Dengan menggunakan lima senapang semi-automatik, penyerang yang dikenali sebagai Brenton Tarrant, seorang warganegara Australia, telah membunuh 49 nyawa dan mencederakan berpuluh lagi. Tidak diketahui bilangan kanak-kanak yang turut terbunuh atau tercedera di dalam peristiwa tersebut. Apa yang lebih menyedihkan pembunuh telah menyiarkan secara langsung perbuatannya melalui media sosial. Peristiwa serangan di Chrishurch ini memberi pengajaran kepada semua pihak.

Pertama, serangan ini merupakan serangan, dalam istilah kajian terrorisme, lone-wolf (serangan keganasan perseorangan) yang tidak dikaitkan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

Menurut laporan media, walau bagaimanapun, tindakan pelaku itu telah dicelarukan dengan ideologi yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan white-supremacy (Ketuanan Orang Putih).

Di dalam 74-halaman manifesto yang juga disiarkan melalui akaun media sosial pembunuh tersebut, tindakan nya banyak dipengaruhi oleh kata-kata yang dikutip daripada para pemimpin gerakan sayap kanan seperti Felix Kjelberg, yang menggunakan Youtube sebagai alat menghina bangsa lain termasuk agama Islam; dan Justiar Brevik, warganegara Norway yang menyokong ideologi kumpulan ekstremis Kristian abad ke-12 yang menentang kekuasaan Empayar Ottoman.

Apa yang lebih menarik di dalam manifesto Brenton Tarrant adalah kepercayaannya bahawa Islam telah disamakan dengan fascime yag menyebabkan pertumpahan darah di seluruh dunia. Dia menyalahkan dasar imigrasi yang membawa penyakit sosial dan agama kepada masyarakat negara Barat. Malah ‘jihad’; pelaku ini telah diperkuatkan dengan memetik beberapa ayat dalam bahagian Matthew 26:52 kitab Injil bagi menjustifikasikan tindakannya.

Ketaksuban Ketuanan Orang Putih dan kepercayaan agama Kristian yang ekstrem membawa kepada pengajaran yang kedua bahawa terrorisme masa kini dengan jelas tidak boleh dikaitkan hanya dengan Islam. Walaupun semua agama mempromosikan agenda keamanan, sikap toleransi dan hormat menghormati, kita tidak dapat mengelak daripada berhadapan dengan segelintir yang menggunakan agama untuk bertindak di luar daripada batasan kemanusiaan.

Tetapi menyamakan agama dan pengikutnya dengan tindakan keganasan atau terorisme adalah satu kesilapan besar. Para pemimpin dan masyarakat Barat harus sedar bahawa golongan ektremism wujud dalam semua agama.

Apa yang berlaku di Myanmar, Nigeria dan yang terbaharu New Zealand merupakan bukti yang jelas. Malah, Perdana Menteri New Zealand, Jacinde Kate Laurell, sendiri telah melabelkan insiden yang berlaku sebagai satu perbuatan terrorisme.

Akhir sekali, akibat kegagalan mengenalpasti bahawa kegiatan terrorisme adalah merentas semua agama, wujudlah kealpaan di pihak berkuasa keselamatan terutamanya di dalam fokus mereka mengumpul maklumat risikan.

Menurut laporan media, penyerang Brenton Tarrant, bukanlah mereka yang termasuk dalam senarai orang bahaya kerana ketiadaan rekod jenayah yang berkaitan. Tetapi para pengkritik New Zealand menegaskan, perkara ini timbul kerana badan perisikan negara tersebut hanya memberi fokus kepada komuniti Islam sebagai sasaran risikan mereka.

Pihak berkuasa keselamatan enggan menerima hakikat dan lupa bahawa pergerakan Ketuanan Orang Putih juga telah lama menjadikan New Zealand sebagai pusat pergerakan mereka selain di Amerika Syarikat (AS). Komuniti Islam dan migran sering menjadi sasaran serangan kecil di Christchurch. Di AS, kumpulan pihak berhaluan kanan ini sering dikaitkan dengan insiden seperti pembakaran kitab al-Quran dan siri serangan terhadap masyarakat Islam, kulit hitam dan pendatang.

Oleh itu, para pemimpin dan masyarakat Barat, harus belajar dan mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Walaupun ada dalam kalangan mereka cuba menafikan kaitan serangan ini dengan idelogi ekstremisme Kristian dan pergerakan Ketuanan Orang Putih, mereka sudah tidak lagi boleh berbohong kepada dunia bahawa pertama Islam bukanlah agama keganasan, dan kedua perilaku dan keganasan juga wujud dalam semua agama.

Mereka seharusnya cuba mencari strategi dan titik kesefahaman untuk menolak sebarang ideologi politik atau pergerakan keganasan yang menggunakan agama sebagai alat perjuangan mereka.

Kamarulnizam Abdullah ialah Profesor Keselamatan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, dan Felo Kanan di Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand, dan Singapura (ITS), Universiti Utara Malaysia, Sintok