“Berikan perhatian kepada generasi baharu,” Ini bukan Singapura. Ini Malaysia yang punya bakat-bakat sasterawan muda yang serba mungkin!” katanya sambil memerhatikan Keris Mas, Usman Awang dan M.Noor Azam. “Berikan ruang kepada mereka dalam Dewan Masyarakat dan majalah Dewan Bahasa. Siapa dapat nafikan bakat Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Alias Ali, Malungun dan Wahab Ali?” sambungnya. Ini berlaku dalam mesyuarat agung PENA.

Dalam kesempatan lain di Universiti Malaya dengan bersungguh-sungguh beliau berkata, “PENA kini amat elitist, cuma hidup di ibu kota. Penulis seluang di seluruh negara tak diacuhkan. Kita perlu sebuah badan yang mewakili, bukan PENA yang didominasi sasterawan tua yang sudah ketinggalan zaman!” sambungnya diikuti tepukan bergemuruh.

Keris Mas yang fasih berbahas sejak dahulu menyanggah: “Suara anda ini suara Ismail Hussein atau suara guru anda? (Keris Mas maksudkan A. Teeuw di Leiden). Hanya beberapa minggu lalu Teeuw mengkritik karya Asas 50 yang jauh di belakang jika dibandingkan dengan Salina, Ranjau Sepanjang Jalan dan Lingkaran.

“Kalau anda menyemak Dewan Masyarakat dan Dewan Bahasa dengan teliti, anda akan dapati karya penulis yang disebutkan itu berselingan dengan penulis mapan yang tak semestinya ahli Asas 50.” Dewan Kuliah itu menggelegak dengan pendapat Abu Bakar Hamid, Kassim Ahmad dan lain-lain.

Itulah mulanya Dewan Sastera diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menampung karya penulis muda berbakat. Ketua editor masih Kamaludin Muhammad (Keris Mas). Usul ini disepakati dalam mesyuarat khas penubuhan GAPENA pada Oktober 1970 di DBP. Pada Mac 1968, saya mula bertugas di DBP sebagai penyunting.

Apabila Dewan Sastera lahir, saya diambil Keris Mas menjadi redaksi majalah sastera itu. Dalam PENA sebelum ini saya dalam barisan ahli jawatankuasa (AJK) dan dalam GAPENA yang baru ditubuhkan itu saya dalam senarai ahli exconya. Mungkin perwakilan memilih saya sebagai mewakili generasi muda dan juga penulis yang ambil tahu hal ehwal di DBP.

Saya bukan sahaja mempelajari gaya dan bawa, taktik dan teknik ketua-ketua saya di DBP, tetapi juga dalam GAPENA saya mengarifi graf perjalanan GAPENA yang sedang dibawa oleh Profesor Ismail. Beliau lincah dalam tindakan dan aktivitinya. Banyak kerja kesetiausahaan dilakukan sendiri oleh Ismail, sampailah yang remeh temeh seperti melekatkan setem dan mengeposkan surat. Ini sungguh luar biasa. Dia yakin dengan sentuhan peribadi.

Di Dewan pula, memanglah tanggungjawab sebagai redaksi memakan waktu dan meminta perhatian saya yang bulat. Cara bekerja Keris Mas dan Usman Awang dan Awam el Serkam dalam mengendalikan majalah tidak terikat dengan masa bekerja, banyak waktu bekerja di luar waktu pejabat, terutamanya waktu majalah akan terbit saya harus ke kilang percetakan di Jalan Bangsar, memeriksa halaman demi halaman, ejaan, letak susun gambar, headlines, captions dan lain-lain hinggalah sampai diberikan lampu hijau oleh editor. Saya rasakan dilemma sebagai AJK GAPENA di bawah Ismail dan petugas DBP di bawah Keris Mas. Saya rasa serba salah dan dalam tekanan. Saya cuba berikan yang terbaik untuk GAPENA dan Dewan Sastera. Apabila Ahmad Sebi meletakkan jawatannya untuk fokus kepada peperiksaan di universiti, GAPENA melantik saya untuk jawatan itu, sehingga saya disahkan sebagai Setiausaha Satu.

