Kenyataan enam tahun dahulu ini disampaikan kepada sebahagian Ahli Parlimen di Belanda sebagai kaedah mendapat sokongan agar Malaysia dikutuk dan dihina sebagai bukan negara demokrasi yang adil. Ironinya, individu sama yang membuat kenyataan berbaur perkauman, fitnah dan terang-terangan mensabotaj negara ini – hari ini diangkat menjadi anggota kabinet di Malaysia.

Banyak pihak yang menggesa anggota kabinet ini dipecat atau meletakkan jawatan. Itu belum tentu berlaku kerana kerajaan hari ini ‘maksum’ dan kalis dosa politik. Gesaan dan desakan sudah kurang laku.

Polemik keperluan Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menjadi tajuk utama akhbar dan perbualan rakyat mutakhir ini. Banyak pandangan yang diberikan, baik menyokong mahupun menidakkan kepentingan kita menjadi sebahagian daripada agenda ICERD.

Kenyataan P. Waytha Moorthy (pada masa itu aktivis Hindraf) di Belanda adalah suatu contoh paling klasik bagaimana usaha penipuan dan propaganda mampu memberi kesan buruk kepada negara. Bukanlah sesuatu yang mustahil, penerimaan ICERD akan mencambah lebih banyak NGO yang memperjuangkan perkara-perkara yang ekstrem dan melampau.

Malaysia digambarkan sebagai sebuah negara yang tidak pernah menghormati bangsa dan agama lain. Inilah negara yang paling akut menodai prinsip keadilan dan hak asasi manusia. Malahan, dikatakan wujud paksaan menukar agama semata-mata mahu mendapatkan sedikit akses kepada jaringan keselamatan sosial.

Semua tuduhan yang dinyatakan bukan sahaja tidak benar malahan palsu sama sekali. Ya, mungkin si jurucakap tersebut sudah menukar ‘pendirian’ selepas diberikan jawatan – namun kenyataan sabotaj seperti ini menuntut bukan sahaja permohonan maaf, malahan sesuatu yang lebih tegas!

Ada juga pihak yang memberi pandangan perlus dan longgar. Kononnya inilah satu-satunya wahana untuk Malaysia mengembalikan ‘martabat’ sebagai sebuah negara yang dihormati di pentas dunia. Ratifikasi ICERD mahu digambarkan sebagai ‘sentuhan Midas’ yang mampu menjulang Malaysia sebagai jagoan baharu hak asasi.

Memang benar, di peringkat serantau kita antara dua buah negara yang paling sedikit meratifikasi instrumen antarabangsa. Namun, ini sama sekali tidak memberi gambaran sebenar amalan pengurusan dan pentadbiran negara. Hak semua kaum didengar dan diberikan layanan seadilnya.

Fakta asas, terdapat enam lagi instrumen antarabangsa yang belum diratifikasi oleh Malaysia: -

• International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR)

• International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR)

• Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman and Degrading Treatment or Punishment (CAT);

• International Convention on the Protection of the Rights of All Migrants Workers and Members of Their Families (ICMW)

• International Convention for the Protection of All Persons from Forced Disappearance (CPED)

• International Convention on the Eliminations of All Forms of Racial Discrimination (ICERD).

Malaysia mempunyai pilihan yang cukup luas untuk terus mengkaji dan meneliti pilihan lain yang lebih wajar diberikan prioriti.

Hanya 24 negara di dunia yang sudah meratifikasi keseluruhan instrumen antarabangsa yang disebutkan di atas - 24 daripada 197. Kurang lebih 12 peratus. Apakah dengan keadaan itu Malaysia perlu bergopoh-gapah dan terburu-buru mencari pengiktirafan? Apa yang mahu kita buktikan sebenarnya?

Penulis bersetuju dengan pandangan Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri (Dr. Maza) berkenaan prinsip dan realiti yang melingkari pelaksanaan ICERD. Yang penting dan paling utama, adakalanya bukan niat ‘ratifikasi’, tetapi pengalaman sebenar yang sedang berlaku di negara kita.

Tegas Dr. Maza dalam artikel beliau, “...secara perbandingan, toleransi antara kaum, khususnya kaum Melayu terhadap kaum-kaum yang dari sejarahnya berasal dari luar, kualiti toleransi Melayu sekalipun tanpa ICERD jauh lebih baik dari kebanyakan negara di dunia ini”.

Perdana Menteri, para Menteri dan ramai kalangan pendukung kerajaan sudahpun membuat pendirian bahawa ICERD bukanlah prioriti pada waktu dan ketika ini. Malahan, ada yang menganggap ICERD ‘mencemaskan’ rakyat.

Sebagai bekas anggota kerajaan yang menggerak aspirasi “hubungan antarabangsa”, penulis bersetuju bahawa Malaysia perlu mengambil langkah yang jelas dalam melonjak kedudukan Malaysia di garis atas Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR).

Namun begitu, ICERD bukanlah satu-satunya cara. Pimpinan negara wajar meletakkan noktah kepada ketidaktentuan ini.

DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah Ahli Parlimen Kepala Batas.