Tip untuk menjadikan kehidupan ini bahagia, ceria dan bermakna.

Pertama, belajar untuk tenang dan rehat-rehatkan minda dengan cara duduk bersendirian di dalam bilik untuk merenung dan bermuhasabah diri. Iaitu dari segi ilmu metafizik disebut, melihat ke dalam diri kita. Cari di mana kekurangan diri yang perlu diperbaiki dan di mana kebaikan perlu dipertingkatkan.

Kita selalu beranggapan bahawa seseorang itu akan bahagia jika dikelilingi oleh orang yang tersayang. Tanpa mereka kita akan berasa sunyi, tetapi percayalah sesekali diri ini perlukan situasi berseorangan untuk tujuan menenangkan, merehatkan dan berfikir tentang diri serta mengkhususkan masa untuk Ilahi, Tuhan yang mencipta manusia. Dengan cara ini barulah kita sedar bahawa kebahagiaan yang dicari sebenarnya bukan untuk duniawi semata-mata, tetapi kebahagiaan yang hakiki ialah kebahagiaan hidup di alam akhirat. Jom audit diri dan berikanlah keutamaan masa untuk persediaan hidup di alam kekal dengan syurga menjadi matlamat. Maka manfaatkan masa untuk mencari kebahagiaan di akhirat, bukan leka menghabiskan masa memenuhi keperluan hidup di dunia sahaja.

Kedua, gunakan kaedah ‘senaman cermin minda’, yakni secara metafizik. Gunakan otak atau minda untuk membuat keputusan hidup sama ada untuk bahagia atau derita. Jika sudah bahagia di dunia, adakah telah memadai kebahagiaan itu untuk hidup yang sementara ini? Bayangkan apa yang hendak dijadikan fokus pada masa akan datang, dengan tengok melihat kebolehan diri sendiri (refleksi diri). Gambaran dalam fikiran itulah kehidupan kita.

Batasan pemikiran seseorang pada sesuatu masa dipengaruhi oleh pengalaman. Apa-apa yang terkandung dalam ‘minda sedar’ iaitu apa yang difikirkan, akan terkandung juga dalam minda segar atau minda bawah sedar (roh), yang 95 peratus menentukan kehidupan seseorang. Dalam tubuh manusia mempunyai sel aktivasi.

Otak mempengaruhi emosi. Sebenarnya apa yang dilihat bukan dengan mata tetapi melihat melalui mata dengan hati dan otak kita.

Ketiga, gunakan konsep pemikiran ‘Reset Minda’. Konsep pemikiran ‘Reset Minda’ ialah sains kehidupan yang mengikut sunatullah, yakni undang-undang alam yang dibuat oleh Allah SWT. ‘Reset Minda’ memandu arah bagaimana seseorang itu berfikir dan bagaimana kita beremosi apabila berhadapan dengan sesuatu situasi. Kalau fokus kepada perkara yang baik atau positif insya-Allah kita akan dapat perkara yang baik sahaja. Masalahnya, ramai individu hanya fokus kepada perkara negatif, maka mengikut sunatullah kesusahan dan musibah pun datang. Kalau hidup seseorang memang sudah sedia berada dalam keadaan negatif, maka bertambah-tambah negatif atau buruk hidup yang perlu dilalui.

‘Reset Minda’ ialah konsep pemikiran bagaimana mengubah cara untuk melihat sesuatu kejadian dan peristiwa yang terjadi ke atas kita. Kalau sesuatu kejadian itu menyedihkan, terimalah ia sebagai satu ujian daripada Allah dan kita reda. Sebaliknya jika peristiwa gembira yang hadir dalam hidup, terimalah sebagai satu rahmat daripada Allah dan bersyukur bahawa apa yang diperoleh itu bukan kerana kehebatan kita, tetapi kurniaan Allah Yang Maha Berkuasa.

Dengan kedua-dua cara ini, kita akan menjadi seorang yang tabah dan tidak riak, malah akan sentiasa merendah diri (bukan merendah hati). Memegang resmi padi ‘semakin berisi semakin tunduk menyembah bumi’, bukan seperti lalang ‘mencanak ke langit tinggi kosong tidak berisi’.

Cakap yang baik-baik sahaja dan fikir yang baik-baik. Kerana kata-kata ialah doa dan tindakan Allah berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita. Jika bersangka baik maka baiklah jadinya, sebaliknya jika bersangka buruk maka buruklah jadinya. Oleh sebab itu dalam konsep pemikiran ‘Reset Minda’ disarankan kita menjaga tiga perkara. Pertama, kata-kata yang keluar dari mulut kita.

Kedua, kata-kata yang berkisar dalam minda kita. Ketiga, kata yang berbolak-balik dalam hati kita. Pastikan semuanya kata-kata itu, yang positif, dan jangan ada sama sekali kata-kata negatif.

Hal ini adalah sangat penting kerana, dalam Islam kata-kata itu adalah satu doa. Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran atau sangkaan kita. Kalau baik, baiklah yang kita dapat, demikianlah sebaliknya. Oleh itu bersangka baiklah dengan Allah. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.