Saya mengikuti ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan di PWTC Sabtu 11 Mei lepas. “Segala buruk UMNO akan memberi tempias pada orang Melayu,” ungkap Tok Mat.

Merenung setiap patah perkataan ungkapan ini, teringat saya pada kisah Presiden UMNO ketiga, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Suatu ketika, UMNO mendapat sinar baharu selepas era kelam pasca Pilihan Raya 1969. Begitupun kekuatan baharu UMNO, begitu juga pemulihan imej UMNO, diraih bukan semata-mata kerana Pas waktu itu sudah tidak lagi menjadi saingan politiknya.

Hakikatnya masa itu berlaku suatu renaissanse di dalam UMNO. Muncul faktor lain yang lebih signifikan berjaya mengembalikan keyakinan ummah kepada UMNO. Kreditnya perlu diberi kepada gandingan kebijaksanaan, keberanian dan ketegasan regu pimpinan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Tun Abdul Razak peka dan meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang UMNO dan menghambat kerajaan semasa kempen Pilihan Raya 1969, lalu bertindak segera melakukan langkah-langkah pembetulan.

Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan kepada mana-mana juga anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah.

Atas nasihat Datuk Harun Hashim, Majlis Gerakan Negara (Mageran) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), untuk membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah.

Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Said didedahkan memiliki wang sejumlah hampir RM1.2 juta. Sebanyak RM330,000 wang tersebut disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Ahmad meletakkan jawatan Menteri Besar, Februari 1970.

Pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti selama dua bulan. Selepas itu jawatan Menteri Besar Terengganu digantikan dengan Mahmood Sulaiman. Di peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur dari menjadi anggota jemaah Menteri pada September 1970.

Sepanjang 1970, BPR melakukan 3,265 inkuiri, 319 siasatan penuh, melakukan tangkapan 115 individu dan 67 penjawat awam, sementara tindakan disiplin dikenakan terhadap 87 pegawai. BPR turut diarah melakukan siasatan terhadap kontraktor dan pembekal yang memanipulasi proses tender kerajaan.

Pendekatan preventif disuntik untuk meningkatkan integriti serta daya tahan pegawai awam dari godaan rasuah. Skala gaji baharu diperkenalkan dengan mengambil kira kos sara hidup, diperlengkap dengan kemudahan skim pinjaman perumahan agar kakitangan awam boleh membeli rumah tanpa perlu bergantung pada sumber kewangan dari pihak lain.

Pada awal 1971, Datuk Harun Hashim merumuskan bahawa kempen memerangi rasuah telah mencapai matlamat. Kesungguhan beliau memerangi rasuah dihargai. Harun diangkat ke kerusi Hakim Mahkamah Tinggi pada Mac 1971.

Tun Abdul Razak tidak selesa dengan pendekatan salah, yang dilapor dilakukan oleh pihak tertentu di dalam angkatan tentera, lalu melakukan rombakan pimpinan Angkatan Tentera Malaysia.

Anggota jemaah menteri dan anggota pentadbiran yang dilantik Tun Abdul Razak terdiri dalam kalangan ahli-ahli parti yang kompeten, turut membawa masuk teknokrat-teknokrat dalam kalangan anggota perkhidmatan awam yang memiliki prestasi cemerlang.

Antaranya Ghazali Shafie, Abdul Kadir Yusof, Chong Hon Nyan dan K. Pathmanaban. Pendekatan pimpinan Tun Abdul Razak memiliki unsur-unsur keselarian dengan kepimpinan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud:

“Sesungguhnya kamu tidak dapat membeli hati manusia dengan harta. Akan tetapi kebaikan budi pekerti kamulah yang menawan hati mereka”.

Selamat berjuang UMNO. Semoga dirahmati-Nya semua parti Melayu di dalam kerajaan. Jangan ditinggal-tinggalkan perjuangan membela agenda Melayu dan Islam.