KBN 2018 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan penutup oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika KBN 2018 dilaksanakan, seluruh rakyat Malaysia khususnya bumiputera telah dicanangkan bahawa KBN akan menjadi platform kepada usaha Kerajaan untuk membentuk agenda pemerkasaan bumiputera yang baharu.

Kongres ini juga merupakan inisiatif serta libat urus Kerajaan dengan pelbagai pihak berkepentingan bumiputera bagi menyuarakan pandangan dan idea baharu secara konstruktif serta mengenal pasti bidang fokus pertumbuhan baharu untuk diceburi oleh Bumiputera.

Saya sendiri adalah salah seorang daripada enam orang peserta kongres (daripada 4,000 peserta jemputan terhad) yang terpilih untuk berdialog secara terus dengan Perdana Menteri. Fokus isu saya ketika itu adalah pemerkasaan sistem pendidikan terutama pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Malah, sebelum acara sebenar KBN 2018 pada 1 September 2018, saya turut menyertai sesi pra-kongres masa depan bumiputera dan negara 2018 (bidang fokus: Pendidikan dan modal insan), pada 28 Ogos 2018, di PICC, Putrajaya.

Pada 1 September 2019, genaplah setahun KBN 2018. Saya bertanya kepada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera yang telah menyertai kongres tersebut secara serius pada tahun lalu. Kebanyakan mereka juga seperti saya yang tidak mengetahui apakah hasil kongres tersebut. Tiada sebarang sesi perbincangan dan aktiviti kesinambungan untuk menjayakan resolusi KBN 2018.

Dalam memperkasa agenda bumiputera, kebanyakan NGO telah membandingkan kongres kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, khususnya UMNO.

Menurut NGO-NGO ini, setidak-tidaknya UMNO dahulu menampakkan keseriusan mereka dengan mewujudkan pelbagai aktiviti susulan bersama kumpulan pakar dan NGO bumiputera melalui kumpulan kluster atau kumpulan fokus.

Maka hasilnya juga dapat dilihat dengan pantas, dalam tempoh setahun melalui kewujudan pelbagai insentif Bumiputera dalam pelbagai bidang, tanpa takut untuk disebarkan juga menerusi media.

Saya sendiri yang menyuarakan isu pendidikan mendapati banyak yang mendesak untuk golongan bumiputera khususnya berkaitan TVET yang semakin membimbangkan kerana gagal ditangani dengan baik.

Contohnya, kejatuhan jumlah pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) juga amat membimbangkan iaitu daripada 80,000 persijilan pada tahun 2017, menurun kepada 59,000 pada tahun lalu dan dijangka lebih teruk pada tahun ini yang dianggarkan sekitar 40,000 sahaja sehingga akhir tahun ini. Rata-ratanya melibatkan golongan bumiputera, khususnya belia Melayu.

Oleh itu, kerajaan diminta supaya mendedahkan segera, apakah prestasi dan keberhasilan sebagai inisiatif yang diwujudkan daripada KBN 2018 supaya kongres tersebut bukanlah sekadar untuk menyedapkan hati Bumiputera untuk menyokong kerajaan di bawah Pakatan Harapan.

Ini penting untuk dilakukan terutama ketika Bumiputera sedang resah dengan pelbagai kemelut, khasnya masa depan ekonomi yang tidak menentu, lagi mencabar.

Dr. Mahathir dan Anwar sendiri perlu menjawab persoalan ini.

* Penulis ialah Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan Malaysia