Pandangan beliau bahawa kadar kemiskinan di Malaysia mungkin sebenarnya mencecah 20 hingga 30 peratus (dengan merujuk kepada laporan kajian KRI) adalah satu saranan yg terburu-buru, tidak menepati konteks dan amat mudah mengelirukan masyarakat.

Masyarakat harus faham bahawa perlaporan ekonomi negara (seluruh didunia termasuk Ban Dunia) dibuat berdasarkan tatacara dan piawaian antarabangsa.

Penterjemahan maksud dan implikasi mesti disesuaikan dengan konteks sesebuah negara, khususnya tahap kemajuan dan pembangunan negara berkenaan.

Garis Kemiskinan yang dilaporkan, terkini RM980 dan kadar kemiskinan yang dilaporkan 0.4 peratus adalah betul namun takrifannya perlu dibuat dengan berhati-hati.

Terdapat banyak lagi ukuran penanda aras kemiskinan yang digunakan dan setiap satu membawa maksud tersendiri serta juga konteks ukuran dibuat.

Dalam menangani kemiskinan dunia, mulai Oktober 2015, Bank Dunia menggunakan garis kemiskinan antarabangsa AS$1.90 sehari (sekitar RM239 sebulan!). Bagi memenuhi konteks negara masing-masing, setip negara juga memperkenalkan ukuran penanda aras masing-masing. Di Amerika Syarikat, garis pendapatan AS$D11,770 diguna pakai untuk seorang individu dibawah umur 65 tahun (sekitar RM4,110 sebulan!). Manakala di India pula garis kemiskinan individu bandar ialah AS$D17 sehari, sekitar AS$510 sebulan (sekitar RM2,137 sebulan).

Terdapat juga ukuran lain yang merujuk kepada status yang berbeza. Umpamanya kadar kemiskinan relatif mengukur peratus penduduk yang mempunyai pendapatan kurang dari pendapatan penengah, lebih menjurus kepada pendapatan secara relatif.

Terdapat juga ukuran kemiskinan bersifat indeks multi-dimensi yang lebih luas dari pendapatan, merangkumi pemrkhidmatan kesihatan, pendidikan, perumahan dan sebagainya.

Kajian Bank Negara Malaysia umpamanya melaporkan tahap pendapatan untuk kehidupan yang selesa (Living Wage) bagi isi rumah dua anak di Kuala Lumpur pada tahun 2016 ialah RM6,500 sebulan.

Laporan Belanjawanku oleh KWSP dan Universiti Malaya diawal 2019 pula mendapati RM6,620 adalah pendapatan minima utk isi rumah dua orang anak di Lembah Kelang hidup selesa.

Bagi membuat takrifan yang betul, kita mesti jelas dengan setiap ukuran penanda aras ini, konteksnya, individu atau isi rumah, bandar atau luar bandar, mutlak atau relatif, keperluan kesihatan atau keselesaan, dan sebagainya.

Di Malaysia garis kemiskinan RM980 yang dilaporkan umumnya merujuk kepada tahap minima pendapatan yang memenuhi keperluan untuk ‘pemakanan yang sihat’ di ukur berdasarkan kalori yang diperlukan oleh seorang individu serta juga beberapa keperluan asas kehidupan.

Kadar 0.4 peratus yang dilaporkan di Malaysia merujuk kepada peratus penduduk yang mempunyai pendapatan kurang dari garis pendapatan ini.

Ukuran ini tidak salah, tidak cuba menyorokkan apa-apa maklumat dan tepat berdasarkan kaeadah yang khusus. Ianya juga disemak secara berkala. Kita jangan keliru.

Sejak merdeka, usaha menangani kemiskinan adalah antara matlamat utama perancangan pembangunan. Diperingkat antarabangsa, kejayaan Malaysia membasmi kemiskinan sering diikitiraf sebagai sebuah negara contoh.

