Itu adalah pengalaman yang pernah beberapa kali penulis alami ketika mengimamkan solat tarawih.

Usahkan bunyi kuat mercun yang kosong makna, bacaan al-Quran yang tinggi suaranya pun dilarang nabi SAW jika mengganggu orang sedang solat.

Pada suatu hari Rasulullah SAW yang sedang beriktikaf mendengar sebahagian sahabat membaca al-Quran dengan nada nyaring.

Baginda lantas bersabda: Ketahuilah setiap kamu sedang bermunajat kepada Tuhannya, maka janganlah sekali-kali sebahagian kamu menyakiti (mengganggu) sebahagian lain dan janganlah sebahagian kamu meninggikan suara bacaan (al-Quran) atau bacaan solat sehingga mengganggu sebahagian lain (Sunan Abu Dawud).

Itu baru contoh gangguan bunyi terhadap orang beribadat dalam bulan Ramadan. Tidak kurang juga gangguan yang dibuat oleh pemain mercun kepada orang lain tanpa mengira siapa mereka seperti jiran yang sedang berehat atau bayi yang nyenyak tidur.

Gangguan ini banyak mengejutkan serta menakutkan orang. Ini jelas dilarang agama sebagaimana sabda nabi:

Ertinya: Tidak halal (tidak patut) bagi seorang Muslim mengejutkan (menakut-nakutkan) saudara Muslimnya yang lain (walaupun sekadar gurauan) (Sunan Abu Dawud dan Musnad Ahmad).

Orang Islam yang menjiwai akhlak Islam pastinya menjaga hak orang lain kerana itulah makna sebenar di sebalik Islamnya.

Rasulullah SAW bersabda: Orang Islam itu adalah orang Islam yang lain selamat daripada (kejahatan) lidah dan tanganya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Tindakan bermain mercun dalam bulan Ramadan dan Syawal yang dikenali sebagai dua bulan istimewa Islam juga boleh menimbulkan persepsi kepada orang jahil atau bukan Islam bahawa Islam mengiktiraf mercun sebagai suatu budaya agama.

Islam tidak pernah ‘sebakul’ dengan sesetengah kepercayaan karut yang menggunakan bunyi bingit mercun sebagai alat penghibur jiwa atau penghalau jin syaitan.

Selain itu, angka orang yang cedera bahana mercun saban tahun sudah cukup menjadi `fatwa jelas’ betapa kegiatan menjual dan bermain mercun wajib diharamkan.

Berita tahun lepas cukup tragis, remaja berusia 14 tahun di Panji, Kelantan buta mata kanan dan hancur semua jari tangan kiri terkena belerang mercun bola yang diletakkan dalam botol kaca. Pemain mercun ada berbagai ragam dan tingkat usia.

Sesetengahnya terlalu ghairah sehingga mendorong mereka mencuba berbagai cara kreatif dan bahaya demi mencari kelainan letupan.

Pernah pelajar satu sekolah dengan penulis dahulu (tahun 1987 di Kelantan) menjadi mangsa mercun. Ketika menjalankan eksperimen mercun buatan sendiri, dia merodok masuk serpihan mercun dan bunga api ke dalam sebatang besi paip. Akibatnya, dia cedera parah dan hilang sebelah tangan secara kekal.

Masih segar dalam ingatan penulis, ketika berada di sekolah dia selalu berjalan sambil tangan diseluk masuk (disembunyikan) ke dalam kocek seluar kanan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian hilang satu anggota kekal.

Bagi yang masih keliru apa hukum menjual dan membeli mercun, ia jelas haram menurut undang-undang negara dan hukum Islam. Di Malaysia, pembakaran mercun diharamkan pihak berkuasa seperti yang termaktub dalam Akta Bahan Letupan pindaan 1991.

Islam tidak melarang Muslim memenuhi emosinya yang mahu berhibur ketika gembira berikutan sambutan hari kebesaran Islam, namun hiburan itu mestilah tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Berdasarkan nas di atas, bermain mercun adalah sejenis hiburan yang sangat bermasalah kerana memenuhi segala jenis bahaya dan gangguan.

Itu belum lagi mengira aspek pembaziran yang timbul hanya kerana mahu menjamu telinga dengan dentuman tanpa makna atau putaran cahaya api yang menyilaukan mata.

Yang pasti, para pembekal atau penjual mercun ini adalah punca segala masalah bunyi dan kecederaan ini. Mudarat mereka tidak jauh beza dengan pembekal dadah dan rokok. Sabda Rasulullah SAW: Tidak boleh mencetus mudarat (untuk kepentingan diri) dan dan tidak boleh menimbulkan mudarat (kepada orang lain tanpa sebab) (Musnad Ahmad & Sunan Ibn Majah).

Cukuplah sabda Rasulullah SAW ini menjadi teguran kepada kita semua. Ayuh kita sama-sama bangkit menghalang penjualan mercun secara terbuka. Jangan tunggu anak atau saudara mara kita hilang tangan atau mata baru kita mahu bertindak.