Tetapi jika diambil kira krisis negara Teluk dan negara Arab yang tercetus pada Jun lalu dan melibatkan secara langsung Qatar, maka lawatan Sheikh Tamim telah dibaca dengan berbagai sudut terutama sekali dalam hal diplomasi negara Teluk. Selepas Malaysia, Sheikh Tamim juga akan berkunjung Singapura dan Indonesia, maka secara semula jadinya jika dihubung kait hubungan istimewa Kuala Lumpur dan Jakarta bukan sahaja dengan Doha tetapi juga dengan Riyadh, maka tidak mengejutkan berbagai andaian telah dibuat ekoran lawatan Emir Qatar ke Malaysia dan juga Indonesia.

Sebab itu juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib menegaskan asas dasar luar Malaysia adalah berbaik dengan semua negara dan ini termasuk dengan negara Teluk dan pengamalan prinsip ini tidak akan menghalang Malaysia menjalin hubungan baik dengan Qatar dan juga Arab Saudi.

“Kita akan mengekalkan hubungan di tahap terbaik (dengan Arab Saudi) tetapi ia tidak menghalang kita menjalin hubungan ekonomi dengan Qatar”, tegas Najib lagi dalam sidang akhbar selepas pertemuan beliau dengan Sheikh Tamim.

Memang benar Kuala Lumpur tidak mempunyai niat untuk campur tangan secara langsung umpamanya sebagai perantara kerana krisis ini seharusnya di­selesaikan oleh negara Teluk atau Arab sesama sendiri dan sebab itu juga usaha Kuwait meredakan krisis ini pada peringkat awal disokong oleh Malaysia.

Tetapi mahu tidak mahu lawatan Emir Qatar ini sudah pasti akan memberi isyarat mengenai status krisis Teluk kerana lawatan beliau ke tiga negara Asia Tenggara ini adalah yang kedua selepas krisis tercetus. Lawatan pertama Emir adalah pada September lalu apabila beliau melawat Turki, Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat (AS). Sudah agak pasti Qatar cuba memberi isyarat bahawa negara kuasa besar dan negara Islam lain masih memberi sokongan dan menjalin hubungan dengan Doha.

Hakikatnya adalah seperti yang ditegaskan beberapa kali oleh Sheikh Tamim bahawa Malaysia dan Qatar bukan sahaja menjalin hubungan dagang yang aktif tetapi mempunyai banyak persamaan terutama sekali perkara yang berkait dengan keselamatan global, hak asasi kemanusiaan dan juga ancaman keganasan. Menarik juga apabila beliau menegaskan Malaysia mempunyai peranan penting bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi juga dalam kalangan negara Islam.

Perlu ditekankan dalam isu seperti konflik Palestin-Israel dan juga krisis Rohingya, Malaysia dan Qatar mempunyai dasar yang sama dan persefahaman seperti ini dalam kedua-dua isu yang melibatkan kepentingan umat Islam perlu diperkukuhkan demi mencari jalan penyelesaian. Sebab itu ditekankan walaupun agenda dagang menjadi itinenari utama lawatan Emir Qatar ke Malaysia tetapi secara tersiratnya persefahaman kedua-dua negara mampu dipertingkat demi kepentingan dunia Islam yang sedang berhadapan dengan berbagai bentuk tekanan geopolitik yang begitu hebat sekali.

Malah salah satu agenda perbincangan di antara Najib dan Sheikh Tamim adalah mengenai isu Rohingya dan seperti mana strategi Najib menimbulkan isu serupa dengan Presiden Donald Trump beberapa minggu lalu, harapannya ialah tekanan terhadap kerajaan Myanmar yang datang daripada pemimpin global sedikit sebanyak akan menghasilkan perubahan yang lebih positif.

Memang benar sejak krisis negara Teluk, jumlah eksport ter­utama sekali bahan mentah seperti kayu dan keluli dari Malaysia ke Qatar telah bertambah ekoran dari sekatan yang dikenakan terhadap Qatar. Tetapi hakikatnya adalah jumlah dagang di antara Malaysia dan Qatar adalah jauh lebih rendah jika hendak dibandingkan nilai dagang Malaysia dengan dua negara Teluk lain seperti Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Seperti mana lawatan Raja Salman ke Malaysia pada Februari lalu telah memberi kesan yang positif kepada dunia Islam, sama juga lawatan kali ini oleh Emir Qatar perlu dinilai dari sudut dunia diplomasi yang lebih luas dan jangan dikekang kepada kaitan isu krisis negara Teluk sahaja.

Walaupun Najib menegaskan Kuala Lumpur tidak berminat menjadi perantara krisis Teluk, tetapi sebenarnya Malaysia mempunyai peranan tersirat terutama sekali tanggungjawab memberi isyarat bahawa selagi isu ini berpanjangan maka selagi itu dunia negara Islam yang menanggung kerugian.

Seperti mana peranan Malaysia adalah tersirat ketika sidang kemuncak Riyadh pada Mei lepas bersama-sama dengan Arab Saudi, AS dan 50 pemimpin negara Islam lain, serupa juga dengan lawatan Emir Qatar adalah isyarat diplomasi dan geopolitik dari Kuala Lumpur yang begitu bermakna sekali untuk rantau dunia Islam.