Bagi puak Lim Kit Siang pula, DAPist tidak lagi melaung-laungkan prinsip perjuangan mereka untuk sebuah negara demokrasi sosialis berdasarkan prinsip sama-rata , hak asasi dan keadilan sosial atas landasan Malaysian Malaysia.

peliknya kedua-dua puak ini telah memprovokasi rakyat semua lapisan untuk berjuang sehingga sanggup menggadai nyawa, sumber dan tenaga untuk menjatuhkan pemerintahan Mahathir yang kononnya merupakan perdana menteri yang paling kejam, paling kuat rasuah dan akan memufliskan negara dengan penyalahgunaan kuasa mutlaknya.

Bagi Anwar dan reformasi, golongan dan lapisan pemuda idealistik yang inginkan perubahan menjadi sasaran mereka. Ramai yang mendapat pendidikan agama, yang berdakwah dan percaya pada nilai-nilai murni dan dahagakan nilai-nilai suci tidak sanggup melihat negara ini terus dibelenggukan dengan pemerintahan Mahathirisme yang telah disamakan dengan segala kekejaman, kezaliman dan ketidakadilan semasa.

Puak Lim Kit Siang dan DAP pula mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan rasmi agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan. MCA dipersalahkan, dipersendakan dan di hina sebagai parti yang berdosa pada orang Cina dan etnik-etnik lain kerana menggadaikan hak mereka dan bersetuju dengan keistimewaan orang Melayu dan pribumi Sabah/Sarawak.

Selama beberapa dekad sejak kemerdekaan dan khususnya semasa pemerintahan Mahathir, DAP telah membelasah MCA yang dituduh mengorbankan hak kesamarataan yang DAP perjuangkan.

Mahathir dilakar sebagai seorang diktator yang tidak demokratik dan Mca dituduh sebagai parti pencacai yang ingin menjawat kedudukan Menteri sehingga sanggup mengenepikan haksamarata orang Cina dan kaum lain dengan orang Melayu. 

DAP telah terus relevan sebagai parti politik yang menjadi parasit ke atas sentimen perkauman (khususnya masyarakat Cina) dengan menjadikan kawasan majoriti Cina sebagai sasaran kubu politik mereka.

Sentimen perkauman dan chauvinisme mereka begitu tebal sekali sehinggakan DAP boleh meletakkan siapa-siapa sebagai calon mereka tanpa profil atau sumbangan politik dan DAP akan tetap menang dengan senang sekali di kawasan ini. Itulah kekebalan DAP di kawasan majoriti Cina kerana eksploitasi emosi perkauman kelampauan.

Hari ini segala-galanya menjadi nyata. Hati sebenar pemimpin-pemimpin ini terbongkar. Rupa-rupanya Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim cuma bermain politik dan mempermainkan penyokong-penyokong mereka semata-mata.

Segala-gala prinsip perjuangan mereka adalah satu helah penipuan politik sahaja. Prinsip-prinsip laungan mereka adalah semata-mata untuk menggerakkan naluri, imaginasi dan emosi penyokong mereka yang telah menjadi boneka politik yang boleh dikorbankan. Kepercayaan dan harapan mereka pada Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dihampakan apabila mereka berpakat untuk mengembalikan Mahathir untuk menjawat kedudukan perdana menteri semula sekiranya Pakatan menang dalam pilihan umum ini. 

Jari kuku besi Mahathirisme telah menular dan mencakar dengan mainan, “manoeuvre” atau manipulasi politik dalam parti PPBM dan seterusnya Mahathirisme sekali lagi bermaharajalela semula. Tetapi kali ini tidaklah dalam UMNO tetapi dalam gabungan Pakatan Harapan yang mana penyokong-penyokong DAP dan PKR ditelannya bulat-bulat.

Bermula dengan penubuhan parti PPBM, di mana penyokong-penyokong Muhyiddin Yassin beranggapan bahawa Presiden PPBM adalah “top dog” mereka. Namun mereka terkejut apabila Mahathir yang meletakkan diri sebagai Pengerusi PPBM telah meminggirkan Presiden parti.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PPBM Kamarulazman Habibur Rahman telah mengatakan Mahathir telah berjaya merampas kuasa dari Muhyiddin Yassin yang telah dijadikan “pawn” yang boleh dikorbankan dalam percaturan politik Mahathir.

Setelah itu satu demi satu pemimpin yang percaya dan meletakkan harapan mereka pada Muhyiddin dan tidak boleh menerima kembalinya Mahathirisme telah meninggalkan parti. 

Kembali kita kepada maruah PKR dan DAP yang berkecai apabila mereka tanpa segan-silu telah memeluk kembali Mahathirisme dengan menjadikan Mahathir calon perdana menteri mereka. Inilah prinsip perjuangan pemimpin Reformasi dan Malaysian Malaysia rupa-rupanya ! Maka kita tidak kedengaran laungan Reformasi dan Malaysian Malaysia akhir-akhir ini.

Bagi penyokong-penyokong Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang telah ditipu selama berdekad, biarlah saya mengobati hati mereka dengan peribahasa Cina yang bermaksud jarak perjalanan akan menentukan kekuatan seekor kuda, manakala masa pula akan membongkar keikhlasan seseorang pemimpin kita.

Datuk Seri Ti Lian Ker merupakan pemerhati politik yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat MCA