Menurut beliau, pada masa akan datang segala rawatan dan pembedahan akan dilakukan dengan menggunakan kaedah virtual reality (realiti maya) sepenuhnya. Dalam erti kata lain, pesakit yakin telah dirawat dengan peralatan dan kaedah cukup canggih, sedangkan perkara itu hanya khayalan semata-mata.

Rawatan dengan kaedah realiti maya yang menggunakan teknologi Revolusi Perindustrian Kelima (IR 5.0) atau mungkin IR 6.0 berjaya, kerana yang menyembuhkan penyakit adalah diri kita sendiri dengan keizinan Allah. Individu ber­kenaan sangat yakin telah sembuh. Keyakinan itu memberi kesan kepada fizikal mereka sama seperti penemuan fenomena placebo yang menyebabkan pesakit sembuh walaupun hanya menelan ubat palsu.

 

Untuk maju sehingga mencapai era IR 5.0 dan IR 6.0 dalam tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang, rakyat Malaysia sudah tentu perlu menguasai teknologi asas iaitu IR 4.0 yang berteraskan data digital.

Buku ini memberi tumpuan kepada empat bidang tumpuan IR 4.0 iaitu kepintaran buatan (AI), blockchain (lejar digital awam, tidak berpusat dan teragih yang digunakan untuk merekod transaksi antara pihak de­ngan cekap), teknologi kewangan (fintech) dan Internet Saling Berhubung (IoT).

Satu hakikat yang harus disedari, teknologi sedemikian seperti blockchain tidak bermula dari pihak kerajaan sebaliknya adalah inovasi dilakukan oleh individu dalam masyarakat yang kemudiannya berkembang pesat sehingga akhirnya pemerintah tiada pilihan kecuali menerimanya sebagai aktiviti sah.

Dalam buku ini, penulis menegaskan hala tuju sebenar sesebuah negara seperti sering disebut oleh pakar-pakar strategik adalah untuk tidak mengabaikan teknologi IR 4.0. Ia perlu digunakan dengan sebaik mungkin untuk mening­katkan pertumbuhan ekonomi secara mampan, bersifat inklusif, menyediakan peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran baharu serta pada masa sama dapat memberi sumbangan dalam memajukan bidang pendidikan, kesihatan dan mewujudkan persekitaran bebas pencemaran.

Kerajaan tidak harus mengenakan terlalu banyak sekatan dengan pelbagai kerenah birokrasi terhadap teknologi baharu berkenaan semata-mata bagi melindungi industri sedia ada.

Satu hakikat yang harus diterima adalah kita tidak boleh takut dengan perubahan sebaliknya menerima transformasi itu untuk mewujudkan masyarakat lebih baik.