Memang tak sayang nyawa betul. Pernah juga Akak Cute menekan hon kepada penunggang motosikal yang kurang ajar sebegini. Dia pula pandang kita buat muka tak puas hati seolah-olah kita pula yang salah. Mentang-mentanglah Akak Cute ni perempuan, beranilah dia berlagak samseng macam tu!

Akak Cute dah lama perhatikan, seolah-olah macam satu trend pula si penunggang motosikal ni yang tak akan tunggu lampu isyarat hijau. Mereka akan jalan sahaja walaupun masih lampu merah. Kononnya bila jalan sebelah lain yang tengah lampu hijau tu kosong tak ada kenderaan, mereka akan berdesup tanpa mempedulikan bahaya. Perbuatan sebegini bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pemandu lain yang tak bersalah pun akan terlibat sama. ‘Mati katak’ sajalah jawabnya. Kadang-kadang kita yang sedang berada di lane lampu hijau ini pula perlu berhati-hati. Kot-kot ada motosikal tiba-tiba memintas. Pelik betul.

Akak Cute tertanya-tanya, susah sangat ke nak tunggu sekejap lampu isyarat? Bukan lama pun sampai sejam dua jam. Paling lama pun sekitar lima minit. Kalau kita tengok kebanyakannya penunggang lelaki yang berlagak berani macam ni. Kenapa, rasa tak macho ke bro tunggu di lampu isyarat? Hello brother! Bakal mak mentua pun tak jadi nak buat menantulah kalau terserempak dengan awak tengah memecut.

Mereka ni lagi naik tocang sebab tak selalu terserempak dengan polis. Banyak dah kes kemalangan maut akibat langgar lampu isyarat ni. Sebelum ni pun pernah direkodkan, seba­nyak 301 penunggang motosikal maut manakala 299 lagi cedera akibat melanggar lampu isyarat pada enam bulan pertama 2017. Jumlah itu meningkat berbanding 2016 yang mencatatkan seba­nyak 263 kematian penunggang motosikal dan 287 lagi cedera kerana kesalahan sama. Statistik itu hanya melibatkan mereka yang ‘gagal’ dalam percubaan melanggar lampu isyarat, bagaimana pula yang ‘melepasinya’? Sudah tentu lebih banyak.

Pernah juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melakukan operasi khas Lampu Merah hanya di kawasan Gombak. Tidak sampai dua jam operasi itu, sebanyak 60 penunggang motosikal ditahan kerana melanggar lampu isyarat merah.

Persoalannya sampai bila budaya sebegini akan terus berlaku? Takkanlah nak harapkan polis terpacak di simpang lampu isyarat 24 jam. Mungkin orang ramai boleh sama-sama membanteras budaya ini. Kalau nampak penunggang yang cuba langgar lampu, ambil gambar dan hantar sahaja kepada pihak polis. Kita tengok macam mana tahap kekebalan mereka bila kena saman nanti.