Tetapi, kisah misteri tersebut dianggap tidak mustahil kerana kerajaan awal itu dahulu dipercayai berasal dari India dan berpegang kepada agama Hindu.

Justeru, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman mengakui terdapat banyak cerita misteri berkaitan dengan sejarah di Beruas.

“Saya terpanggil untuk membuat penyelidikan di Beruas selepas banyak dakwaan penemuan artifak oleh penduduk tempatan mengenai Kerajaan Beruas dan Gangga Negara.

“Dalam masa yang sama, saya turut mendengar kisah mistik di Beruas termasuklah dikatakan wujud sebuah keranda emas dekat kawasan Ulu Licin.

“Namun, apabila saya bersama rakan penyelidik lain pergi ke sana untuk membuat ekskavasi, memang tak ada pun keranda emas. Saya anggap ia sebagai satu kisah misteri yang diceritakan penduduk,” katanya.

Sementara itu, terdapat pelbagai kisah misteri lain termasuklah cerita seorang ‘penjaga’ tasik.

Menurut seorang penduduk, Ariffin Mahmud, dahulu ada kolam di belakang sebuah sekolah dan dikatakan ‘berpenjaga’ kerana penduduk sering ternampak kelibat seorang puteri di kolam itu.

“Orang cakap puteri tersebut adalah Puteri Cindra Dewi, berasal dari Gangga Negara,” ujarnya.