Ini selalu jadi alarm abang hensem. Hidup ini dinamik. Bergerak dari waktu ke waktu. Dari satu sudut ke sudut.

Orang yang berdiri di hadapan kita, hari ini seorang kuli. Tapi 20 tahun lagi, barangkali sudah jadi jutawan.

Sebaliknya yang hari ini berbangga diri sebagai bos besar, jangan lupa, suatu waktu boleh saja posisi itu terbalik.

 

Abang hensem teringat suatu kisah selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Shah Alam sekitar akhir 1980-an. Waktu itu aggregat SPM diperoleh cukup cantik, 9. Tapi sukar ke institut pengajian tinggi (IPT), dan terpaksa sambung ke tingkatan enam.

Masuk pulak tingkatan enam, yang dibahagikan kepada dua kelas di Seksyen 2, sebahagian besar pelajarnya sedang tunggu result ke IPT. Selang tiga bulan kemudian, dari dua kelas, tinggal satu kelas. Itu pun sekitar 30 pelajar.

‘Lebih hiba’ lagi setiap kali balik dari sekolah, abang hensem yang berpakaian seragam serba putih dari baju ke seluar panjang dengan berkasut hitamnya terpaksa ‘tahan diri’ bila berada dalam bas mini.

Mana tidaknya, bas-bas mini itu saban hari dipenuhi mereka sebaya abang hensem yang semuanya hebat-hebat belaka - pelajar persediaan ke luar negara atau KPP.

Terasa diri ini begitu kecil sekali sehinggakan terasa mereka yang berkepit fail dalam bas mini itu semua ‘kesiankan’ abang hensem.

Begitupun percaturan-Nya siapa yang tahu. Syukurlah abang hensem lolos juga ke universiti, dengan pencapaian dua dekad dalam kerjaya boleh abang hensem katakan ‘sebahagian dunia ini sudah dijejaki’.

Dan teringat juga abang hensem kisah hidup Jack Ma, pengasas syarikat e-dagang terbesar, Alibaba Group Holding Ltd (Alibaba). Semasa mudanya, Jack Ma pernah memohon pekerjaan di KFC. Namun daripada 24 orang yang memohon, hanya 23 diterima, di mana dia satu-satunya yang tidak diterima. Pernah memohon menjadi anggota polis bersama lima yang lain, tapi dia satu-satunya individu dari kumpulannya yang ditolak.

Dia dan seorang lagi sepupunya pernah memohon pekerjaan sebagai pelayan di sebuah hotel bertaraf empat bintang. Tapi hanya sepupunya yang diterima bekerja.

Alibaba kini memiliki lebih daripada 25,000 kakitangan. Kejayaan ini diikuti pencapaian terbesar apabila mencatat sejarah penjualan saham perdana sehingga AS$25 juta.

Jack Ma dalam ucapannya di Universiti Stanford suatu ketika berkata: “Tidak seorang pun yang percaya saya mampu melakukan sesuatu yang bermakna di masa depan. Saya tak pernah terfikir untuk memiliki masa depan seperti hari ini.”

Pesan abang hensem kepada semua: Kalau kita diberikan kecerdikan dan hidup sejahtera, patut disyukuri tanpa harus pandang rendah orang lain.

Jika itu pun tak boleh dibuat untuk hargai orang, setidak-tidaknya jangan menghina.