Perjalanan itu juga mengkehendakkan jemaah haji Malaysia menerima seadanya apa jua risiko, sama ada ia rendah mahupun tinggi, lebih-lebih lagi apabila dikaitkan dengan istilah spiritual journey.

Sebab itulah cabaran ke Tanah Suci ini tidak bermula semasa jemaah haji melangkahkan kaki mereka ke Mekah mahupun Madinah, sebaliknya ‘pembersihan hati’ bermula sejak di tanah air lagi.

Ketua Pakar Rujuk Ibadah Haji 1438 Hijrah, Datuk Wan Mohamad Aziz dalam penjelasan berkaitan cabaran haji ini menyatakan, di tanah air keinginan memuncak itu mula timbul dengan azam yang tinggi untuk ke Ta­nah Suci.

Pada masa itu, mereka mestilah sudah bersedia dari segi mental dan jiwa bahawa cabaran pasti ada sama ada hal itu diduga dengan cara kecil atau luar jangka.

“Kita bimbang jika kita dalam kategori yang mampu menunaikan salah satu Rukun Islam ini tetapi tidak menyempurnakan, kita bagaikan ‘hidup tidak sempurna.

“Bagi yang tidak mampu, cabarannya ialah dia ber­usaha untuk meletakkan diri dalam kategori orang yang mampu,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Malaysia di Mekah.

Dalam soal itu, Wan Mohamad memberitahu, berapa ramai jemaah haji yang sampai ke Tanah Suci berada dalam kategori tidak layak dan tidak mampu, akhirnya mereka menjadi orang berkemampuan.

“Ya, mereka menabung. Maknanya mereka sudah ada niat untuk ke Tanah Suci dan merindui untuk datang ke sini (Mekah),” jelasnya.

Cabaran lain yang perlu dihadapi jemaah haji ialah soal menunggu giliran kerana menjadi ‘dhuyufurrahman’, mereka terikat dengan prosedur dan perbanyakkanlah bersabar.

Dalam penekanan lain, Wan Mohamad menyatakan cabaran untuk menunaikan ibadah haji ini mestilah mempunyai keazaman yang kuat untuk sanggup dan sudi belajar dengan ibadah haji.

“Bagaimana satu ibadah penting, rukun yang pen­ting, kita boleh laksa­nakan tanpa asas ilmu. Seharusnya jemaah haji bersedia untuk menguruskan diri agar ada azam untuk mempunyai ilmu dalam penyempurnaan ibadah ini,” katanya.

Perlu dinyatakan bahawa benar Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak meletakkan syarat untuk hadir kursus ibadah haji dan atas sebab itu, ada yang memilih untuk tidak mahu mengikuti kursus ini.

Tetapi akibatnya perlulah ditanggung sendiri oleh jemaah haji yang ‘degil’ ini kerana melakukan ibadah tidak sempurna kerana tidak mempunyai ilmu.

Kata Wan Mohamad lagi, di Tanah Suci pula cabarannya lagi tinggi. Menjadi ‘dhuyufurrahman’, seseorang itu merasakan ‘taraf’ begitu tinggi, mulia tetapi dia lupa bahawa  jemaah haji perlu menghormati dua Tanah Suci ini, Mekah dan Madinah, lebih-lebih lagi apabila berada dalam ihram.

“Saya yakin kemabruran itu ada kaitan dengan ­keterbukaan hati untuk kita melihat dan merasai kepelbagaian di Tanah Suci ini, lebih-lebih lagi bila gerakan ke masya’ir, hari talbiah, hari Arafah, berkumpul di Mina dan menyempurnakan segala rukun berbaki di Mekah,” jelasnya.

Sifat mengambil mudah ilmu ini, memberi impak kepada kemabruran haji sedangkan mereka telah berazam untuk mendapatkan haji mabrur.

“Untuk mendapat haji mabrur, selain menguruskan diri, kita juga perlu menguruskan akal untuk mendapatkan ilmu yang memadai dan beramal dengannya,” tegasnya.

Mengulas lagi cabaran itu, beliau berkata, ibadah haji ini adalah untuk melembutkan hati-hati yang keras dan menetapkan jiwa kepada yang satu. Jika amalan seseorang itu diterima, pulanglah jemaah haji ‘bagaikan seorang bayi yang baru dilahirkan ibunya’.

Pada masa sama juga, cabaran itu turut mempunyai hubung kait dalam soal keinginan memiliki sesuatu.

“Jemaah haji harus memfokuskan kepada ibadah. Bukan bermaksud mereka tidak boleh melakukan perkara lain yang tiada kaitan langsung dengan haji mahupun umrah.

“Memang hati kita terpaut dan rindu sayang serta kasih kepada kaum kerabat, saudara mara, jiran, sahabat dan taulan untuk membawa balik cenderamata. Itu bagus kerana ia satu sunnah juga.

“Harus diingatkan, kalau kita hendak membeli-belah di kota mana sekali pun, itu boleh dilakukan. Tetapi mereka tidak boleh melakukan ibadah di kota lain me­lainkan dua kota ini iaitu Mekah dan Madinah,” katanya.

Maknanya, jemaah haji perlulah fokus kepada ibadah. Kerana itu lebih ‘aulia’ (utama). Benar, yang lain itu ada ganjaran tetapi bukanlah sesuatu yang sama sehingga menjejaskan agenda utama.

Wan Mohamad menasihatkan jemaah haji agar tidak terikut-ikut dengan amalan jemaah dari negara lain ­kerana dibimbangi apa yang mereka lakukan itu tidak ada asas.

“Bukan itu sahaja, yang lebih bahaya jika perkara yang dilakukan itu menyalahi syarak. Jika kita berpegang kepada asas ilmu, Insya-Allah selamat. Jika ada keraguan dan kesamaran, janganlah segan atau malu untuk me­rujuk kepada pembimbing ibadah haji,” katanya.

Maka dalam rumusan cabaran ibadah haji ini, Wan Mohamad menyatakan, jika jemaah haji itu tidak mampu menguruskan semua cabaran ini, mereka tidak dapat memperoleh status ‘bayi yang suci bersih’ atau pun haji mabrur.

Apa pun semua itu terserah kepada Allah SWT menentukan kerana Allah lebih mengetahui dalam segala hal.