Artikel ditulis oleh Timbalan Ketua Pengarang akhbar berke­naan, Lim Swee Guan bertajuk ‘TPPA: Cara jalan keluar untuk ekonomi negara’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yan Lu halaman 27.

Ekonomi pasaran terbuka boleh memperkukuhkan perkembangan ekonomi sesebuah negara. Sebab itu, Malaysia berhasrat menyertai TPPA yang dianggotai 12 negara dengan keseluruhan 800 juta penduduk. Perjanjian itu sebenarnya bukan sahaja melibatkan perdagangan malah merangkumi hal-hal lain termasuk soal kepentingan pekerja, menghormati harta intelek dan inovasi.

Penulis menyokong penyertaan Malaysia dalam TPPA jika langkah itu bermaksud kita akan menjadi seperti Switzerland, Singapura dan Hong Kong yang berpegang kepada nilai-nilai antarabangsa dalam semua aspek dan sentiasa menekankan kepada prinsip bertoleransi.

Tetapi satu hakikat yang harus diketahui adalah kita tidak boleh bersikap terbuka untuk menyertai perdagangan bebas tetapi dalam aspek-aspek lain kita masih bersifat tertutup.

Contohnya, kita kena hapuskan kuota mengikut kaum dan menghentikan perniagaan yang dimonopoli oleh satu kaum sahaja. Hanya dengan berpegang kepada konsep adil dan bebas barulah kita dapat melahirkan negara dan rakyat yang mampu bersaing.

Penulis juga menyokong penglibatan Malaysia dalam TPPA jika langkah itu memberikan kesan positif untuk membolehkan kita perlahan-lahan berubah menjadi negara maju. Ini adalah satu berita gembira, kerana jika kita tidak berubah, lambat-laun Malaysia akan menjadi mundur.

Ini kerana walaupun negara telah merdeka selama 59 tahun, ekonomi kita masih berada dalam keadaan tertutup dan tidak dapat bernafas keluar. Semuanya berpunca daripada pendirian Malaysia untuk mengekalkan dasar yang berasaskan kepada kaum.

Pasaran terbuka bukan hanya mengharapkan perjanjian perdagangan yang indah-indah, malah turut menuntut pemikiran pemimpin politik kita juga perlu berubah dan bersifat maju ke depan.

Ada dalam kalangan pemimpin kita yang pemikiran mereka masih tidak berubah. Contohnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menuduh DAP menyokong TPPA kerana perjanjian itu menguntungkan peniaga Cina. Ini menunjukkan ada dalam kalangan pemimpin pembangkang di negara kita yang kurang berpandangan jauh dan tidak berfikir sehingga ke peringkat antarabangsa.

Kepada mereka yang merasa terbeban dan takut dengan ekonomi pasaran terbuka, penulis ingin mengingatkan bahawa rakyat dan pemimpin Malaysia tidak boleh selama-lamanya menyorok di bawah payung.

Sementara itu, menyentuh mengenai pengubahsuaian Bajet 2016, penulis berharap kerajaan memperkenalkan dasar-dasar yang bertujuan meningkatkan daya saing negara.

Penulis juga berharap kerajaan tidak menghentikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana kumpulan cerdik pandailah yang akan menjadi modal negara pada masa depan bagi mencari bidang ekonomi baharu memandangkan sumber asli negara ini, satu hari nanti akan habis.

Contohilah Singa­pura yang kini hanya menerima sedikit kesan daripada kemele­setan ekonomi dunia walaupun negara itu tiada minyak. Semua­nya berpunca kerana mereka mempunyai kumpulan cerdik pandai yang dapat mene­roka pelbagai sumber ekonomi baharu. Negara itu juga tidak me­laksanakan dasar yang mementingkan satu kaum sahaja.

Pasaran terbuka adalah kunci utama kepada kemajuan ekonomi Malaysia. Pasaran bebas boleh mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama serta menghindar pemikiran fanatik.

Dalam keadaan ekonomi yang sedang berjerebu, negara bukan sahaja memerlukan TPPA, malah mahukan pemimpin yang berani untuk membuat perubahan.

KECEWA PENDIRIAN PAN

AKHBAR China Press bertarikh 26 Januari 2016 menyiarkan artikel mengkritik kepimpinan PAN yang sebelum ini mendakwa mereka berpegang kepada prinsip Islam yang lebih sederhana dan terbuka berbanding Pas.

Artikel bertajuk ‘Realiti dan persepsi antara kemajuan dan keterbukaan’ yang ditulis oleh Lai Shao Kwang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C13.

Pemimpin PAN nampaknya terlepas pandang banyak isu yang sepatutnya diperjuangkan mereka sebagai sebuah parti beraliran sederhana. Antaranya, cadangan beberapa pihak supaya dipisahkan troli yang digunakan oleh pelanggan Muslim dan bukan Islam di pasar raya. Cadangan itu dibuat susulan ada pengunjung membawa anjing dalam troli.

Kita kesal kerana PAN mengambil sikap berdiam diri dan tidak menentang cadangan tidak munasabah itu. PAN tidak berani campur tangan kerana bimbang hilang sokongan orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Dalam isu anjing, kontroversi yang berlaku boleh dielakkan jika orang ramai bersikap lebih bertamadun. Masyarakat sedemikian tidak akan membawa anjing bersama-sama untuk minum kopi di restoran kerana bau dan bulu yang berterbangan daripada binatang berkenaan akan mengganggu pelanggan lain.

Seterusnya orang Muslim yang bersikap terbuka dan bertamadun tidak akan bertanya adakah teksi yang mereka naik telah membawa anjing sebelum itu?

Berbalik kepada sikap PAN dan parti pembangkang yang kononnya bersikap terbuka dan sederhana. Adakah ini benar kerana kita lihat tindak-tanduk mereka adalah sebaliknya?

Misalnya, di negeri yang diperintah pembangkang, mereka tidak meruntuhkan dinding yang memisahkan kawasan menjual daging babi dengan barangan jualan lain di pasar basah. Mungkin kerana rakyat sudah biasa dengan keadaan itu, maka mereka tidak membuat sebarang perubahan terhadap peraturan yang diperkenalkan sejak 1970-an.

Peraturan berkenaan memang menyusahkan pembeli seperti tindakan China meletak dinding bagi menyekat pelayar Internet di negara berkenaan. Kerana struktur itu, pembeli terpaksa memanjat pagar, barulah dapat membeli daging babi.

PAN juga tidak berani menentang peraturan yang memerlukan orang ramai memakai pakaian sehingga di bawah paras lutut jika berurusan dengan pejabat kerajaan semata-mata kerana bimbang akan hilang sokongan orang Islam ketika pilihan raya.