Golongan muda juga diharap tidak mencemarkan kesucian Ramadan dengan berdua-duaan bersama pasangan masing-masing sedangkan mereka berpuasa. Lebih mendukacitakan apabila ada yang tidak segan silu bercumbuan dan berpelukan di khayalak ramai. Hormatilah kemuliaan Ramadan dengan menjaga adab sopan sebagai seorang Muslim yang tertakluk kepada suruhan dan larangan agama sepanjang masa.

Lebih daripada itu, inilah masanya seseorang dapat mendidik nafsu ke jalan yang diredai oleh-Nya. Malah kesempatan iblis dan syaitan dibelenggu, eloklah dimanfaatkan dengan memperbanyakkan aktiviti ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT seraya menjauhi kemurkaan-Nya. Kegagalan mendidik nafsu sendiri menunjukkan kepada semua siapa musuh yang sebenar. Justeru amatlah rugi jika dalam keadaan berpuasa, masih ada yang terlibat melakukan dosa dan kemungkaran.

Lebih mendukacitakan apabila terdapat kalangan Muslimin yang enggan berpuasa. Bukan sekadar golongan remaja dan muda malah yang sudah tua dan beruban juga ingkar berpuasa. Sedarlah betapa pahala sebab berpuasa tidak pernah diketahui kerana Allah sendiri yang akan membalasnya. Begitu juga kata ulama, azab seksa sebab tidak berpuasa juga dilipatgandakan lagi tidak diketahui apakah hukumannya.

Semakin memalukan apabila terdapat segelintir yang makan dan minum di khayalak ramai tanpa sedikit pun rasa bersalah. Malah orang berbangsa Cina dan India pula yang malu untuk makan di hadapan rakan beragama Islam. Dalam hal ini, golongan peniaga diharap tidak bersubahat dengan menyediakan makanan dan minuman kepada pelaku dosa sehingga kemungkinan mereka juga terpalit dengan dosa.

Pada masa sama, seluruh anggota masyarakat diajak menjalankan kerja-kerja menyeru kepada kebajikan dan mencegah kepada kemungkaran dengan menegur sesiapa sahaja yang berbuat demikian. Ataupun melaporkan kepada pihak berkuasa agar diberi kaunseling dan insaf dengan perbuatan mereka. Ini perlu dilakukan agar kemurkaan Allah tidak mengena kepada semua walaupun kemungkinan masalah ini dipandang remeh dan isu berulang setiap kali Ramadan.

Sedarlah betapa hari-hari Ramadan yang kunjung tiba akan cepat berlalu dan tidak akan kembali lagi. Kemungkinan golongan yang leka dan lalai berbuat kebajikan di bulan Ramadan termasuk dalam kalangan orang yang rugi kerana terpilih bertemu Ramadan tetapi tidak memperoleh apa-apa ganjaran kebajikan.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM)Kampus Pasir Gudang, Johor.