakat yang mendukungnya.

Ia tidak terkecuali tradisi masyarakat lain, India dan Cina menggunakan kisah-kisah yang sesetengahnya sangat universal sifatnya untuk pembentukan pekerti dan sahsiah. Aspek bahasa merupakan aspek yang lain lagi. Ia penting sebagaimana seni lukis, muzik dan sebagainya yang merupakan unsur universal mudah diterima.

Anak-anak kita (generasi) perlu membesar berlandaskan nilai hidup yang positif dan mulia. Karya kesusasteraan menawarkan dengan sangat pelbagainya keperluan ini. Kebaikan, kebijaksanaan, hormat-menghormati, kesepakatan, jalinan kerjasama, tentang budi yang dipancarkan melalui karya sastera menjadi cerminan hidup kita semua. Karya kesusasteraan juga mudah diterima dan cepat meresap.

Banyak nilai mulia kehidupan yang dicambahkan dalam karya. Sebuah lagu kanak-kanak yang ringkas sekalipun pasti mengisikan pupukan nilai positif. Ini akan membekas di hati sanubari. Sudah tentulah ia membentuk idealisme yang berguna di dalam diri. Setiap orang gemar kepada kebaikan, cenderung pula berbakti kepada masyarakat selain untuk diri. Banyak karya kita, puisi, cerpen, novel dan drama, dahulu dan kini, mampu membawa kita ke kejernihan fikiran yang semakin pudar dari peradaban!

Selain unsur penceritaan menarik, karya kesusasteraan menawarkan diskusi yang bermakna. Remaja bahkan orang dewasa juga sewajarnya menjadikan teks kesusasteraan sebagai ruang diskusi yang menjernihkan kemanusiaan. Karya membicarakan sisi-sisi kehidupan dan kemanusiaan dengan halus. Masyarakat, kelompok atau bangsa apa pun pasti berhadapan konflik, berusaha mencari titik temu, tekun membina pengertian untuk dijadikan pegangan. Ini semua mendorong ke arah kebijaksanaan.

Sesebuah cerpen ataupun novel bukan sekadar cerita. Baik anak-anak kita yang masih kecil, remaja atau kita yang sudah dewasa sentiasa tertarik untuk meninjau segala sisi kehidupan yang digarap. Guru di sekolah menggunakan peristiwa tertentu, episod dan segmen-segmen di dalam cerpen dan novel ini untuk dibincangkan, selanjutnya dikaitkan dengan kehidupan nyata. Kenegaraan, kemanusiaan bahkan hal-hal sejagat turut disentuh dan dianalisis.

KESUSASTERAAN MENGKHAYALKAN?

Di sini pentingnya karya kesusasteraan. Masyarakat di negara kita memerlukan sastera. Membaca sepotong cerita rakyat Kadazandusun umpamanya, boleh memberi kita pemahaman tentang nilai masyarakat ini. Kita barangkali boleh mengetahuinya melalui saluran lain, akan tetapi melalui penghayatan dalam teks kesusasteraan, ia mendalam. Ia kukuh bermakna.

Masyarakat India mengagungkan Ramayana , contoh yang lain, kita sukar memahaminya mengapa. Dengan membaca penuh penghayatan, dapat kita telusuri falsafah teksnya. Di sinilah impak mendalam yang ditinggalkan karya-karya kesusasteraan.

Demikian masyarakat Cina dengan pelbagai falsafahnya. Sekarang banyak buku klasik Cina diterjemah ke bahasa kita.

Penggunaan bahan kesusasteraan di dalam kurikulum pendidikan umumnya disambut baik oleh semua. Pelajar menggemari penggunaannya. Di peringkat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) suatu ketika dahulu, modul yang diperkenalkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Penghayatan Seni Budaya diakui sangat berjaya membentuk nilai murni dalam kalangan pelatih. Pelatih rata-rata menyukainya. Semangat patriotisme dapat dibentuk melalui pemahaman puisi, yakni karya sastera melalui lakonan dan deklamasi. Ia berkesan dalam menipis sikap prejudis, menolak elemen prasangka dan menghapuskan jurang kekeliruan antara kaum yang merugikan usaha penyatuan bangsa serta menebalkan patriotisme.

Akan ada yang berpandangan kesusasteraan hanya merugikan, membuang masa dan terlalu tebal unsur khayalan. Siapakah dalam kalangan kita yang tidak berkhayal atau mencipta impian-impian di dalam hidupnya? Karya sastera bukan khayalan kosong melainkan berasas kerana bersandarkan realiti di sekeliling, pengalaman dan kebijaksanaan juga. Kebijaksanaan ini dizahirkan melalui manipulasi kreatif yang ada sehingga karya menarik pembacaan.

Lautan Gaudi, sebuah novel karya pengarang Jepun mengisahkan tentang impian seekor penyu raksasa di akuarium terkemuka di Tokyo yang ingin kembali semula ke lautan tidak boleh dilihat khayalan liar. Ia berupaya menyinggung. Mensensitiviti dan kesedaran kita tentang alam, sikap manusia dan bagaimana setiap yang hidup mengejar impian.

Sastera memberi hiburan juga. Kadang-kadang agak bertentangan, seseorang tanpa ragu menyatakan tidak menyukai kesusasteraan tetapi meminati lirik nyanyian sambil terpukau oleh bahasanya yang indah, mesej positif disalurkan dan gambaran perasaan yang digarap. Tanpa disedari dia sedang mengapresiasi satu cabang kesenian sastera.

Kesimpulannya, teks kesusasteraan membentuk pemahaman kita tentang manusia, aspirasi kehidupan dan nilai wajar kita perkasakan guna membangunkan kesatuan yang harmonis, yang dalam konteks negara kita ia menyumbang kepada penjanaan persefahaman serta perpaduan utuh!

DR. LIM SWEE TIN ialah sasterawan dan pejuang bahasa.