Sebilangan kes dagangan orang dalam (insider trading) yang telah dibicara dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, merupakan kes duluan atau precedent yang dicapai oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam usahanya untuk menegakkan integriti pasaran saham dan mengukuhkan standard tadbir urus peserta pasaran dengan menjangkakan tatalaku pada tahap tinggi daripada mereka yang diberi tugas fidusiari seperti pengarah, pegawai dan para profesional syarikat tersenarai.

Di bawah Seksyen 188 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), kesalahan dagangan orang dalam boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

Sejak tahun lalu, SC beroleh pencapaian penguatkuasaan penting dalam dua kes dagangan orang dalam di mahkamah jenayah dan sivil. Ini merupakan kali pertama SC memperoleh kemenangan di mahkamah bagi kes dagangan orang dalam selepas perbicaraan penuh hukuman penjara telah dikenakan.

#Kes Thai KS

Dalam kes jenayah ini, Datuk Seri Stanley Thai Kim Sim (Thai KS), bekas Ketua Pegawai Eksekutif APL Industries Berhad (APLI) dan bekas remisier Tiong Kiong Choon (Tiong KC), didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan dagangan orang dalam.

Pada 24 November 2017, Thai KS dihukum penjara lima tahun dan denda RM5 juta manakala Tiong KC dihukum penjara lima tahun dan denda RM10 juta.

Thai KS telah disabitkan kesalahan kerana menyampaikan maklumat material bukan awam antara 26-29 Oktober 2007 kepada Tiong KC. Tiong KC pula telah disabitkan dengan dua kesalahan kerana menjual sejumlah 6,208,500 saham APLI ketika memiliki maklumat material bukan awam yang sama melalui akaun milik ibu dan ibu mentuanya.

Ketika menjatuhi hukuman jenayah, Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Zulqarnain Hassan memutuskan bahawa hukuman pencegahan patut dikenakan kerana kesalahan dagangan orang dalam dianggap lebih serius daripada jenayah konvensional.

Memandangkan kesan negatifnya terhadap keyakinan pelabur dan orang ramai secara keseluruhannya dan menyatakan, “Dagangan orang dalam merupakan jenayah ekonomi kolar putih moden. Ia adalah serius dan berada dalam kategori atau kelasnya yang tersendiri”.

#Kes Lim Chiew

Kes kedua pada 28 September 2017, di Mahkamah Tinggi sivil, Hakim mendapati SC telah berjaya membuktikan kes dagangan orang dalam terhadap Lim Chiew (Lim), bekas pengarah bebas Magnum Corporation Bhd.

Saman sivil terhadap Lim adalah berkaitan dengan aktiviti dagangan orang dalam apabila dia memperoleh 590,000 saham Bolton Bhd. (Bolton) ketika memiliki maklumat material bukan awam.

Maklumat material tersebut adalah berkaitan dengan cadangan pengambilalihan oleh Bolton terhadap 30.3 peratus kepentingan dalam Magnum daripada Multi-Purpose Holdings Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Hajah Azizah Haji Nawawi memerintahkan Lim membayar sejumlah RM1,242,061.08, yang merupakan tiga kali jumlah keuntungan yang diperolehnya daripada dagangan orang dalam. Di samping itu, Mahkamah juga memerintahkan Lim membayar SC penalti sivil sebanyak RM50,000 serta kos sebanyak RM75,000.

#Kes Tan Bee Geok
 /Bee Hong

Paling terbaru bulan lalu dan denda terbesar dalam sejarah, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan masing-masingnya denda RM7 juta seorang terhadap bekas pengarah eksekutif APL Industries Bhd (APLI) Datin Seri Tan Bee Geok dan saudara perempuannya Tan Bee Hong atas kesalahan dagangan orang dalam.

APLI merupakan sebuah syarikat di bawah kumpulan syarikat Supermax Corporation Bhd, dalam industri sarung tangan getah.

Tan Bee Hong telah disabitkan dengan kesalahan dagangan orang dalam kerana didapati telah menjual sebanyak 350,000 saham APLI ketika memiliki maklumat material bukan awam.

Saudara perempuannya, Tan Bee Geok, yang ketika itu merupakan pengarah eksekutif APLI yang bertanggungjawab ke atas kewangan syarikat, telah disabitkan kesalahan kerana menyampaikan maklumat bukan awam tersebut kepadanya antara 23 Oktober 2007 dan 31 Oktober 2007.

Tan Bee Geok telah memaklumkan kepada saudara perempuannya mengenai pelarasan audit yang dicadangkan oleh juruaudit APLI, yang menyebabkan APLI melaporkan kerugian yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007 berbanding dengan keputusan suku tahun keempat belum diaudit yang dilaporkan sebelumnya bagi tahun kewangan yang sama.

Kedua-dua beradik tersebut dibicarakan bersama dalam satu perbicaraan penuh, melibatkan 13 orang saksi pihak pendakwaan dan empat saksi pihak pembelaan.