Hanya mempromosikan rawatan melalui media-media sosial dengan harga murah dan menjanjikan kesan yang cepat, ramai terpedaya dan merelakan diri dicucuk, dibedah, dirobek mukanya. Mereka tidak ambil peduli sama ada pusat kecantikan berkenaan tidak berlesen atau tidak, sekali pun rawatan hanya dilakukan di bilik-bilik hotel, rumah atau lot-lot kedai. Mereka sewenang-wenangnya membeli bahan-bahan kosmetik yang tidak diiktiraf yang diperoleh secara online.

WAN SYAZLI RODZAIAN WAN AHMAD
WAN SYAZLI RODZAIAN WAN AHMAD 

Menjawab isu ini, Pakar Perunding Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Hospital Pakar Avisena, DR. WAN SYAZLI RODZAIAN WAN AHMAD dan Pakar Perunding Bedah Plastik dan Rekonstruktif, UKM Specialist Centre, DR. FATIMAH MOHD. NOR berkata, perlu diketahui bahawa apa sahaja rawatan invasif (luka pada kulit) hanya boleh dikendalikan mereka yang bertauliah sahaja.


BOLEH BAWA MAUT, BUTA, 
KULIT BERNANAH

Banyak kes yang dikendalikan pusat perubatan yang diiktiraf mendapat pesakit yang datang memulihkan wajah setelah mendapat masalah terhadap ‘rawatan’ sebelum ini.

Sekurang-kurangnya 30 kes seumpama ini dirujuk kepada pihaknya namun dipercayai lebih 10 kali ganda lagi kes tidak dilaporkan kerana pesakit malu atau pusat rawatan tidak bertauliah itu cuba untuk menutup kes dengan membuat rawatan susulan secara tangkap muat sahaja.


KESAN BURUK RAWATAN PALSU:

Contoh Kes 1: Rawatan memancungkan hidung menyebabkan hidung bernanah kerana salur darah di situ mati. Rawatan pemulihan tidak akan dapat struktur yang normal semula atau hidung boleh menjadi senget.

Contoh Kes 2: Rawatan suntikan filler (menegangkan kulit). Bahan filler palsu akan masuk dalam salur darah mata menyebabkan buta.

Contoh Kes 3: Rawatan threadlift (tanam benang di wajah untuk anti kedut). Penggunaan thread yang tidak selamat berisiko jangkitan kuman dan boleh menyebabkan kulit bernanah.

Contoh Kes 4: Implan untuk pembesaran buah dada telah pecah dan melekat di paru-paru sehingga berlaku komplikasi dan boleh membawa maut.

 

MINUMAN PEMUTIH, BOLEH PERCAYA?

Produk pemutihan yang terdapat di pasaran mempunyai bahan merkuri atau bahan kimia lain yang boleh memutihkan kulit. Ia diletakkan dalam dos berlebihan sehingga boleh menghakis kulit. Sesetengah produk menggunakan bahan bagi merencatkan melanin dalam kulit untuk aktif. Apabila produk itu tidak digunakan lagi, sel berkenaan akan mengganas dan menyebabkan muka jadi ‘kelabu asap’ dan susah untuk pulih.

Bagi produk minuman pemutih pula, pakar-pakar perubatan tidak nampak keberkesanannya kerana enzim protein yang diminum akan dihadamkan dalam badan. Jadi macam mana dia akan bertindak untuk memutihkan? Ia sesuatu yang tidak masuk akal dan produk-produk seumpama ini perlu dipantau kerana boleh mendatangkan kesan yang tidak sepatutnya.

Begitu juga dengan suntikan vitamin C. Penggunaan melebihi dos boleh menyebabkan batu karang. Vitamin C tidak dibenarkan dijual sewenang-wenangnya supaya tidak disalahguna.
 

RUJUK PAKAR AGAMA

Setiap kes pembedahan plastik yang dikendalikan Dr. Fatimah biasanya akan dirujuk kepada pakar agama. Contohnya jika ada pesakit yang mahu besarkan buah dada, beliau akan tanya pesakit dahulu kenapa dia nak buat begitu. Kalau setakat nak cantik sahaja, rawatan tidak akan dibuat kerana itu betul-betul mengubah kejadian Allah.

Tetapi sekiranya seseorang itu dilahirkan buah dada besar sebelah misalnya, atau atas permintaan suami, kes seumpama ini akan dirujuk pakar agama.


TENGOK DULU SIJIL LCP

Setiap doktor yang membuat rawatan estetik, perlu mempunyai sijil amalan estetik atau Letter of Credentialing and Privileging (LCP). Kesemua pusat kecantikan yang membuat rawatan invasif, wajib memiliki sijil LCP.

Dalam membendung isu ini, kerajaan perlu giat membuat penguatkuasaan secara bersepadu kerana melibatkan bidang kuasa berlainan. Ini kerana Kementerian Kesihatan tidak boleh mengambil tindakan ke atas pusat kecantikan yang membuat servis ini kerana ia dikategorikan sebagai perniagaan. Kerajaan juga perlu mewujudkan saluran untuk masyarakat membuat aduan yang mudah untuk diakses.


NAK CANTIK? IKUTI TIP ‘D-U-I-T’

Sesiapa sahaja boleh jadi cantik jika amal empat tip ini.

D -Doa. Sentiasa berdoa minta kepada Allah. Kebanyakan orang lupa nak berdoa untuk cantik. Sebab itu kita dianjurkan membaca doa setiap kali tengok cermin.

U - Usaha. Kalau ada masalah kulit, berusahalah untuk memulihkannya dan gunakan cara yang betul dan selamat.

I - Istiqamah. Buat langkah penjagaan kulit secara berterusan dan bukan ikut musim sahaja.

T - Teknik. Kena rujuk pakar kalau ada masalah kulit untuk mengetahui teknik rawatan yang betul.

Amalan penjagaan kulit juga perlu melakukan tiga rutin ini iaitu mencuci muka, memakai pelembab dan menggunakan pelindung matahari. Walau bagaimanapun, ‘produk’ pelembab yang paling 
berkesan ialah air wuduk kerana ia boleh ‘membersihkan’ wajah lima kali sehari.

 

KULIT ORANG ASIA PALING CANTIK

Kulit kita terbahagi pada skala 6. Skala 1 ialah orang berkulit putih dan skala 6 ialah orang berkulit hitam. Orang Malaysia berada dalam skala 3 dan 4, iaitu skala paling cantik dan jarang bermasalah.

Namun, masyarakat kita lebih meletakkan definisi cantik itu ialah berkulit putih. Disebabkan putih inilah ia menjadi agenda kosmetik yang mana orang tercari-cari macam mana nak jadi putih.

Tuhan dah jadikan Orang Malaysia dan Asia berada di skala cantik itu dan bersyukurlah dengan kulit itu. Bila kita bersyukur lebih, kita tidak jadi ‘gila-gila’ sangat nak jadi putih.