PENDUDUK Indonesia sekali lagi bakal membuat perhitungan bagi memilih gandingan presiden dan naib presiden baharu bagi memimpin negara yang mempunyai sebanyak 267 juta penduduk ke arah lebih baik dan maju. Dua gandingan yang sedang bersaing dengan penuh sengit iaitu calon nombor satu, Joko Widodo atau Jokowi-Ma’ruf Amin dan calon nombor dua, Prabowo Subianto-Sandiaga Uno masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Jokowi yang akan mempertahankan jawatan presiden kali ini memilih seorang tokoh agama Islam terkenal Indonesia sebagai gandingannya manakala Prabowo yang bertanding untuk jawatan presiden untuk kali kedua berturut-turut, kali ini memilih untuk bergandingan dengan bekas Timbalan Gabenor Jakarta yang juga usahawan terkenal di Indonesia.

Lebih menarik, dalam pilihan raya umum (Pemilu) 2019, pemilihan untuk pilihan raya Presiden (Pilpres) dan pilihan raya legislatif (Pileg) akan diadakan secara serentak buat pertama kali. Bagi mendapatkan pandangan mengenai Pemilu yang akan diadakan di Indonesia pada 17 April ini, wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurugambar, FARID JANUDIN dan GAEL UCHEL serta juruvideo, MUHAMMAD ALIF OMAR menemu bual Ketua Parti Nasional Demokrat (Nasdem) Malaysia, TENGKU ADNAN dan Ketua Dewan Pimpinan Luar Negeri (DPLN) Parti Persatuan Pembangunan, DATUK MAIL SALEH yang menyokong gandingan Jokowi-Ma’ruf serta Ketua Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) Malaysia, DARSIL ABDUL MUIS yang mengetuai kempen Prabowo-Sandiaga di Malaysia secara berasingan baru-baru ini untuk mengulas mengenai cabaran berkempen dan peluang calon yang bertanding kali ini.


MINGGUAN: Adakah pemilihan serentak akan memberi kelebihan kepada kesemua calon bertanding?

TENGKU ADNAN: Pemilu kali ini akan mengadakan pemilihan untuk Pilpres dan Pileg secara serentak, kelebihan paling utama ialah kepada calon legislatif kerana jumlah undi yang bakal mereka terima adalah sama banyak dengan undi diperoleh calon Pilpres. Jika dahulu undi untuk calon legislatif tidak banyak sebab pemilihan dibuat secara berasingan dan pengundi hanya menumpukan kepada calon Pilpres.

Sepanjang enam bulan kempen berlangsung, bagaimana momentum?

TENGKU ADNAN: Makin hampir tarikh mengundi semakin panas kempen berlangsung, dahulu tidak semua parti berkempen secara agresif tetapi semakin hampir tarikh pengundian persaingannya semakin terasa dan begitu sengit.

Bagaimana masyarakat Indonesia melihat gandingan Jokowi dan Ma’ruf?

MAIL SALEH: Gandingan ini mempunyai kekuatan tersendiri kerana sebelum ini terdapat dakwaan bahawa agama Jokowi tidak jelas, walhal ini semua berita palsu atau di Indonesia dikenali sebagai berita hoax yang sengaja direka pihak lawan. Justeru, Ma’ruf, pemimpin dalam Majlis Ulama Indonesia diangkat sebagai calon wakil Presiden bagi menguatkan gandingan ini.

Ada pihak melihat gandingan Prabowo iaitu Sandiaga lebih muda dan bertenaga berbanding Ma’ruf, adakah faktor ini boleh mempengaruhi pengundi?

TENGKU ADNAN: Jokowi dan Ma’ruf ialah gandingan sempurna iaitu antara nasionalis dan agamawan, Jokowi, ikon nasionalis manakala Ma’ruf ikon ulama. Di Indonesia majoritinya beragama Islam dan Ma’ruf, tokoh besar Islam di Indonesia, ini sekali gus dapat mewakili suara masyarakat Islam. Ini kerana Jokowi difitnah sebagai anti-Islam, anti ulama, liberal dan tidak peduli dengan agama Islam, padahal apa yang dilakukan Jokowi untuk Islam sangat banyak contohnya dengan mewujudkan Hari Santri iaitu hari untuk pelajar sekolah agama. Hari Santri sangat penting di Indonesia dalam menghargai peranan institusi pondok dalam membangunkan negara. Selain itu, Jokowi juga satu-satunya pemimpin yang berjaya mewujudkan sebuah universiti Islam pertama di Jakarta. Ini bermakna segala tuduhan terhadap Jokowi hanya hoax untuk menanam kebencian kepada masyarakat.

Inilah yang sedang kami perangi sekarang, pertempuran kali ini adalah pertarungan antara melawan berita palsu dan berita benar.

Bagaimana pula isu Ahok?

TENGKU ADNAN: Isu Ahok telah selesai, selepas keluar daripada penjara dia tidak lagi aktif dalam politik. Pada masa sama, kami juga meminta supaya dia tidak aktif hingga Pemilu selesai diadakan.

Bagaimana prestasi Jokowi sepanjang menjawat jawatan sebagai Presiden?

MAIL SALEH: Prestasinya terbukti, khususnya dari segi pembangunan dan bantuan untuk masyarakat terutamanya untuk masyarakat luar bandar. Bagi saya untuk ceritakan prestasi, jauh lebih baik prestasi Jokowi berbanding lawannya, Prabowo.

Bagaimana pula isu Prabowo sebagai bekas menantu kepada bekas Presiden Suharto?