Nah, antara GAPENA dan Dewan Sastera mendorong kedua-dua tokoh ini menegerling tajam kepada saya.

“Heh, kau baik-baik buat kerja hakiki kau!” tegas Keris Mas. Tentulah beliau tidak mahu saya dipengaruhi oleh Ismail yang banyak memandang ke Dunia Diaspora Melayu.

Selain Indonesia yang luas itu, Sumatera Utara, Pekanbaru Riau, Jakarta, Bandung, Jogjakarta, Bali, Makassar, Sambas melarat ke Jepun, Korea, Madagaskar, Afrika Selatan, Mekah dan Madinah. Acara utama adalah mencari Dunia Diaspora Melayu.

“Anda terlibat dengan Hari Puisi Usman Awang?” Ismail menyoal saya. Gagasan Hari Puisi nasional pertama yang akan diadakan di Tanjung Kling pada 12 Julai 1971. Saya akan memberikan pengantar tentang peranan puisi kepada para pelajar. Tuan rumahnya, Lembaga Bahasa Melayu dan Ikatan Persuratan Melayu Melaka.

Saya mengangguk lemah, ada yang tersenyum nakal. “Saya penyair, tak kan saya tak terlibat?” Lagi pula Usman Awang itu kan penyair besar tanah air dan ketua saya di Dewan Sastera.

“Tapi ini nasional, tak rujuk kepada GAPENA!” sanggah Ismail, wajahnya disengat kesal. “ Ya, acaranya akan berjalan, tarikhnya sudah tetap!” jelas saya.

“Pada 12 Julai. Ini tarikh hari lahir Tongkat!” suara Ismail meninggi. Di akhbar Utusan Zaman sudah tersiar tulisan Zakry Abadi yang provokatif. Bukan setakat memancing, tetapi seolah menampar muka Ismail. “Ini Kemala, AJK GAPENA pengikut setia Usman Awang!”

Tetapi Ismail juga hangat dipergunjingkan kerana cintanya yang luar biasa kepada idealisme barunya Dunia Diaspora Melayu. Beliau dijulang dan dihormati di mana-mana. Beliau menerima gelaran Pendita di Sri Lanka (1985), ijazah Honoris de Causa di Universitas Indonesia (1984) gelaran Mahawangsa dari kerajaan Negeri Kedah kerana pengabdiannya dengan cita-citanya itu. Gelaran Tan Sri (1993), Gelaran Profesor Emeritus (1997).

Ismail dilahirkan pada 31 Januari 1933 di Sungai Limau Dalam , Yan Kedah. Beliau terdidik di Sultan Abdul Hamid College. Beliau ke Universiti Malaya (Singapura- 1955-1959) hingga lulus Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas Pertama). Pada 1961-1964 ke Universiti Leiden hingga mendapat gelaran Drs. Pada 1971, beliau dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Melayu dan seterusnya sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya sehingga 1976.

Dua eseinya yang cukup penting adalah “Pengarang Melayu Singapura selepas Perang Dunia Kedua (1945-1948) dan Singapura sebagai Pusat Kesusasteraan Melayu Selepas Perang. Ismail juga menulis Pengantar untuk kumpulan puisi Gelombang Usman Awang. Beliau juga menulis kajian Hikayat Negeri Johor dan The Study of Traditional Malay Literature: A Selected Bibiliography of Traditional Malay Literature.

Ismail Hussein, cendekiawan, aktivis, pemikir dan pencinta dunia Diaspora Melayu, meninggal dunia pada 20 Oktober 2014, dikebumikan di perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

“Heh, kau baik-baik buat kerja hakiki kau!” tegas Keris Mas. Tentulah beliau tidak mahu saya dipengaruhi oleh Ismail yang banyak memandang ke Dunia Diaspora Melayu.