Boleh dikatakan semua firma publik yang dimodali majoriti oleh kerajaan mengguna bahasa Inggeris dalam segala hal; sedikit-sedikit sahaja dalam bahasa Melayu. Memanglah janggal. Majoriti ahli lembaga pengarah adalah terdiri daripada orang Melayu. Sebaliknya, sebuah badan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka mempunyai beberapa orang ahli lembaganya yang terdiri daripada mereka yang tidak berminat atau tidak tahu langsung tentang perihal bahasa dan sastera. Mereka dimasukkan ke situ atas wibawa jawatan mereka di tempat lain.

Sejak beberapa minggu lepas terdapat liputan yang agak menumpat di media tentang penulisan, bahasa, sastera dan sasterawan. Walaupun bukan satu kekerapan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tersenyum lebar merestui wang RM5,000 sebulan untuk barisan sasterawan negara. Penulis novel, cerpen apalagi sajak tidak boleh hidup dari hasil karya sebab pembaca agak terbatas bilangannya, apalagi kebanyakan mereka tidak sanggup membayar harga karya yang kosnya rata-rata tinggi.

Apabila terlintas rujukan Sasterawan Negara, saya didatangi rasa kebanggaan. Ini kerana usul yang dikemukakan ke atas untuk memulakan anugerah sastera datangnya dari Persatuan Penulis Nasional, pendeknya PENA, pada tahun 1977 ketika saya menjadi Presidennya. Pemilihan saya ke jawatan itu ditautkan dengan satu resolusi teras oleh mesyuarat agung PENA bahawa kepimpinan saya harus menggubal dan mengemukakan resolusi itu ke atas.

Ketika ia diperkatakan dalam mesyuarat agung, juga tertera dalam minit mesyuarat, jelas sekali maksudnya bahawa sudah sampai masanya Hadiah Sastera digantikan dengan Anugerah Sastera. Jika Hadiah Sastera dibuat sebagai testimoni galakan kepada bakat-bakat yang sedang menaik, maka Anugerah sastera bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah membuktikan bakat mereka dalam pengkaryaaan: novel, cerpen, sajak, skrip lakonan pentas dan lain-lain lagi.

Ainon Muhammad selaku Setiausaha PENA menunjukkan inisiatif yang baik ke arah itu walaupun agak kritis tentang idea itu. Jelas sekali, usul itu senang diterima. Selang tidak berapa lama, Kamaludin Muhammad (Keris Mas) dan Usman Awang berupa penerima awal anugerah ini.

Tidaklah saya tahu bilakah masanya penerima anugerah itu dipanggil Sasterawan Negara. Sahabat mesra saya, Datuk A. Samad Said, memikul gelaran ini agak lantang, satu kebanggaan yang dikecapi di atas junjungannya. Mengguna frasa Inggeris, he is very honest about that.

Menoleh kepada Hadiah Nobel sebagai satu perbandingan, Anugerah Sastera patut diluaskan kepada penulisan selain daripada genre yang disebutkan di atas. Ambil Sir Winston Churchill, tokoh Inggeris dalam kepimpinan Perang Dunia Kedua. Karya beliau selepas perang itu ialah berbentuk sejarah dan biografi. Beliau dianugerahkan Hadiah Nobel 1953 dalam kesusasteraan kerana kemampuan beliau dalam penulisan begitu.

Untuk itu, Ernest Hemingway terpaksa menunggu setahun lagi, 1954, untuk mengecapi hadiah itu. Untuk di sini, penulisan berbentuk sastera itu memanglah menjadi asas untuk penganugerahan, namun pencapaian penulisan berbentuk lain, biarpun dalam bahasa Inggeris yang sudah lain penyifatannya (bukan lagi manifestasi nasionalisme Melayu yang ketat), harus diambil kira sebagai satu weightage.

Pada 1967 saya pergi ke persekitaran pejabat PM Tunku Abdul Rahman kerana ingin menengok usungan ‘keranda 152’. Ia melambangkan kebimbangan perjuangan bahasa Melayu yang mungkin berkubur, digerakkan oleh pegawai-pegawai Dewan Bahasa.

Fasal 152 perlembagaan ialah fasal bahasa dan hak pribumi dalam perlembagaan. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan rasmi, boleh dieja menurut ejaan yang diluluskan oleh parlimen. Sepuluh tahun selepas merdeka 1957, ertinya 1967, bahasa Inggeris di parlimen digantikan dengan bahasa Melayu. Mahkamah boleh berbahasa Inggeris jika pihak pendakwa dan didakwa bersetuju . Pun begitu, bahasa-bahasa lain tidak boleh ditahan pemakaiannya.

Fasal ini juga memantapkan hak pribumi dalam pendidikan dan kemudahan berniaga. Namun kemudahan bukan pribumi tidak boleh dikurangkan tetapi boleh ditambah. Apakah yang sudah jadi sejak itu? Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi masih belum bertapak kukuh. Kelowongan ekonomi antara pribumi dan bukan pribumi makin melebar. Liku Berkarang dan Ranjau Sepanjang Jalan.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.