TENGKU ADNAN: Sebenarnya ini hal peribadi dan kami tidak berminat untuk menyerang peribadi mana-mana calon, tetapi bagaimana seorang calon yang tidak mampu membina sebuah keluarga mahu membina sebuah negara yang besar seperti Indonesia. Selain itu, Prabowo juga tidak mempunyai pengalaman mentadbir, selepas keluar daripada tentera dia menceburkan diri dalam bidang perniagaan berbanding Jokowi yang mempunyai pengalaman sangat luas. Selepas Jokowi tamat pengajian beliau terus terlibat dalam bidang perniagaan dan dipilih sebagai wali kota dan seterusnya sebagai gabenor sehingga dipilih sebagai Presiden Indonesia. Dengan pengalaman yang sangat luas kami percaya beliau mampu terus membangunkan Indonesia, bukan sahaja di Pulau Jawa tetapi di seluruh wilayah lain di Indonesia.

Sejak menerajui Indonesia beliau mempunyai visi untuk membangunkan Indonesia secara menyeluruh atau dikenali sebagai Indonesia sentris dan bukannya Jawa sentris seperti dilakukan pemimpin sebelum ini.

Apakah kepentingan slogan Indonesia Maju?

TENGKU ADNAN: Sejak menjadi Presiden beliau mahu Indonesia terus maju dan tidak ketinggalan berbanding negara jiran, contohnya dalam infrastruktur, Indonesia ketinggalan jauh dari Malaysia dan Singapura. Penyediaan kemudahan infrastruktur sangat penting supaya semua tempat dapat dihubungkan dengan cepat. Apabila kemudahan ini telah tersedia secara tidak langsung bidang ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan dapat berkembang.

Gandingan Prabowo dan Sandiaga menjanjikan penurunan harga tarif elektrik, adakah tawaran ini akan menjejaskan kempen Jokowi dan Ma’ruf?

MAIL SALEH: Kami menganggap ini hanya sebuah cerita untuk mendapatkan perhatian dan simpati masyarakat. Apa yang ditawarkan oleh pihak lawan tidak semudah seperti membalikkan tangan. Malahan pada zaman Jokowi harga tarif elektrik, minyak dan lain-lain stabil walaupun kadang-kadang naik dan turun.

Apa yang ditawarkan Jokowi?

TENGKU ADNAN: Sembilan bahan pokok atau dikenali sebagai sembako, petrol dan elektrik harganya stabil dan harga yang ditetapkan ini lebih rendah berbanding negara jiran. Pendekatan Jokowi adalah ketika penggal pertama beliau sebagai Presiden ialah membangunkan kemudahan-kemudahan ini terlebih dahulu dan selepas itu beliau akan meneruskan lagi projek-projek ini.

Tinjauan Pilpres menunjukkan gandingan Jokowi dan Ma’ruf sedang mendahului, sejauh mana ia memberi kesan kepada kempen?

TENGKU ADNAN: Perkara ini memberikan kekuatan kepada kami tetapi pada masa sama ia tidak membuatkan kami alpa sebaliknya membuatkan kami bekerja lebih keras untuk menawan hati pengundi. Sebagai contoh di Malaysia terdapat kira-kira 1.3 juta pengundi berdaftar dan kami menyasarkan untuk memperoleh 70 hingga 80 peratus undi. Sasaran ini bukan hanya rekaan tetapi dirancang sejak Januari 2018 lagi, kami bekerja keras dengan mengenal pasti pengundi dan membina kekuatan untuk memenangkan Jokowi.

Bagaimanapun dalam Pilpres 2014, Prabowo menang di Malaysia.

MAIL SALEH: Benar, tetapi jumlah perbezaan undi sangat sedikit. Kami mengambil pengajaran daripada kekalahan itu dan akan bekerja lebih keras supaya gandingan ini menang dengan undian lebih 70 peratus.

Bagaimana hubungan Malaysia dan Indonesia sekiranya Jokowi terus dipilih?

TENGKU ADNAN: Selain mempunyai hubungan formal, Jokowi dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga mempunyai hubungan tidak langsung. Kami percaya pada masa hadapan hubungan bilateral antara kedua-dua negara dan sektor pelancongan terutamanya akan menjadi lebih baik.

Bagaimana pula nasib pekerja Indonesia di Malaysia?

TENGKU ADNAN: Isu pekerja Indonesia ke Malaysia adalah isu lama tetapi di zaman pentadbiran Jokowi pelbagai perubahan dilakukan seperti tidak perlu lagi menyediakan dokumen kerja luar negeri jika dahulu setiap pekerja Indonesia ke luar negara wajib menyediakan dokumen ini kerana ini membebankan pekerja. Selain itu, beliau turut memberi kemudahan kepada pekerja Indonesia yang tidak mempunyai permit untuk membuat pasport pulang semula ke Indonesia, sebelum ini mereka hanya diberikan surat perjalanan. Mereka boleh datang ke kedutaan atau konsulat untuk membuat pasport, dengan adanya dokumen ini mereka boleh memohon permit pekerjaan dan boleh pulang menggunakan pesawat tanpa perlu menggunakan laluan haram.

Kenapa Jokowi perlu menang?

TENGKU ADNAN: Beliau per­lu menang supaya apa yang diran­cangnya sejak menjadi Presiden Indonesia dapat dite­ruskan. Masih banyak pembangunan yang belum selesai perlu diteruskan. Biasanya jika berganti pemimpin pembangunan yang dibawa sebelum ini juga akan terhenti jadi kami tidak mahu perkara ini berulang.