Saya rasa perlu berikan penjelasan tentang hal ini agar agama Islam tidak disalahfahami sehingga memberikan imej yang salah terhadap Islam. Di sini saya ingin jelaskan hal ini dalam nota-nota;

Nabi SAW sendiri dalam pentadbiran kerajaan baginda memastikan para petugas atau pegawai yang dilantik tidak memiliki harta atas salahguna kedudukan. Baginda menegur harta dimiliki oleh para petugas yang diperoleh dengan cara tidak betul. Ertinya, baginda memeriksa dakwaan harta yang mereka miliki. Sabda Nabi SAW: 
“Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: “Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak? Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkuknya.” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam Islam, Muslim diwajibkan membayar zakat. Zakat yang wajib dibayar oleh Muslim membabitkan pelbagai harta, tanaman, ternakan, emas (wang) dan selainnya. Jumlah zakat wajib seseorang berdasarkan kadar harta yang dimiliki. Ternakan, emas, tanaman dan galian ada kiraannya.

Lebih banyak harta, pasti lebih banyak kadar yang wajib dibayar. Ulul amri (pemerintah) merupakan amil zakat yang berkewajipan memastikan mereka yang wajib membayarnya, menunaikan tanggungjawab masing-masing. Jika agama melarang Muslim mengisytiharkan harta, pastilah mereka tidak boleh membayar zakat kepada amil kerana itu menyebabkan jumlah hartanya diketahui. Maka dakwaan Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang dimaklumkan kepada pihak pemerintah adalah batil dan tidak berasas.

BAHAGI SEPARUH

Antara pendekatan dalam memastikan integriti urus tadbir pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab ialah memeriksa harta pegawai-pegawai yang dilantik dan mencatatkannya. Ini bagi mengawal supaya mereka tidak mengambil kesempatan mengumpul harta dengan cara yang salah melalui jawatan dipegang. Polisi ini telah lama dijalankan oleh Saidina Umar al-Khattab dalam pentadbirannya.

Dalam al-Tabaqat al-Kubra oleh al-Imam Ibn Sa’d dan juga dipetik oleh al-Imam al-Sayuti dalam Tarikh al-Khulafa:

“Sesungguhnya Umar apabila melantik pegawai, beliau mencatatkan hartanya” (Tabaqat Ibn Sa’d 3/307 Beirut: Dar Sadir)

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebut dalam karyanya tentang polisi Umar tersebut dengan berkata: “Umar memeriksa harta para pegawainya. Dia mengambil separuh harta mereka jika itu mereka peroleh melalui jawatan mereka yang bercampur dengan kedudukan istimewa mereka. Umar membahagikan harta itu kepada dua bahagian, separuh untuk mereka, separuh untuk kaum muslimin (rakyat)” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Turuq al-Hukmiyyah, m.s 17).

Justeru, al-Syeikh Dr Ali Muhammad al-Sallabi menyebut dalam karyanya: “Umar bin al-Khattab menghitung (jumlah) harta para pegawai dan gabenor sebelum pelantikan. Ini bertujuan mengira harta mereka yang bertambah selepas pelantikan yang tidak termasuk dalam penambahan yang munasabah” (Ali Muhammad al-Sallabi, Umar bin al-Khattab, m.s 356)

Kemudian, kita hendaklah faham bahawa dalam soal pentadbiran, Islam itu sifatnya begitu luas. Apa sahaja yang membawa kemaslahatan kepada rakyat, diiktiraf sebagai politik atau urus tadbir yang selaras dengan syarak. Ini termasuklah soal pengisytiharan harta. Pemerintah berhak menentukan kaedah yang diyakini terbaik dalam memastikan integriti dan urus tadbir yang baik. Jangan kita jumud dan mempergunakan dalil-dalil agama sehingga menyempitkan ruang politik yang diluaskan oleh syarak.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam hal ini: “Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu “tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga bererti menyalahkan para sahabah...apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun, maka di situlah syariat Allah dan agama-Nya.”

Allah SWT itu lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamat dengan sesuatu perkara (sahaja) kemudian menafikan (kewujudan keadilan) yang lebih nyata daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih jelas tandanya dan (mustahil) Allah tidak menerima dan mengambil kira kewujudan serta menegakkan tuntutan.

KEADILAN, KESAKSAMAAN

Bahkan, Allah SWT telah menjelaskan tujuan Dia mensyariatkan jalan-jalan (hukum agama) ialah untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan membolehkan manusia (hamba-hamba-Nya) menegakkan keadilan.

Apa sahaja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu daripada (ajaran) agama ini dan ia tidak menyanggahinya. Maka tidak boleh untuk dikatakan bahawa siyasah yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak.

“Sebaliknya ia (siasah yang adil) itu menepati syarak. Bahkan siasah yang adil itu satu juzuk daripada syarak. Kita menamakannya siasah (politik) mengikut istilah mereka, padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasul-Nya yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti” (Ibn Qaiyim al-Jauziyah, al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah, 19-20. Beirut: Dar Ihya al-‘Ulum (t.t).

Adapun hadis yang digunakan oleh pihak berkaitan bermaksud: “Bantulah menjayakan hajat-hajat dengan menyembunyikan (hajat-hajat tersebut) kerana setiap yang mempunyai nikmat itu didengki.”

Dari kedudukan hadis, secara paling ringkas ia diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal, Ali bin Abi Talib, Ibn Abbas, Abi Burdah dan Abu Hurairah. Hampir keseluruhan jalur periwayatan mempunyai illah (penyakit yang mencacatkan kekuatan riwayat). Al-Imam Ibn Jauzi menghukumnya sebagai palsu. Demikian al-Imam Ahmad dan Yahya bin Ma’in. Al-Hafiz al-Iraqi ketika mentakhrij hadis-hadis Ihya Ulum al-Din mendaifkan sanad hadis ini.

Namun al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah telah menilai Sahih sanad yang datang melalui Sahl bin Abd al-Rahman al-Jurjani daripada Muhammad bin Mutarrif daripada Muhammad bin Munkadir daripada Urwah bin al-Zubair daripada Abu Hurairah. (lihat: al-Silsilah al-Sahihah hadis 1453)

Dari segi maksud, hadis tersebut bukan seperti yang difahami oleh pihak berkaitan. Hadis ini menggalakkan menyembunyi perkara-perkara yang membawa kepada hasad dengki. Namun jika ada keperluan maka hajat serta nikmat boleh bahkan mungkin wajib didedahkan. Ini terutama kepada pihak yang mempunyai kepentingan. Jika tidak, maka pasti orang ramai akan mengelak membayar zakat harta atas alasan hadis ini.

Demikian juga, akan ada yang menyembunyikan perkahwinan kerana bimbang orang lain dengki. Sedangkan Nabi SAW suruh mengiklankan nikah. Demikian juga mungkin ada yang tidak mahu membayar cukai pendapatan, cukai jalan dan lain-lain kepada pemerintah atas alasan bimbang pihak lain tahu harta mereka. Ini semua tafsiran yang salah.

Diharapkan semua pihak tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama Nabi SAW dalam mencapai hasrat mereka. Islam akan disalahfahami jika tidak berhati-hati menyandarkan hal-hal yang tidak tepat kepada Nabi SAW.

PROFESOR MADYA DATUK DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Perlis.