Tindakan pantas mengawal kes pencemaran bau yang baharu berlaku di Pasir Gudang amat dipuji.

Ini termasuklah penutupan kesemua 111 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan dua buah institusi pendidikan tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA dan Universiti Kuala Lumpur.

Dengan penutupan ini usaha pemantauan dan mengenal pasti punca pencemaran udara kali kedua tidak sampai enam bulan di Pasir Gudang dapat dikenal pasti.

Lebih daripada itu segala usaha untuk mengelak kejadian ini berulang sangat disokong dan dihargai.

Untuk tujuan itu juga kumpulan penyelidik dalam pelbagai lapangan kepakaran elok ditubuhkan untuk mengetahui implikasi pencemaran udara terhadap penduduk setempat.

Selain itu kemukakan cadangan terbaik bagi mengatasi masalah ini dalam situasi menang-menang antara industri dan penduduk.

Ini kerana bilangan penduduk Daerah Pasir Gudang yang dianggarkan melebihi 400,000 orang, terpaksa berkongsi untuk kelangsungan hidup dengan sektor perkilangan dan industri yang turut berkembang pesat.

Malah industri dan penduduk saling memerlukan sehingga terdapat ratusan kilang yang menyediakan peluang pekerja kepada masyarakat setempat.

Justeru, aspek pemantauan rapi dan berterusan perlu dilakukan bagi mendidik pihak industri agar peka dengan alam sekitar dan tidak bertindak mencemar persekitaran dengan membuang sisa toksik dan bahan buangan berjadual sesuka hati.

Pihak industri dinasihatkan supaya tidak memikirkan keuntungan berlipat kali ganda dan dalam masa sama mengabaikan tanggungjawab sosial menjaga alam daripada sebarang bentuk pencemaran.

Selain itu, kaedah penyampaian maklumat yang tepat dan telus juga perlu diwujudkan terutama apabila terjadi sesuatu musibah yang tidak diingini.

Ini juga dapat mengelak penularan maklumat tidak tepat ataupun palsu yang kemungkinan mencetuskan suasana panik dan huru-hara dalam kalangan masyarakat.

Ini juga dapat mengelak penduduk daripada tertanya-tanya dan cakna dengan situasi berlaku. Malah dengan cara ini kemungkinan berlaku kehilangan nyawa dan harta benda dapat diatasi apabila persiapan awal menangani bencana dapat dilakukan.

Masyarakat Pasir Gudang juga patut diberi pendidikan bagaimana untuk menghadapi situasi cemas. Ini termasuklah dengan mengadakan aktiviti ceramah di sekolah-sekolah, masjid dan surau serta pusat komuniti setempat agar semua cakna menghadapi kecemasan.

Malah dengan kemudahan ICT dan media elektronik masa kini pelbagai aplikasi seperti WhatsApp, Instagram dan lain-lain boleh dijadikan wadah penyampaian maklumat rasmi, cepat dan berkesan daripada pihak berwajib.

Dengan cara ini juga maklumat-maklumat seperti penutupan jalan, kerosakan lampu isyarat, banjir kilat dan maklumat lain secara berkala dapat disampaikan dengan efisien dan sistematik.

Dalam pada itu, penduduk diingatkan supaya tidak mudah menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih sehingga menimbulkan kekeliruan.

Malah ini juga boleh menyebabkan penduduk merasa tidak selamat dan dihantui pelbagai maklumat yang boleh menimbulkan huru-hara dan kekacauan.

Lebih daripada itu umat Islam diajak memuhasabah diri dan menginsafi segala kejadian berlaku punya hikmah untuk diteliti. Betulkan akidah betapa segala yang baik dan yang buruk termasuk ketetapan Allah SWT yang perlu diterima dengan sepenuh keimanan.

Sedarilah apa yang berlaku disebabkan oleh perlakuan manusia sendiri yang gagal melaksanakan tanggungjawab khalifah dengan sempurna. Oleh itu bertaubatlah daripada gejala dosa dan maksiat yang merugikan agama, bangsa dan negara.

Allah SWT berfirman maksudnya; “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Surah al-Rum,41).

Selain itu, untuk menjadikan kehidupan manusia selamat di dunia dan di hari akhirat, seluruh masyarakat diajak kembali ke jalan yang lurus dan berusaha sedaya upaya untuk menunaikan tanggungjawab pengabdian diri kepada Ilahi.

Kegagalan berbuat demikian dibimbangkan menjadi punca tercetusnya pelbagai musibah dan malapetaka akibat kemurkaan Ilahi.

Ini sebagaimana firman Nya yang bermaksud; “Dan apa musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu). (Surah Asy-Syura,30)

Adalah sangat-sangat diharapkan agar kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang tidak berulang. Ini bagi memastikan masyarakat dapat meneruskan aktiviti seharian tanpa bimbang dan ketakutan.

Anak-anak juga dapat meneruskan aktiviti persekolahan seperti biasa terutama bagi menghadapi peperiksaan-peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal menjelang tiba.

Dalam masa yang sama pelajar-pelajar di UiTM juga dapat kembali meneruskan sesi peperiksaan akhir dengan tenang dan selesa tanpa sebarang gangguan setelah terpaksa bercuti akibat musibah pencemaran udara yang terjadi.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.