Ironinya, insiden pada 20 Jun lalu terjadi belum pun sempat tertuduh pada kejadian pertama di kawasan sama 7 Mac lalu dijatuhi hukuman.

Lebih mengecewakan, jumlah wang jaminan tertuduh diturunkan serta dibenar ikat jamin yang jelas menunjukkan kelembutan hati apabila berdepan dengan industri.

Sebagai peringatan, insiden 7 Mac lalu melibatkan hampir 6,000 orang terpaksa mendapatkan rawatan selepas mengalami muntah, pening dan sebagainya akibat terhidu sisa toksik yang dibuang ke dalam sungai.

Sejumlah 111 buah sekolah pula terpaksa ditutup dengan ribuan lagi turut terjejas secara tidak langsung.

DANA KHAS

Alasan kekangan logistik dalam memantau kawasan berisiko tinggi seperti Pasir Gudang sehingga terjadi insiden kedua tidak boleh diterima.

Penyelesaian terkini seperti penggunaan dron bagi memantau kualiti air dan udara secara masa nyata serta langkah proaktif mewajibkan pihak industri melapor data bahan kimia secara berkala harus dipertimbangkan pihak berkuasa.

Adalah disarankan agar dana khas sumbangan pihak industri diwujudkan bagi membolehkan mekanisma pencegahan, pemuliharaan dan pembaikan kawasan yang terjejas akibat pencemaran.

Dana ini juga boleh membiayai program latihan serta pengupayaan komuniti, pemantauan oleh pihak berkuasa selain sebagai platform ganti rugi atau pampasan terhadap mangsa dan kos pembaikan sungai terbabit.

Mahkamah Khas bagi kes pencemaran alam sekitar perlu diwujudkan dengan segera seperti yang pernah dilaksanakan di Sabah. Pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling yang sedang diperhalusi sekarang harus memperuntukkan denda maksimum serta penjara mandatori bagi pesalah.

Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada semua bahawa pencemaran alam sekitar boleh membunuh. Tindakan culas atau keputusan tamak seseorang pemandu lori ataupun CEO adalah sama impaknya terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.

Pakar kualiti sumber air dan udara dari universiti tempatan perlu turun padang bersama-sama dengan agensi kerajaan bagi membantu masyarakat meningkatkan tahap kesedaran bagi menghadapi bencana ini agar kajian mereka dapat dimanfaatkan.

FIRST RESPONDER

Dalam usaha menyelaras tindakan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) harus diterajui profesional daripada skim teknikal selain menjadikan pencemaran alam sekitar sebagai senarai keutamaan. Nadma harus proaktif dengan kesemua pihak berkepentingan dalam menerajui tindakan di lokasi.

Mekanisme piawaian first responder dalam melaksanakan tugasan masing-masing perlu ditambahbaik. Pengetahuan teknikal mereka harus dipertingkat dari semasa ke semasa seiring pertambahan bahan kimia di pasaran.

Tindakan segera menghantar pelajar ke hospital adalah dipuji. Namun pada masa yang sama ibu bapa harus dimaklumkan agar tidak timbul salah faham.

Senarai kawasan panas di mana sering berlaku pencemaran alam sekitar perlu diwujudkan dan dikongsi bersama dengan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia contohnya agar tindakan pencegahan awal dapat diselaraskan dengan lebih mantap.

KOMPROMI?

Sistem sokongan lebih menyeluruh serta melibatkan ketiga-tiga peringkat kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan amat diperlukan.

Penglibatan agensi seperti JPAM, Bomba, Rela dan JKKK umpamanya perlu diperkasa dalam memastikan pelan pengurusan kawasan bencana dapat diselaras antara agensi.

Lebih banyak kajian dan penyelidikan diperlukan bagi mengenalpasti dengan lebih awal punca pencemaran serta jenis bahan cemar.

Kepakaran pihak universiti dalam disiplin forensik alam sekitar perlu digunapakai bagi memperkukuh kes apabila dibawa ke pengadilan.

Pendekatan sains perlu dalam mendidik masyarakat tentang sifat bahaya bahan cemar serta kawasan tebaran bahan cemar agar masyarakat maklum tentang risiko kawasan berkenaan serta boleh mengambil langkah waspada selain memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam apa jua keadaan.

Masyarakat setempat perlu dilibatkan sama dalam memantau tahap pencemaran sesebuah lokasi. Sebagai contoh program Citizen Science di mana murid sekolah serta masyarakat diberi latihan pengupayaan dalam memantau tahap kualiti air sungai menggunakan beberapa organisma petunjuk.

Masyarakat yang aktif dalam media sosial memerlukan pihak berkuasa proaktif dan pantas dalam menyalur maklumat terkini menggunakan pelbagai media.

Ini secara tidak langsung boleh membantu dalam memberi amaran awal mengikut tahap pencemaran selain mengelak situasi panik.

Ketelusan dan kepantasan pemerintah dalam memberi maklumat secara berkala akan membolehkan masyarakat merancang serta mengambil langkah proaktif yang sewajarnya dalam membantu mengurangkan impak pencemaran.

Pelan pembangunan kawasan Pasir Gudang harus diteliti semula dengan mengambil kira potensi berlakunya kes serupa pada masa hadapan.

Kerajaan perlu lebih cerewet dalam memastikan tidak ada lagi industri serupa diwujudkan agar tidak berlaku penambahan risiko.

Pihak industri sendiri perlu berubah ke arah yang lebih mesra alam selain perlu melihat semula rantaian nilai masing-masing agar tiada sebarang ancaman terhadap kesihatan awam.

Kita tidak boleh berkompromi dengan insiden sebegini jika tidak mahu ia berulang untuk kali ketiga dan seterusnya.

Apa yang perlukan sekarang adalah ketegasan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat di Pasir Gudang terus terpelihara.

DR. MOHD YUSOFF ISHAK ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).