Istilah pass baton dan peralihan kuasa tentu saja dua perkara berbeza.

Bukankah Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah berulang kali berjanji akan menyerahkan jawatan PM apabila sudah tiba waktunya - dua atau tiga tahun selepas Pakatan Harapan (PH) berkuasa 9 Mei 2018?

Beri peluanglah kepada Tun M untuk terus menjalankan tugas-tugas Perdana Menterinya. Bila sering diuar-uarkan atau diserlahkan (highlighted) ‘bila lagi, bila lagi’, dibimbangi wujud semacam isu ketidakstabilan pula pada negara ini dan ekonominya.

Apatah lagi diributkan dengan hutang negara yang dikatakan kian bertimbun. Pinjaman kerajaan PH pun dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja sudah cecah RM60 bilion. Jadi, kenapa sibuk-sibukkan soal peralihan kuasa?

Kedua-dua pihak, baik daripada pihak Tun M dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kena bersabar sedikit. Biar kedua-duanya selesaikan soal peralihan kepemimpinan ini. Orang luar usah masuk campur.

Jangan diragukan hubungan kedua-dua mereka. Jangan khuatir sebab Anwar pun sudah beberapa kali mengunjungi Tun M. Kita yakin Tun M cukup matang dan gentleman (budiman) berpegang pada janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada bakal PM ke-8 itu.

Berdasarkan senario hubungan mereka kebelakangan ini tak nampak pun bermasalah.

Ada juga cakap-cakap yang sampai ke telinga penulis mengatakan Tun M tidak mahu berulang senario selepas peralihan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi tempoh hari.

Apabila beliau umumkan keputusan tidak terduga dek kita mahu letak jawatan PM-4 pada 22 Jun 2002 dengan tempoh penyerahan kuasa ditetapkan dalam setahun setengah sebelum Pak Lah rasmi menjadi PM-5, 31 Oktober 2003, orang kelihatan tidak peduli lagi kepada beliau. Padahal waktu beliau umumkan letak jawatan, begitu ramai pemimpin kanan partinya dan orang sekeliling sampai sebak berkerumun mendesak beliau menarik balik pengumuman letak jawatan itu.

Dan banyak ketika selepas tidak memegang tampuk kuasa, hatinya kerap ‘terusik dan berkecil hati’ hingga keluar masuk dan keluar lagi dari parti kerajaan. Hati seorang negarawan perlu kita jagalah.

Dalam pada itu, asyik bercakap pasal isu peralihan kepimpinan ini, tak pasal-pasal juga penulis dikhabarkan ada seorang yang kuat dikaitkan sebagai ‘calon PM-8’ dikatakan sedang mengatur langkah sendiri. Pendek kata, cuba approach pemimpin DAP dan Parti Bersatu untuk ‘sailang’ pengganti Tun M. Bro! politik bijaklah sikit. Tunggulah giliran anda.

Kalau nak beria-ia mengisi jawatan PM-8 pun, orang itu tentunya tidak lain tidak bukan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar. Kak Wan sendiri sebenarnya memiliki ruang dan peluang besar untuk hijack jawatan nombor satu pada malam 9 Mei tahun lalu setelah Barisan Nasional (BN) tumbang.

Dan meskipun sudah menjadi rahsia umum Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V memberi tawaran jawatan PM tersebut kerana Kak Wan ialah Presiden PKR dan simbol PKR digunakan semua parti dalam PH pada PRU-14, beliau tetap menolak tawaran itu kerana berpegang kepada janji bahawa Tun M akan menjadi Perdana Menteri. Apabila Kak Wan merujuk kepada Anwar pun, Anwar juga bertegas mengarahkan Kak Wan berpegang pada keputusan awal beri laluan pada Tun M.

Inilah pengorbanan tiada tolok banding Kak Wan dan Anwar.

Pada masa sama, dalam senario kerajaan PH yang baru berumur ‘setahun jagung’ ini, sewajarnya kakitangan awam peringkat tinggi ubah sikap mereka. Kalau dulu kakitangan awam terlibat dalam kegiatan politik, elok sajalah hari ini mereka patuhi peringatan Tun M pada 10 Jun lepas bahawa anggota dalam perkhidmatan awam perlu bebas daripada mengikat diri dengan parti politik, waima parti yang sedang memerintah.

Don’t interfere. Biar ahli politik selesaikan. Jangan ada lagi tukang-tukang adu domba. Ini tidak, sosek-sosek yang kerap sampai pada penulis adalah “Anwar itu ini, dia jumpa Zahidlah, Muhyiddin hubungi Anwar lah”. Macam-macam fiil politikus. Tidak ada keperluan pun adu domba begini. Hanya semarakkan lagi keraguan dan syak wasangka.

Kita tentu tidak suka orang yang cuba bangkitkan semula kisah-kisah lama. Cukup-cukuplah jadi tukang jolok dan batu api selama ini.

Seperti mana semua rakyat Malaysia maklum, kalaulah Anwar tidak sabar, pada malam keputusan PRU-14 itu lagi dah beliau sudah arahkan Kak Wan ‘palam’ Tun. Tapi adakah itu berlaku?

Jangan lagi kita ambil peduli akan ‘kenyataan-kenyataan jalanan’ yang mana Tun kononnya kata ‘no way pada Anwar’.

Sama-sama la kita bersabar menunggu akhir ceritanya, siapa PM ke 8?

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.