TAJUDDIN: Ya, satu himpunan akan diadakan di Pekan Rabu, PT.6 Labu Kubong, Teluk Intan dalam kawasan Parlimen Pasir Salak pada 30 Ogos ini melibatkan tiga program serentak bermula pukul 10 malam.

Tiga program itu adalah Sambutan Merdeka, Himpunan Melayu Bangkit dan Perpaduan Ummah. Himpunan ini bersempena genap setahun “Himpunan Melayu Bangkit” di Pasir Salak yang berlangsung 1 September 2018. Itu merupakan detik permulaan kebangkitan orang Melayu selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Himpunan Perpaduan Ummah pula bermula di Kampung Gajah, Pasir Salak pada 17 November 2018 yang juga sudah hampir setahun serta satu lagi program di ambang sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 (Hari Kebangsaan 2019).

Kita ambil kesempatan menyambut Hari Kebangsaan kali ini untuk meneruskan gerakan kebangkitan orang Melayu dan juga menyatukan ummah. Semua bernama Melayu yang mempunyai semangat kebangkitan Melayu dan ummah dijemput hadir.

Antara aturcaranya Datuk Seri?

Pada hari berkenaan (malam 30 Ogos), selain ceramah, ada pidato. Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dijemput menyampaikan syarahan perdana kemerdekaan. Beliau akan menjadi pemidato utama bersama seorang lagi pemimpin Pas sama ada timbalan presiden atau salah seorang pemimpin kanan parti itu.

Juga berlangsung persembahan kumpulan kebudayaan dan muzik tradisional. Kita hendak hidupkan semula detik-detik bersejarah perisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957 oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) disaksikan Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan dan rakyat jelata. Persembahan pentomin detik-detik bersejarah ini akan dilakonkan semula oleh pemimpin-pemimpin UMNO bahagian.

Nostalgia hari kemerdekaan ini penting dihidupkan semula supaya rakyat khususnya generasi muda dapat mengingati kembali sejarah bangsa rakyat Malaysia merdeka setelah kehilangan kuasa dijajah selama 400 tahun. Mengenai kebangkitan Melayu yang telahpun berdetik sejak program 1 September tahun lepas, kita tak mahu kebangkitan itu hanya sementara, tetapi terus bangkit. Ini disebabkan banyak lagi halangan dihadapi orang Melayu masa ini. Ia seterusnya akan menjurus perpaduan Melayu yang dibawa dalam himpunan perpaduan ummah.

Apa yang mendorong usaha mengadakan himpunan kali ini?

Kita bersyukur ke hadrat-Nya kerana memberikan hidayah kepada orang Melayu dan bumiputera untuk bersatu sejak 17 November tahun lalu apabila menyedari bahawa ummah khususnya Melayu telah hilang kuasa dengan maruah diperlekehkan selepas BN-UMNO kalah 9 Mei 2018.

Meskipun kita bersyukur kerana perpaduan ummah telah pun disambut baik di seluruh pelosok tanah air, dengan diperhatikan program-programnya diadakan setiap malam di tempat-tempat diterajui UMNO-Pas disertai NGOs dan orang tidak berparti, nampaknya rakyat menyokong agenda kebangkitan Melayu dan perpaduan ummah ini.

Program 30 Ogos ini untuk menyedarkan orang Melayu supaya terus bangkit sehingga PRU-15. Ini supaya kita dapat membina dan membentuk kekuatan politik yang boleh menebus semula kekalahan kita. Rakyat juga sepatutnya menyokong agenda ini kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini merupakan kerajaan yang gagal. Iaitu bukan sahaja gagal membela umat Melayu Islam tetapi juga gagal dalam membangunkan ekonomi. Kejatuhan ekonomi nampaknya semakin teruk yang menjejaskan kebajikan rakyat berbilang kaum. Dengan itu agenda kita adalah untuk mengembalikan semula kerajaan yang disokong oleh semua rakyat berbilang kaum. Bukan saja orang Melayu yang terkesan dengan PH ini tetapi bukan Melayu juga terjejas. Ekonomi merudum. Hubungan antara berbilang kaum tegang.

Sesiapa sahaja boleh hadir dalam himpunan nanti?

Apa yang kita buat ini bukan untuk orang Melayu dan bumiputera sahaja tetapi demi perpaduan semua kaum. Mahu tidak mahu harus diakui kesatuan Melayu memberi kestabilan pada politik dan ekonomi negara seperti mana terbukti dari rekod-rekod kerajaan terdahulu BN memerintah yang diterajui UMNO. Agenda kebangkitan Melayu dan perpaduan ummah ini adalah agenda nasional. Maksudnya, agenda yang baik untuk rakyat Malaysia. Ini bukan agenda perkauman tetapi agenda baik untuk rakyat Malaysia berbilang kaum.

Harapan pada himpunan 30 Ogos ini?

Kita seru sebagai tanda sokongan kepada agenda ini, semua ahli dan pemimpin UMNO-Pas serta badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan sesiapa saja yang bernama Melayu dan rakyat Malaysia semua kaum untuk hadir meramaikan himpunan ini.