Bagaimanapun berita berkenaan dinafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang kononnya kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya sebelum ini.

Isu berkaitan saham syarikat milik Tabung Haji yang diambil alih Kementerian Kewangan dari segi pengurusan sememangnya sudah hangat dibincangkan dalam kalangan umat Islam di sini.

Tersebar juga dalam media sosial mengatakan sesetengah harta milik Tabung Haji yang bakal dibangunkan dan dijangka menguntungkan lembaga itu telah dijual kerajaan PH kepada syarikat yang kurang pasti identitinya.

Setakat ini belum ada pihak mengesahkan perkara berkenaan untuk diketahui umum terutama pendeposit Tabung Haji yang berhak.

Saya bagaimanapun ingin berkongsi pendapat di samping berbincang dengan pembaca mengenai pengiring jemaah haji yang tidak akan mendapat subsidi jika mereka mahu menunaikan ibadah haji yang bukan mengikut tempoh gilirannya yang sebenar.

Saya pernah menunaikan ibadah haji pada 2007 serta 2008 dan umrah pada 2010 serta 2013.

Ketika itu saya dapat memerhati dan menyaksikan beberapa insiden jemaah lanjut usia yang menggunakan khidmat pengiring.

Keadaan sama dapat diperhatikan oleh tujuh anak dan menantu saya yang mengerjakan ibadah haji pada 2015.

Bukan semua jemaah haji boleh pergi ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda kerana masing-masing menghadapi masalah kewangan terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Ada sesetengah jemaah wanita tergolong dalam kategori tidak mempunyai suami yang perlu mendapatkan khidmat pengiring terutama adik-beradik, anak lelaki dan perempuan.

Sesetengahnya pula mendapatkan khidmat anak saudara perempuan menemaninya.

Kaum lelaki yang sudah lanjut usia turut memerlukan khidmat pengiring seperti anak lelaki dan perempuan atau anak saudara lelakinya sendiri.

Ibadah haji bukan mudah untuk dilaksanakan terutama ketika melontar di tiga jamrah, tawaf dan saie.

Perjalanan yang agak jauh memerlukan bantuan seseorang dan ia gagal dilakukan sekiranya khidmat pengiring tidak lagi diberi subsidi sebagaimana kebiasaan sebelumnya.

Antara masalah yang dihadapi jemaah berusia lanjut ini ialah menguruskan kesihatan diri, membersihkan badan dan pakaian ihram, berjalan kaki dari Mina ke tempat melontar tiga jamrah, mengelilingi Kaabah di tengah kesesakan jemaah lain dan melakukan ibadah saie yang akan berulang-alik sebanyak tujuh kali dari Safa ke Marwah.

Walaupun Tabung Haji ada menyediakan khidmat sukarelawan Sahabat Tabung Haji bagi membantu jemaah terbabit, namun ia tetap menyulitkan.

Dengan adanya khidmat pengiring, beban tugas pegawai dan kakitangan Tabung Haji melayan warga emas yang terdiri daripada jemaah berusia lanjut ini dapat dikurangkan.

Sehubungan itu hasrat mana-mana pihak mahu menarik balik subsidi pengiring jemaah haji sama ada wangnya mencukupi atau sebaliknya ketika menunaikan ibadah haji tidak harus dilakukan demi menjalankan perintah Allah sebagai umat Islam.

Pihak terbabit harus meneliti semula matlamat Tabung Haji ditubuhkan oleh Profesor Diraja Ungku Aziz bagi menyediakan kemudahan jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji di samping menjaga kebajikan mereka.

Dana deposit yang disimpan bakal jemaah haji jangan disalahgunakan bagi tujuan kepentingan ekonomi dan keuntungan sesetengah syarikat serta pihak tertentu.

Keuntungan pembangunan harta milik Tabung Haji adalah hak umat Islam yang mengumpulkan dana sendiri bagi tujuan menunaikan ibadah haji pada suatu masa nanti.

Jangan sampai Allah melaknat orang yang mengkhianati amanah yang diberikan umat Islam di negara ini.

Kerajaan hendaklah membantu memulihkan kesulitan harta Tabung Haji di samping tidak mengambil kesempatan menjualnya kepada orang yang mempunyai kepentingan diri sendiri semata-mata.

Takutilah bala yang Allah akan turunkan kepada kita semua akibat daripada kerakusan tangan-tangan kita sendiri tanpa disedari suatu masa nanti.

DATUK DR. AZMI ABDUL MALEK ialah perunding media dan penyelidikan sains politik tanah air.