Bagi Pensyarah Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khairulazlan Abdul Karim, dia melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif. Ini kerana golongan muda dapat mengenali budaya orang Melayu itu sendiri. Secara tidak langsung mampu mempopularkan dan mengkomersialkan pemakaian tengkolok ke peringkat lebih tinggi.

Di Eropah misalnya, budaya pemakaian topi suatu ketika dahulu adalah untuk golongan bangsawan. Seperti contoh, topi untuk queen (permaisuri), ada rekaan tersendiri dengan dihiasi jaring-jaring. Ini menjadi ilham kepada pereka dan peminat fesyen untuk menghasilkan topi-topi untuk dikomersialkan .

“Sama juga dengan tengkolok. Trend ini menjadi satu bentuk promosi atau imej baharu kepada pereka fesyen tempatan.

“Ia adalah satu penghormatan kepada tengkolok yang mana budaya orang Melayu itu masih kekal sampai sekarang,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Kelab malam, disko

Pada asalnya tengkolok adalah pakaian untuk golongan bangsawan. Itu adalah pakaian rasmi mereka. Tidak kisahlah dalam acara mana sekalipun, mereka tetap akan pakai kerana ia merupakan satu keunikan atau kebanggaan.

Bagi rakyat biasa, ia dipanggil semutar iaitu lilitan kain pada kepala bagi melindungi daripada terik matahari atau dahan-dahan pokok semasa memasuki hutan.

Tengkolok merupakan lambang kepada golongan bangsawan. Pakai sahaja tengkolok bermakna lengkaplah persalinan mereka. Pakai tengkolok menampakkan mereka sebagai seorang sultan atau pemerintah yang berkaliber. Maknanya tengkolok merupakan suatu kuasa atau aura yang memberi daya tarikan untuk seseorang kelihatan berwibawa.

Namun sekarang ia dipakai oleh orang kebanyakan. Kadang-kadang headgear pun digayakan menyerupai tengkolok. Warna pun biasa sahaja seperti hitam, bukan diperbuat daripada songket. Ia lebih kepada perhiasan kepala macam topi, bukan tengkolok asli. Kalau pakai dengan seluar jean pun tidak menjadi isu, itu adalah trend. Setidak-tidaknya anak-anak muda tahu itu adalah tengkolok yang dimodenkan atau ‘dirakyatkan’ untuk orang biasa.

Walau bagaimanapun harus hati-hati. Penggayaan tengkolok mestilah tepat pada waktu dan tempatnya.

Menurut Khairulazlan, kena ingat, tengkolok adalah pakaian orang Melayu. Justeru, tempat-tempat yang tidak sesuai untuk imej orang Melayu perlulah dielakkan. Sebagai contoh, pakai headgear menyerupai tengkolok dengan berkunjung ke kelab malam, tentulah akan menimbulkan konflik. Pakai macam orang Melayu tapi perangai tak macam Melayu! Itu sangat tidak boleh.

“Tiba-tiba pakai tengkolok, seluar jean terus pergi disko. Perbuatan itu akan memaparkan orang Melayu dengan akhlak yang tidak baik.

“Tapi kalau untuk majlis, lepak dengan kawan-kawan, ke kompleks beli-belah contohnya, saja-saja nak pakai headgear, tidak jadi halangan. Macam pakai cap saja,” ujarnya.

Bagi acara-acara keramaian seperti perkahwinan, jamuan atau majlis yang ada tema nusantara misalnya, memakai tengkolok tidak menjadi isu. Tempat-tempat sedemikian boleh mempopularkan pakaian Melayu supaya lebih dikenali dan diingati.

Sekurang-kurangnya mereka yang menggayakannya ada usaha mencari, membeli dan menyimpan sebagai koleksi pakaian lengkap baju Melayu. Seolah-olah ada arkib di rumah masing-masing. Secara tidak langsung budaya dan cara pemakaian tradisional orang Melayu tidak hilang.

Songket

Fabrik utama dalam pembuatan tengkolok dalam kalangan bangsawan biasanya adalah songket. Mereka mengenakannya dengan satu set baju Melayu, siap dengan samping, bengkung dan seluar. Untuk sultan, ia adalah pakaian rasmi.

Walau bagaimanapun, tegas Khairulazlan, menggayakan tengkolok songket dengan pakaian biasa seperti baju T, kurta dan seluar jean, itu boleh menimbulkan konflik kerana tidak lengkap.

Baginya falsafah itu adalah salah, tidak manis. Kalau nak pakai cara orang Melayu, buatlah betul-betul, bukan separuh-separuh. Ia hanya merosakkannya.

Tanggungjawab

Kepada orang muda, Khairulazlan menasihati mereka supaya mengambil tanggungjawab untuk menjaga maruah dan martabat pakaian tradisional Melayu. Bukan sekadar memakainya untuk suka-suka atau terikut-ikut kerana itulah sejarah dan susur-galur warisan kita.

“Kalau nak memartabatkan pakaian lama Melayu di atas pentas baharu, dunia millenium, tolong pakai dengan cara dan tempat yang betul.

“Bukannya menggambarkan orang Melayu sebagai negatif. Pakai tengkolok cantik-cantik tapi buat benda tak cantik,” tegasnya.

Rapper popularkan tengkolok?

PEMAKAIAN tengkolok dalam majlis-majlis dilihat mula popular sejak akhir-akhir ini. Meskipun akhir tahun lepas sudah ada, namun tahun ini nampak semakin menjadi-jadi.

Pensyarah Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khairulazlan Abdul Karim berkata, pemakaiannya semakin popular selepas digayakan oleh kumpulan rap di atas pentas seterusnya merebak menjadi ikutan anak-anak muda.

Baginya, perkembangan tersebut okey, cuma perlu disesuaikan dengan tempat dan ketika.