Lapan mangsa ditemui di dalam lif dan mereka mengalami patah kaki, cedera di pergelangan kaki dan tangan akibat lif yang dinaiki mereka mengalami kegagalan sebelum terhempas dari tingkat lima lalu menjunam ke bawah dengan pintunya dalam keadaan terbuka.

Jika kemalangan seperti ini berlaku, apakah undang-undang yang diguna pakai? Bagaimana hak orang awam yang terlibat dalam kemalangan ini?

Di negara kita, beberapa undang-undang telah dibentuk oleh kerajaan bagi mengawal selia pembinaan bangunan yang dikenali sebagai Undang-Undang Bangunan iaitu himpunan peraturan yang perlu dipatuhi bagi menentukan piawaian bagi sesuatu perancangan pembinaan bangunan dan infrastruktur.

Undang-undang ini memberi panduan kepada pihak yang terlibat mengenai segala aspek pembinaan yang melibatkan keselamatan pengguna dan pihak ketiga. Pelan bangunan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan yang tidak mematuhi kriteria undang-undang pembangunan yang ditetapkan tidak akan diluluskan.

Kewujudan undang-undang bangunan seragam telah menyebabkan kerajaan dan pihak yang terlibat dalam bidang pembinaan mengkaji dan menggubal undang-undang yang berlainan antara negeri supaya diselaraskan mengikut kesesuaian. Hasilnya Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 digubal dan dilaksanakan di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan.

Langkah-langkah aspek keselamatan perlu dilakukan dan dipantau dari masa ke semasa bagi mengelakkan insiden yang sama berulang. Di antaranya ialah pihak berkuasa yang berkaitan melakukan audit keselamatan secara berjadual dan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem pendawaian serta penyelenggaran agar ia berada dalam keadaan yang baik.

Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, latihan keselamatan sebagai sebahagian daripada rancangan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu dilaksanakan sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang jenis kecemasan.

Contohnya Operasi Cegah Kemalangan Ke Atas Tapak Bina yang dilakukan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu yang menjalankan pemeriksaan ke atas semua 487 unit lif di seluruh bangunan di Kuala Terengganu termasuk 23 unit lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pemeriksaan ke atas 21 tapak binaan.

Antara masalah yang dikenal pasti terhadap lif-lif itu adalah alat peranti keselamatan dalam lif yang tidak berfungsi dengan baik dan pemilik lif atau premis bangunan diarah melakukan pembaikan atau penggantian dengan segera.

JKKP Terengganu mengeluarkan 11 notis larangan serta merta dan lapan surat arahan kepada pemilik lif atau premis bangunan, 53 notis larangan serta merta untuk menyita dan menghentikan pelbagai aktiviti yang berisiko tinggi di tapak binaan, 12 notis penambahbaikan dan 32 surat arahan dikeluarkan kepada kontraktor bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang

dan Jentera 1967.

Ini juga termasuklah 20 kertas siasatan dibuka bagi tujuan kompaun dan pendakwaan atas pelbagai kesalahan dan perlanggaran undang-undang. Insiden Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi menyebabkan pihak berkuasa berusaha mencari punca di mana silapnya, dengan tidak mengenepikan kemungkinan akibat daripada kecuaian dan juga sama ada lif memiliki Sijil Perakuan Kelayakan (CF).

Isu ini sangat penting kerana ia melibatkan keselamatan awam dan harta benda. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj), para kontraktor lif, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan lain-lain agensi yang terlibat dalam peraturan dan perundangan berhubung penyelenggaraan perlu memantau sistem penyelenggaraan secara berjadual.

Pemilihan kontraktor juga aspek penting. Kontraktor yang diberikan tanggungjawab dan kontrak untuk menjaga lif di semua bangunan mestilah kontraktor yang telah disahkan dan diberi sijil maka seharusnya mereka merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk menjaga dan menyelenggara lif.

Pemantauan di luar jadual juga perlu dilakukan kerana kejadian di luar dugaan telah berlaku. Ini berikutan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi dilaporkan telah dibuat pemantauan dan penyelenggaran mengikut jadual dan telah mendapat CF.

Bagi mewujudkan bandaraya selamat untuk semua memerlukan gabungan alam persekitaran yang selamat dan saling berkait dengan pelbagai sektor. Keperluan kepada lif merujuk kepada keselamatan fasiliti yang melibatkan kerjasama antara semua agensi utiliti dalam penyediaan dan penyelenggaran kemudahan lif.

Orang awam juga perlu peka dan elak daripada melakukan penyalahpenggunaan lif. Setiap isu dan punca masalah mempunyai kaedah atau pendekatan yang berbeza untuk mengatasinya kepada kadar yang minimum. Semua pihak perlu prihatin dan memberi kerjasama.

Roos Niza Mohd Sharif adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah.