DAKWAAN bahawa pelaksanaan TPPA akan menyebabkan harga ubat-ubatan dan kos rawatan menjadi terlalu mahal adalah tidak benar. GAMBAR HIASAN

Berdasarkan buku TPPA: Jawapan kepada Kebimbangan Salah Faham dan Tuduhan yang diedarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pasukan perunding Malaysia telah berjaya mendapat persetujuan semua negara anggota untuk mengekalkan tempoh perlindungan paten ubat-ubatan dan data klinikal sedia ada iaitu masing-masing selama 20 dan lima tahun.

Sehubungan itu, dakwaan beberapa pihak bahawa TPPA bakal menyebabkan kenaikan harga ubat-ubatan dan kos rawatan sehingga 80 peratus kerana syarat ketat akan dikenakan ke atas pengeluar ubat generik adalah tidak benar.

Ubat-ubatan generik adalah ubat yang dikeluarkan oleh syarikat lain setelah tempoh paten yang diberikan kepada syarikat penyelidik yang menemui ubat asal seperti Panadol oleh syarikat GlaxoSmithKline dan Viagra oleh Pfizer telah luput. Kandungan aktif adalah sama dengan kandungan aktif ubat asal, cuma ubat-ubatan generik tidak boleh diberi nama sama se­perti jenama asal pemilik paten.

Ini bermakna rakyat Malaysia masih boleh menggunakan ubat-ubatan generik secara meluas se­perti amalan sedia ada. Ubat ber­kenaan sebenarnya mempunyai kualiti setanding dengan yang dihasilkan syarikat asal dan dengan harga berlipat kali ganda lebih murah.

Ubat-ubatan paten asli dijual le­bih mahal kerana pemilik paten asal perlu mengeluarkan wang banyak bagi melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sehingga ubat berkenaan ditemui dan selepas itu harus melakukan ujian klinikal ke atas manusia untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya.

Dalam pada itu, perlindungan paten selama 20 tahun hanya boleh dilanjutkan sekiranya terdapat kelewatan tanpa sebab munasabah dalam proses kelulusan permohonan paten asal.

Kerajaan bagaimanapun yakin proses kelulusan sedia ada adalah efisien dan tidak akan menyebabkan kelewatan tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Penyelidikan yang dibuat oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan firma audit, PricewaterhouseCoopers (PwC) juga mendapati masyarakat akan terus menikmati akses ubat-ubatan utama pada harga berpatutan.

TPPA, pada pandangan ISIS akan memberi kesan minimum kepada harga ubat-ubatan.

Berhubung isu perlindung­an data klinikal yang bertujuan melindungi maklumat uji kaji oleh pengeluar asal ubat-ubatan daripada didedahkan kepada pengilang ubat ge­nerik, dasar sedia ada kekal untuk tempoh lima tahun.

Dasar itu terpakai kepada ubat-ubatan berasaskan kimia dan ubat biologik atau bukan kimia yang diperbuat daripada protein manusia dan haiwan.

Sementara itu, walaupun terdapat peruntukan dalam TPPA yang bertujuan melin­dungi hak cipta bagi mengga­lakkan inovasi dan kreativiti, langkah itu sama sekali tidak akan menjejaskan pengeluaran ubat-ubatan generik.

Ini berikutan terdapat persefahaman di kalangan 12 negara anggota bahawa perlindungan hak cipta tidak sepatutnya menghalang negara-negara TPPA daripada mengambil langkah-langkah untuk melindungi kesihatan awam.

Negara anggota diberikan hak akses kepada ubat-ubatan termasuk ketika keadaan darurat atau keadaan lain yang mendesak yang membawa kepada krisis kesihatan awam seperti wabak penyakit HIV/AIDS, tibi dan malaria.

Kesimpulannya, TPPA tidak akan menghalang akses orang ramai kepada ubat-ubatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan mampu milik kerana tiada sebarang perubahan pada dasar sedia ada yang boleh menyebabkan harga bahan berkenaan melambung tinggi.

Fotobyline NIZAM YATIM