Yang ingin saya katakan di sini, ada ibu bapa yang bila anak perempuan atau lelaki yang masih muda atau remaja lagi, perangainya nakal sedikit, bebas bergaul dan tidak boleh dikawal, dikahwinkan budak itu. Dengan memikirkan bahawa selesailah masalah. Mereka tak perlu lagi sakit-sakit kepala. Pandai-pandailah anak-anak ini membawa diri dalam kehidupan berumah tangga, walaupun terlalu cetek segala jenis ilmu di dada.

Sedangkan, bila rumah tangga anak huru-hara kemudiannya, ibu bapa juga yang kembali pening kepala. Anak balik semula kepada mereka. Bukan setakat menanggung segala makan minum, tetapi makan minum cucu yang masih kecil-kecil dan masalah besar lain termasuk isu tidak diberi nafkah.

Bukan setakat nakal, apabila keluarga susah, banyak tanggungan, dikahwinkan pula anak perempuan yang masih bawah umur. Dengan harapan senanglah keluarga berkenaan. Walhal, hidup pun bukan senang sangat selepas itu. Biasa-biasa saja. Begitukah, kira semua boleh selesai dengan kahwin?

Apabila timbul isu seorang lelaki berusia 41 tahun berkahwin dengan budak 11 tahun yang panas diperkatakan ketika ini dengan alasan untuk membantu keluarga tersebut yang susah, terfikir dalam kepala saya, itu sajakah cara untuk membantu? Berkahwin. Habis cerita.

Jika mahu membantu, boleh saja menghulurkan wang atau membelikan barangan keperluan keluarga tersebut secara konsisten setiap bulan. Tak perlulah sampai terikat de­ngan perkahwinan. Dalam usia semuda itu, kita pun jadi keliru tentang ‘niat’ membantu. Itu sajakah jalan keluar?

Atau boleh saja, diambil menjadi ‘anak angkat’, tidak payahlah sampai jadi isteri. Sekolahkanlah budak itu sehingga ke peringkat tinggi. Masa masih panjang bagi kanak-kanak berkenaan untuk membina masa depan yang lebih baik. Ibu bapa susah tidak bermakna anak-anak pun akan ikut jejak mereka. Ramai saja orang yang kini berjaya dan ada sudah jadi menteri pun datangnya daripada keluarga yang miskin.

Kita semua mengakui bahawa dalam usia yang muda sebegini memang belum matang untuk melalui perkahwinan. Sedangkan dalam usia dewasa yang boleh dikatakan sudah matang pun, ramai yang tidak matang dalam bertindak dan berfikir, inikan budak-budak.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala perempuan adalah 16 tahun. Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Saya juga bersetuju dengan kenyataan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bahawa sudah tiba masanya untuk negara ini menaikkan had umur perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Kita bimbang dalam usia yang terlalu muda berlakunya penderaan dari segi fizikal, mental dan emosi dalam perkahwinan dan sudah menjadi tanggungjawab kita yang matang ini melindungi hak dan kepentingan kanak-kanak.

Dan kepada ibu bapa yang merasakan tindakan mereka mengahwinkan anak-anak di bawah umur adalah langkah yang betul, kerana tuan empunya badan pun tidak bising-bising dan setuju dikahwinkan dengan lelaki yang lebih tua atau pasangan sebaya lain, fikirkanlah, budak-budak memang tidak boleh berfikir dengan matang. Ja­nganlah mengikut saja kehendak budak-budak yang masih mentah ini. Budak-budak ini, asalkan orang itu suka dia dan dia suka orang itu, fikir mudah, bolehlah kahwin.

Kahwin ini bukan macam main ‘masak-masak’ se­perti budak-budak perempuan suka main dengan kawan-kawan. Sendiri pun belum boleh mengurus diri dengan betul, inikan hendak menguruskan suami dan rumahtangga. Akhirnya, mereka ‘terperangkap’ dalam kehidupan yang sukar untuk berpatah semula apabila tersedar bahawa jalan yang mereka pilih tidak betul. Masa itu memang betul-betul ‘masaklah’.