Penduduk Malaysia dianggarkan membaca sebanyak lima ke 20 buku setahun sedangkan sasaran ideal adalah sekitar 30 ke 40 buku setahun. Selain itu, bacaan komik adalah genre paling popular dalam kalangan anak muda dan ini adalah dapatan daripada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini.

Menurut kajian DBP dan PNM, sebanyak 15% bacaan penduk Malaysia adalah komik, 14% aliran akademik, 14% perihal agama dan 7% adalah sejarah.

Malaysia tidak termasuk dalam senarai 30 negara paling banyak membaca berbanding Thailand iaitu negara kedua paling tinggi membaca dengan purata 9.4 jam seminggu. Tetapi yang mengejutkan, India mencatatkan pembacaan paling banyak iaitu 10.7 jam seminggu.

Berdasarkan hakikat itu, saya amat menyokong usaha kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan yang mahu memastikan Malaysia menjadi negara membaca dengan menggalakkan lebih banyak kempen-kempen untuk menyuburkan tabiat berkenaan.

Dalam pada itu, selain buku, anak muda boleh membaca menggunakan medium lain. Ini kerana akses kepada ilmu pada hari ini adalah lebih mudah berbanding 20 tahun lalu. Semuanya kini di hujung jari. Mereka dapat mengakses pelbagai alternatif yang lebih murah berbanding mengeluarkan belanja untuk membeli buku dan sebagainya. Mereka boleh membaca buku elektronik (e-buku) dan media sosial untuk mendapatkan ilmu. Taip sahaja di YouTube atau Google, dengan mudah ilmu itu diperoleh.

Kaedah sama juga boleh dibuat untuk mempelajari ilmu-ilmu agama, apabila banyak ceramah oleh ustaz-ustaz popular boleh diakses di YouTube. Walaupun teknologi sedemikian memudahkan seseorang itu untuk menambah pengetahuan, ia juga memberi kesan tidak baik apabila ramai anak muda kurang bersosial. Ini amat berbeza jika dibandingkan dengan budaya sebelum ini apabila ilmu agama dipelajari masyarakat dengan cara mengunjungi madrasah, masjid dan sebagainya.

Disebabkan akses terlalu mudah untuk mendapatkan maklumat, maka pemikiran anak muda hari ini juga senang dipengaruhi. Sikap mudah percaya kepada khabar angin berbanding bacaan ilmiah menyebabkan belia mudah terjerumus untuk bertindak berdasarkan emosi dan bukannya pertimbangan akal waras.

Ini menyebabkan pembangunan budaya intelektual menjadi suram. Perkembangan ini adalah tidak sihat kepada anak muda terutama apabila mereka terlalu taksub kepada media sosial dan menjadikannya sebagai rujukan utama.

Satu lagi hakikat yang harus disedari adalah ilmu tidak diperoleh di universiti semata-mata. Saya amat khuatir dengan sikap mahasiswa pada hari ini yang tidak peka kepada persekitaran luar kampus. Ilmu yang mereka peroleh sekadar untuk mendapatkan sekeping ijazah atau diploma.

Tidak seperti suatu ketika dahulu di mana kuasa dan pengaruh mahasiswa agak besar. Mereka peka isu-isu masyarakat seperti kebuluran, kemiskinan dan sebagainya disebabkan pembudayaan ilmu di universiti yang ada hubung kait dengan situasi luaran.

Selain itu, media massa boleh memainkan peranan penting bagi membentuk intelektualisme anak muda. Malangnya, pada masa sekarang masih ada rancangan televisyen dan radio yang kurang berperanan meningkatkan pembudayaan ilmu dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks Malaysia Baharu, kerajaan diharapkan dapat mengawal media massa supaya boleh memberikan lebih banyak input yang berintelektual dalam menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.

Satu lagi yang tidak harus dilupakan adalah pembentukan budaya ilmu seharusnya bermula di rumah dan ibu bapa tidak patut menyerahkan tanggungjawab itu kepada institusi pendidikan semata-mata.

Kesimpulannya, pembudayaan ilmu dalam kalangan anak muda pada hari ini masih boleh ditingkatkan. Kerajaan seharusnya memberikan lebih ruang dan peranan kepada anak muda untuk merancakkan budaya intelektualisme mereka dan mewujudkan generasi muda yang cakna ilmu.

PENULIS ialah Timbalan Pengerusi Pertubuhan Keilmuan Nasional.