Semua itu belum lagi mengambil kira kes-kes lain sehinggakan ada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamatpun didakwa kerana amalan rasuah. Lebih parah lagi di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) virus rasuah dan salah guna kuasa juga semakin merebak.

Persoalannya, apakah akan berlaku jika mereka yang diberikan kuasa atau memiliki kuasa terus menggadaikan integriti untuk hidup mewah? Gaji atau elaun yang diperoleh setiap bulan seolah-olah belum mencukupi menyara anak isteri, tetapi kalaupun tidak cukup, ia bukanlah alasan untuk memilih ‘jalan gelap’ bagi menyelesaikan masalah.

Namun apa yang meresahkan kita adalah amalan rasuah ini semakin merosakkan agensi-agensi penguat kuasa. Walaupun jumlah sebenar tidak diketahui tetapi memetik kata satu sumber, di sesetengah agensi kalau tangkapan dibuat, seluruh agensi itu akan lumpuh. Ini membuktikan betapa seriusnya gejala rasuah dalam kalangan agensi penguat kuasa. Negara ini boleh hancur jika integriti penguat kuasa musnah.

Tiada gunanya undang-undang jika ia hanya menjadi taruhan dan gadaian untuk segelintir anggota agensi penguat kuasa menjamah wang haram. Undang-undang akhirnya hanya menjadi ‘alas kaki’ kepada sindiket-sindiket tidak kira dalam aktiviti apapun.

Justeru adalah wajar jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadikan tahun 2019 yang berbaki tujuh bulan lagi ini bagi membersihkan penguat kuasa-penguat kuasa yang bersedia menjadi pengkhianat kepada agensi mereka.

Golongan seumpama itu tidak boleh dibiarkan terus ‘bermaharajalela’ menjamah wang haram melalui tindakan bersekongkol dengan apa juga sindiket.

Bagi sindiket, mereka tidak ada masalah untuk ‘mencampak’ segulung wang kertas untuk ‘dipungut’ oleh segelintir anggota agensi penguat kuasa, asalkan aktiviti mereka tidak tergugat. Untuk ‘membeli maruah’ anggota-anggota tersebut bukannya ‘mahal sangat’.

Kesudahannya buatlah apa juga undang-undang mahupun peraturam tetapi ia akhirnya akan menjadi ‘taruhan’ dan gadaian kepada segelintir anggota agensi penguat kuasa. Segala-galanya boleh dikompromi, semuanya boleh diuruskan asalkan wang rasuah disiapkan. Kesudahannya penjenayah dan sindiket lebih bermaharajalela daripada agensi penguat kuasa.

Sebab itulah sesuatu sindiket itu boleh beroperasi bertahun-tahun tanpa diganggu kerana mereka sudah ‘menguasai’ pihak berkuasa dan apabila pendedahan dibuat media barulah kelam kabut mahu mengambil tindakan.

Di sempadan pula, khabarnya situasi lebih parah. Negara dibolos sewenang-wenangnya, seolah-olah kita tiada penguat kuasa di situ. Macam-macam cerita kita dengar. Sama ada betul atau tidak, biarlah SPRM menjalankan siasatan. Apa yang pasti, gejala rasuah turut dikaitkan berlaku.

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Amaran Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador kepada pegawai dan anggotanya baru-baru ini supaya mereka memutuskan hubungan dengan sindiket judi dan maksiat tepat pada masanya.

Ketegasan ini perlu dicontohi oleh ketua-ketua agensi penguat kuasa lain kerana sudah sampai masanya agensi tersebut dibersihkan sepenuhnya daripada segala amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Pegawai dan anggota agensi terlibat perlu membuktikan mereka ada maruah dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, bukannya begitu mudah menjual maruah kepada sindiket. Perlu diingat masa depan negara terletak kepada agensi penguat kuasa tidak kira dalam bidang apapun. Sebuah negara akan hancur dan musnah jika rasuah bermaharajalela manakala agensi penguat kuasa hanya sekadar wujud pada nama sahaja.

Sememangnya tidak dapat dinafikan peningkatan kos sara hidup turut menjadi punca segelintir anggota agensi penguat kuasa terlibat dengan rasuah, tetapi matlamat tidak menghalalkan cara. Yang haram sudah jelas, yang halal sudah jelas.

Oleh itu, janganlah menggadaikan maruah dan amanah semata-mata mahu hidup mewah di dunia sementara ini. Percayalah lambat laun, ia pasti ada pembalasannya. Contohilah ribuan pesara-pesara anggota agensi penguat kuasa yang kini hidup tenang tanpa rasa takut atau bimbang.

Mungkin mereka tidak hidup mewah tetapi sekurang-kurangnya sepanjang perkhidmatan mereka, tidak ada satu senpun wang yang digunakan untuk menyara keluarga datang dari sumber haram.

Apa gunanya hidup senang lenang dan setiap bulan menerima wang rasuah sedangkan seseorang penguat kuasa itu mengetahui dia hakikatnya adalah pengkhianat bukan sahaja kepada agensi diwakili tetapi juga kepada bangsa, agama dan negara.

Justeru sebelum terlambat, pertahankanlah integriti dan maruah diri. Jangan musnahkan masa depan diri dan keluarga

akibat sikap tamak mahu hidup mewah dengan menjamah wang haram. Percayalah ini tidak akan ke mana, apabila sampai masanya anda mungkin akan mengakhiri hidup di sebalik tirai besi.

Kepada SPRM, teruskanlah usaha murni untuk membanteras rasuah dalam kalangan agensi penguat kuasa dan salah guna kuasa di semua institusi. Masa depan negara bergantung sejauh manakah kita mampu mengekang rasuah, jika rasuah sudah menjadi amalan dan bagaikan barah yang sukar diubati, pastinya negara berada di ambang kehancuran tidak kira sejauh manapun kita mencatatkan kejayaan dan kemajuan.

Bagi sindiket, mereka tidak ada masalah untuk ‘mencampak’ segulung wang kertas untuk ‘dipungut’ oleh segelintir anggota agensi penguat kuasa, asalkan aktiviti mereka tidak tergugat. Untuk ‘membeli maruah’ anggota-anggota tersebut bukannya ‘mahal sangat’. - UTUSAN ONLINE