Malah berdasarkan pendapatan perkapita (purata utk seorang penduduk), Malaysia kini menghampiri mencapai negara tahap pendapatan tinggi. Namun, ini tidak sama sekali bererti ‘semua’ rakyat Malaysia hidup senang berpendapatan tinggi.

Di Amerika Syarikat dan negara-negara maju lain juga terdapat isi rumah yang miskin walaupun ini adalah negara-negara maju dan berpendapatan tinggi.

Permasalahan sosial tetap akan ada untuk semua negara tidak kira tahap pendapatan negara berkenaan.

Untuk Malaysia memang benar kemiskinan hampir dibasmikan, negara kita secara keseluruhan membangun dengan baik, kualiti kehidupan meningkat, namun bila diperincikan secara mikro, masalah Malaysia lebih tertumpu kepada isu pengagihan, keserakan, kesetaraan, dan kesaksamaan.

Ini yang menjadi paksi kepada Kemakmuran Bersama yang diutarakan oleh Perdana Menteri bukan kemiskinan yang berluasa tetapi meningkatkan keserakan manfaat pembangunan secara lebih meluas agar kejayaan pembangunan dinikmati bersama oleh semua rakyat Malaysia.

Pandangan pakar PBB yang mengatakan ukuran garis kemiskinan Malaysia adalah lapuk dan dianggarkan 20 hingga 30 peratus penduduk adalah miskin adalah tidak tepat.

Kemiskinan di Malaysia adalah rendah, hampir dibasmikan dan bersifat terpencil dan ‘berpoket’ tertumpu kepada kes-kes khusus dan setempat, seperti kawasan pedalaman, masyarakat Orang Asli, warga emas, dan kemiskinan bandar yang khusus. Usaha terus dilaksanakan namun penumpuan polisi kita ialah kepada isu kos sara hidup dan kualiti kehidupan ‘bukan’ kemiskinan.

Isu utama ialah tahap pendapatan rendah, bukan miskin. Oleh sebab itu istilah B40 merupakan perkara pokok dalam perbincangan kita. B40 merujuk kepada isi rumah 40 peratus terbawah. Pelbagai program menumpu kepada kumpulan B40. Harus diingat, garis pendapatan isi rumah B40 ialah RM3,860 sebulan. Sekitar lapan juta rakyat Malaysia berada dalam kategori ini.

Sebahagian besar bukan ‘miskin’ tetapi ‘berpendatan rendah’, lebih atas dari kemiskinan. Kita sebuah negara yang berjaya menangani kemiskinan dan cabaran terkini kita bukan isu kemiskinan seperti yang utarakan oleh PBB. Beliau silap.

Boleh sahaja kita memakai penanda aras yang berbeza. Itu pilihan kita. Secara peribadi, saya lebih cenderung untuk menggunakan tanda aras ‘kehidupan yang selesa’ atau ‘living wage’ yang mengambil kita lokasi, konteks yang lebih luas dan juga saiz tanggungan seperti laporan Bank Negara dan KWSP.

Umpamanya, apakah tahap pendapatan selesa utk sebuah isi rumah dua anak di Bagan Serai? Pastinya berbeza dengan isi rumah dua anak di Johor Bahru. Malaysia boleh mempertimbangkan kaedah ini.

Ukuran ini membolehkan kita menangani permasalahan dengan lebih efektif, bersasar, menyelesaikan masalah dan juga tidak membebankan kedudukan fiskal negara. Tumpuan ialah untuk meningkatkan pendapatan bagi mencapai tahap kehidupan yang lebih selesa.

Bukan persoalan ‘miskin’ seperti yang disuarakan oleh pakar PBB. Saranan beliau tidak tepat dan mengelirukan. Beliau gagal mengambil kita konteks negara kita dan melulu dengan kesimpulan yang salah.

 

Prof. Tan Sri Nor Azlan Ghazali
Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Bekas Naib Canselor UKM

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.