Itu hari abang hensem tak ingat hari apa, ada satu kes yang tempat kejadiannya Jalan Kuala Krai-Gua Musang. Tak ingat berapa orang, tapi dalam tiga empat orang jugalah serentak yang ‘pergi’. Bila lihat status pemandunya, oh! anak muda awal 20-an.

Abang hensem harap sangat anak-anak muda kita ini sentiasa hati-hati bila bawa insan tersayang dalam satu kereta. Yang paling dibimbangkan, ada sebilangan mereka ini yang baru dapat lesen. Apatah lagi kereta baharu. Terus tiba-tiba jadi sesumpah ‘kaki pecut’.

Pernah abang hensem naik sebagai penumpang depan sebelah pemandu naik seriau bila anak saudara pecut macam Ayr­ton Senna (abang hensem minat sangat mendiang tau yang meninggal dunia di Litar Imola, Itali pada 1994). Seingat abang hensem waktu itu dari Gerik ke Plaza Tol Kuala Kangsar. Jauh tu bro, lebih kurang 70 kilometer.

 

Bayangkan ‘lipat’ selekoh macam bapak dia punya jalan (cepat benor berderau darah kau ni abang hensem ya). Serta-merta abang hensem teringat anak bini di rumah. Kalau kau (pemandu) sorang yang ‘pergi’ tak apalah. Ini kau nak ‘bawa’ aku sekali.

Tapi semasa itu tak terkata apa abang hensem korang tau. Sebab abang hensem ‘insafi’ diri...tumpang kereta orang (hehehe). Kalau tak, tak sampailah ke Shah Alam. Tapi syukurlah tak ada apa-apa kejadian tak elok masa tu (ya lah, kalau idak, tak adalah catatan ini yob).

Cuma abang hensem nak pesan satu kaedah paling win untuk elak eksiden semasa memandu (selain baca doa naik kenderaan).

Ini khusus untuk orang perempuan saja tau.Bila kau duduk sebelah pemandu (si dia), jangan asyik kau tengok WhatsApp jer. Kalau nampak si dia langgar lampu, terus pekik. Jika potong garisan berkembar, terus ‘pangkah (3x)’.

Ha! kalau nampak dia jenguk-jenguk WhatsApp, terus kau buka cerita lama dia dengan ex-girlfriend dia. Tak senang duduk dia nanti. Eh! tapi jangan pulak kau yang ‘meracau’.

Lebih win lagi cakap begini: “Kalau abang ‘pergi’ sorang, siapalah nak jaga sayang dan anak-anak.” Eh! rasanya jarang kot abang hensem dengar ayat begini. Betul tak Akak Cute?

Dan sesekali memandu di ‘litar F1’ Karak, abang hensem tersenyum sendiri melihat si girlfriend mamat motor besar tu yang nampak seriau sangat.

Ya lah, yang bawak motor perasan macam Valentino Rossi. Tapi yang duduk belakanglah seram sejuk (dengan angin kencang berkelajuan ‘100’ kilometer sejam).