Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur kerana dengan penuh rasa tenang dan atas kesedaran bahawa kita telah berjaya mencapai sebahagian besar objektif dari perjuangan Bersatu iaitu mengambil alih pemerintahan terdahulu yang penuh dengan kleptokrasi.

Disebabkan, itu kita perlu bersyukur. Walaupun kita yakin kemenangan itu datang dari kerja kuat ahli-ahli parti dan rakan-rakan dari komponen Pakatan Harapan, namun, kita harus menyedari bahawa perkara ini ditentukan oleh Allah SWT jua. Allah SWT tidak akan memakbulkan permintaan jika kita tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Walau bagaimanapun, kemenangan PRU-14 bukan untuk kita bergembira sahaja. Tetapi merupakan satu tanggungjawab yang berat, yang perlu ditunaikan dengan memenuhi janji kita semasa berkempen, yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan disamping menghormati pemerintahan mengikut undang-undang, ‘the rule of law’.

Dengan tertubuhnya parti Bersatu ini yang merupakan parti Melayu bumiputera dari segi keahliannya , namun ia bukanlah seperti UMNO ketika awal penubuhannya. Sebaliknya, Parti Bersatu adalah ikhlas berjuang untuk pribumi.

Namun, kenapakah keutamaan diberi kepada pribumi dalam negara berbilang kaum. Tentulah Bersatu ini menjadi parti perkauman.

Kita sudah merdeka lebih dari 60 tahun. Di waktu kita mencapai kemerdekaan, harapan kita ialah Malaysia akan menjadi sebuah negara satu bangsa yang bertutur dalam satu bahasa dan berbudaya yang sama.

Tetapi harapan ini tidak menjadi kenyataan. Setiap kaum tegas untuk mengekalkan identiti kaum mereka.

Dengan ini, kewujudan satu bangsa terhalang dan tidak tercapai. Perkara ini tidak berlaku di negara-negara berbilang bangsa yang lain, umpamanya Amerika Syarikat, Australia, Indonesia dan Thailand.

Oleh hal yang demikian, falsafah yang terkandung dalam lima prinsip Rukun Negara perlu menjadi instrumen paling berkesan bagi menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia supaya sentiasa hidup dalam aman damai, harmoni dan bersatu padu.

Peristiwa 13 Mei 1969, telah memberi kesempatan kepada pemimpin negara mengkaji keadaan masyarakat dan negara sedalam-dalamnya bagi memikirkan serta menimbangkan dengan teliti arah dan haluan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini.

Kita berbangga kerana daripada pemikiran dan pertimbangan inilah, maka lahirnya Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip utama sebagai falsafah negara kita sebagai panduan dan amalan setiap rakyat yang cinta pada tanah airnya.

Dengan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, saya percaya jalan yang kita pernah lalui serta generasi akan datang akan tetap membawa kepada mercu kebahagiaan yang telah dicita-citakan itu.

Rukun Negara adalah prinsip panduan kita terhadap proses pembangunan negara dan hendaklah dihormati semua pihak. Malah merupakan satu wawasan yang perlu dikongsi demi perpaduan negara.

Matlamat dan prinsip yang terkandung di dalamnya hendaklah didukung dan dipraktikkan kerana kita tidak boleh memandang ringan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang telah dicapai setakat ini.

Sempena Hari Ulang Tahun ketiga Parti Bersatu ini saya berharap agar setiap ahlinya dan semua rakyat Malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan mempunyai iltizam untuk menjadikan lima prinsip Rukun Negara sebagai matlamat dan panduan bagi mencapai wawasan negara dan perpaduan nasional.

Salam Perjuangan dari Concepcion, Chile.

Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof  adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.