Saya amat meminati apam balik namun perlu berpada-pada menikmatinya kerana gula dalam kuih kegemaran saya itu agak tinggi.

Bulan Ramadan amat istimewa kerana ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang agama dan etnik untuk menikmati juadah yang dijual di serata bazar Ramadan, restoran dan hotel.

Pelbagai juadah yang terdapat sepanjang bulan puasa sudah tentu meningkatkan nafsu makan rakyat Malaysia, termasuk yang bukan beragama Islam.

Namun, alangkah baik jika semua rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk sama-sama menghayati kelebihan puasa dan bagaimana ia boleh mendidik kita untuk menjadi insan yang lebih baik dan sempurna.

Walaupun tidak menjalani ibadah puasa, rakyat Malaysia bukan beragama Islam seharusnya menginsafi nasib mereka yang kekurangan.

Tatkala kita menjamu selera dengan pelbagai juadah lazat, bayangkan mereka yang tidak mampu untuk membeli makanan untuk mengisi perut sendiri dan ahli keluarga lain.

Hati saya amat tersentuh setiap kali membaca kisah keluarga yang mengalami kesempitan hidup dan berhempas pulas bekerja demi mencari sesuap nasi.

Begitu juga warga emas yang terbiar kesepian di rumah masing-masing apabila anak-anak sibuk dan tidak berkesempatan untuk menjenguk mereka.

Sempena bulan Ramadan, marilah kita menilai semula tahap keprihatinan kita terhadap ahli keluarga dan masyarakat. Adakah kita masih berpegang kepada nilai-nilai murni yang disemai sejak kecil termasuk di bangku sekolah?

Persoalan ini amat penting kerana nilai-nilai murni seperti sifat prihatin terhadap warga emas serta mereka yang kurang berkemampuan dan menghormati mereka yang lebih tua makin terhakis.

Alangkah sedih apabila terpampang di dada akhbar kisah ibu bapa ditinggalkan di rumah orang tua manakala keluarga miskin hidup melarat tidak dipeduli jiran tetangga.

Sepertimana dirasai mereka yang sedang berpuasa, golongan miskin ini sering menahan rasa lapar dan dahaga disebabkan tidak mampu membeli makanan.

Jika kita dapat mendalami perasaan mereka, saya yakin ramai yang tidak akan sanggup membazir makanan sepertimana yang sering kita lihat sepanjang bulan-bulan Ramadan yang lepas.

Ia juga boleh menjadi latihan yang baik untuk mengekang nafsu makan yang membuak-buak setiap kali melihat hidangan mewah terutamanya puluhan makanan yang dihidang secara bufet di restoran dan hotel.

Sedikit demi sedikit kita akan lebih berdisiplin dan menghargai makanan. Secara tidak langsung ia mampu mengurangkan kuantiti makanan yang dibuang dari premis makanan menyedia hidangan secara buffet ini.

Amalan bersedekah juga harus dipraktikkan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan kerana ia mampu mengurang beban yang ditanggung oleh golongan miskin.

Walaupun setiap kita hanya mampu menyumbang sedikit barangan atau wang ringgit, secara keseluruhan jumlah terkumpul mampu meringan beban ramai individu dan keluarga yang terdesak akibat kesempitan hidup.

Saya amat terharu apabila melihat pertubuhan bukan kerajaan, para sukarelawan dan juga individu tertentu yang berusaha gigih untuk membantu golongan yang memerlukan ini.

Program sebegini seharusnya melibatkan golongan muda agar mereka memahami masalah yang dihadapi golongan tidak berkemampuan dan membantu mereka.

Sebagai bakal pemimpin untuk masa hadapan, amat penting untuk generasi muda mempunyai keprihatinan tinggi agarsentiasa berusaha untuk membantu rakyat dan meningkat taraf hidup mereka.

Aspek ini menjadi fokus di dalam Yayasan Sukarelawan Siswa yang saya pengerusikan demi melahirkan lebih ramai anak muda berpendidikan tinggi yang sanggup menyumbang tenaga secara sukarela membantu golongan tidak bernasib baik di dalam masyarakat.

Seperkara yang saya pelajari ketika cuba berpuasa ialah pentingnya sifat sabar ditanam di dalam diri. Sesungguhnya kesabaran itu mampu menjadikan kita insan lebih baik kerana tidak terburu-buru bertindak balas yang boleh menimbulkan masalah.

Dewasa ini kita sering melihat pelbagai insiden pergaduhan berlaku akibat kurangnya kesabaran. Begitu juga dengan tindakan terburu-buru ketika memandu kereta atau menunggang motosikal yang mengakibat kemalangan.

Walaupun tidak semua rakyat Malaysia mampu berpuasa, apatah lagi selama sebulan, namun amat penting untuk kita sama-sama menghayati nilai-nilai murni yang cuba diterapkan dalam ibadah tersebut.

Setiap kali kita ingin menjamah juadah istimewa termasuk kurma eksotik yang agak mahal harganya, kita perlu sentiasa mengingati mereka yang serba kekurangan di luar sana.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.