AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 29 Januari 2016 menyiarkan artikel menempelak pihak pembangkang yang menggunakan alasan dangkal bagi menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Artikel ditulis oleh Tay Ting Hian bertajuk ‘Negara akan tergadai: Perbandingan yang tiada kena mengena’ disiarkan dalam ruangan Yan Lu halaman 29.

Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menganggap TPPA sama dengan Perjanjian Pangkor 1874 yang membolehkan British campur tangan dalam hal ehwal negara ini. Hujah berkenaan bagi penulis adalah berdasarkan sumber pemikiran yang agak lemah.

Perkara hampir sama berlaku ketika bekas pemimpin China, mendiang Zhu Ronji mencadangkan negara itu menjadi ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 2001.

Orang yang membantah ketika itu berkata, jika China menyertai WTO, negara berkenaan akan menggadai maruahnya sama seperti ketika pemerintah terdahulu menandatangani Perjanjian Nanking 1842 dengan British.

Perjanjian yang ditandatangani setelah China kalah perang, menyaksikan negara itu terpaksa membayar 21 juta ketul jongkong perak dan menyerahkan Hong Kong kepada penjajah itu. Perjanjian Nanking telah mengaibkan bangsa China selama 100 tahun.

Bayangkan jika China mendengar hujah mereka yang membantah dan tidak menyertai WTO. Sudah pasti sistem ekonomi yang diamalkan oleh kerajaan China tidak berubah dan negara itu tentu tidak dapat memperluaskan aktiviti perdagangan di seluruh dunia.

Sudah pasti juga kerenah birokrasi di China tidak dapat diubah dan negara itu tidak dapat melakukan pelbagai inovasi bagi menghasilkan bermacam jenis barangan untuk dijual secara meluas.

Dakwaan menyertai WTO seperti menandatangani Perjanjian Nanking 2.0 ternyata tidak benar. Sejak menyertai pertubuhan itu, ekonomi China tumbuh dengan pesat pada kadar 10 peratus setahun sehingga menjadikannya kuasa ekonomi dunia kedua terbesar.

Kembali kepada perjanjian TPPA, penulis tidak bersetuju apabila pihak pembangkang menyamakannya dengan Perjanjian Pangkor.

Hujah sedemikian memang boleh menaikkan semangat pejuang bangsa Melayu yang sudah tentu tidak mahu ketuanan kaum itu dicabar buat kali kedua selepas Perjanjian Pangkor.

Langkah pihak pembangkang menyamakan TPPA dengan Perjanjian Pangkor adalah tidak sepatutnya dibuat kerana kedua-duanya tiada sebarang kaitan dan melibatkan isu yang berbeza.

Tindakan berkenaan hanya menjadi bahan ketawa dan jika ramai ahli Parlimen terpengaruh dengan hujah pihak pembangkang ketika mengundi di Dewan Rakyat, sudah pasti mereka akan tersilap membuat keputusan.

TPPA membabitkan perbagai negara yang bertujuan untuk saling membuka pasaran bukan seperti Perjanjian Nanking dan Perjanjian Pangkor yang melibatkan hanya dua pihak. TPPA juga tidak melibatkan soal campur tangan politik dan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di negara-negara ahli sebaliknya hanya untuk memudahkan perdagangan di peringkat antarabangsa.

Langkah itu selaras dengan saranan pakar ekonomi kurun ke-18, Adam Smith yang mengemukakan teori ekonomi pasaran bebas yang telah terbukti berjaya meningkatkan kekayaan semua pihak.

Mungkin Wan Azizah telah dipengaruhi oleh orang bawahannya sehingga menyebabkan hujah yang diberikan beliau terkeluar daripada landasan waktu dan menggunakan bahasa yang telah ketinggalan zaman.

Sebagai Ketua Pembangkang, beliau sekurang-kurangnya perlu ada ilmu dan pengalaman dalam soal ekonomi global dan bukan hanya membaca teks dibuat oleh orang bawahan.

 

JANGAN TAMBAH HUTANG

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 29 Januari 2016 menyiarkan artikel mengulas pengubahsuaian Bajet 2016 yang telah dibentangkan oleh kerajaan, baru-baru ini. Pendapat pengarang akhbar berkenaan bertajuk ‘Malaysia tidak boleh tambah hutang lagi’ disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman A14.

Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam pernah memberi amaran bahawa Malaysia akan menghadapi situasi kritikal jika kerajaan bertindak menambah hutang negara.

Kenyataan beliau itu ada kebenaran kerana Malaysia sedang menghadapi tekanan akibat kejatuhan harga minyak dan mata wang ringgit secara berterusan sehingga menyebabkan pengubahsuaian perlu dibuat terhadap Bajet 2016.

Antara matlamat pengubahsuaian bajet itu adalah untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan menggalakkan rakyat berbelanja. Satu langkah yang memang tepat.

Selain defisit kewangan yang dialami kerajaan, rakyat juga sedang mengalami tekanan kerana pendapatan diperoleh mereka tidak dapat menampung perbelanjaan.

Tahun lepas, kajian yang dibuat terhadap pekerja yang telah diberhentikan oleh majikan mendapati 94 peratus daripada mereka akan habis semua wang simpanan dalam tempoh tidak sampai enam bulan. Antara puncanya kerana kebanyakan mereka mempunyai banyak hutang.

Sebanyak 40 peratus daripada responden dalam kajian itu mempunyai hutang 14 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan. Seramai 93 peratus responden pula mempunyai pendapatan bulanan kurang RM3,000 dan pendapatan isi rumah tidak sampai RM5,000 sebulan.

Daripada jumlah itu, 26 peratus responden hanya mampu membayar kadar minimum bulanan hutang kredit kad mereka.

Sama seperti banyak negara lain di rantau Asia, hutang Malaysia semakin hari semakin tinggi dan keadaan itu amat membimbangkan dalam situasi kemelesetan ekonomi dunia sekarang. Laporan Bank Dunia pada 2010 menyatakan hutang Malaysia telah mencapai RM581 bilion atau 76 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (GNP).

Malaysia mempunyai hutang kedua tertinggi di rantau Asia, hanya ketinggalan satu mata dari Korea Selatan. Nisbah pendapatan dan perbelanjaan keluarga pada 2010 di Malaysia adalah sebanyak 47.8 peratus. Ini bermaksud keluarga di Malaysia menggunakan separuh daripada pendapatan mereka untuk membayar hutang.

Apabila kerajaan menanggung beban hutang yang tinggi, situasi itu sedikit sebanyak akan mengganggu dan melemahkan pertumbuhan ekonomi negara.