Akak Cute sendiri turut terperangkap dalam kesesakan ketika mahu ke Shah Alam pada Ahad lepas. Tiga jam beb sangkut. Tak pasal-pasal bila dah sampai, jamuan dah habis. Tetapi Akak Cute berharap kawan sepejabat, Bro Tompok tidak mengalami situasi sama.

Kalau tak nak nanti dia merungut lagi sangkut di highway seperti kejadian masa dia pulang dari Kedah ketika pulang bercuti Aidilfitri lalu. 12 jam katanya. Ish, ish kesian. 12 jam tu takdelah thrill sangat berbanding 17 jam yang dialami rakyat Kelantan. Tetapi kitorang relax sahaja tak ada nak kecoh-kecoh sangat. Orang kata demi keluarga, lautan api pun sanggup direnangilah!

Akak Cute bukan nak cerita pasal kesesakan pula. Akak Cute sebenarnya nak cerita tentang fesyen baju raya orang lelaki sekarang. Amboi, amboi bukan main lagi bergaya mengalahkan perempuan. Apatah lagi yang badan sado tu. Masing-masing macam nak berlawan mahu tunjuk ketulan badan masing-masing. Cutting baju Melayu pun nak buat ikut body. Ketat sendat semacam. Akak Cute tengok macam barut nangka dah! Bukan setakat baju, seluar pun nak buat cutting slim fit sampai ada yang susah nak duduk bawah. Bimbang tertetas jahitan agaknya.

Akak Cute bukan apa, agak kecewa apabila nilai-nilai keislaman dan kemelayuan yang ada pada baju tradisional seperti baju Melayu, kurta dan jubah sudah hilang dek kerana fesyen yang entah apa-apa tu. Tidak salah pun kalau nak berfesyen, tetapi biarlah masih mengekalkan ciri-ciri tersebut. Pereka fesyen pun janganlah terlalu nak ikut budaya Barat demi gaya moden. Kalau orang Melayu Islam tidak mahu menjaga adat dan budaya sendiri, siapa lagi kan?

Satu lagi, orang lelaki yang berbadan sado ni pun kena ingat. Jangan terlalu ghairah sangat nak tunjuk body shape masing-masing. Kerana Islam turut menegah perbuatan lelaki yang berpakaian ketat sehingga menimbulkan syahwat dan membawa kepada ghairah orang perempuan. Berdosa juga tau. Mungkin ramai lelaki yang tidak sedar tentang ini.

Kalau perempuan sampai memberikan komen nak pecah ovari la, bergetar tulang rusuk la, dan ada yang histeria bagai bila tengok badan lelaki seksi tu, kira berdosalah tu. Akak Cute yakin bukan sahaja perempuan, ada juga geng lelaki ‘kunyit’ pun terbeliak mata tengok lelaki macam ni kan?

Akak Cute bukan nak jadi ustazah pula. Anda boleh merujuk sendiri fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri tentang hukum lelaki berpakaian nipis dan ketat. Sila klik link ini. http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1217-al-kafi-281-hukum-lelaki-berpakaian-nipis-dan-ketat. Jangan malas membaca pula bro.