Berdegar-degar kononnya ‘tahu segala benda’, padahal sehingga hari ini pun DAP belum mampu menyelesaikan isu pemilihan parti itu yang tidak sah pada Disember 2012. Atau pemilihan semula yang juga tidak sah pada September 2013.
Paparan 10 siri oleh wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL menyorot tindak tanduk percaturan DAP melalui Kit Siang dan Guan Eng dalam kemelut politik lepas dan semasa negara.

 

MASIH ingatkah lagi dengan himpunan jalanan Bersih 4.0 pada 29 Ogos 2015?

Himpunan itu dido­­minasi oleh penyokong tegar DAP. Di setiap lokasi perhimpunan mereka di Kuala Lumpur, dari kompleks Sogo, Pasar Seni, Dataran Maybank, Brickfields dan Masjid Negara, tidak keterlaluan dikatakan lebih dari 80 peratus mereka adalah mereka yang pro-DAP.

Orang Melayu dan India amat sedikit bilangannya sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja. Situasi itu amat berbeza dengan penyertaan mereka yang begitu ramai semasa perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 dahulu. Dalam perhimpunan Bersih terdahulu, boleh dilihat orang Melayu membawa anak bini menjerit-jerit. Namun semasa Bersih 4.0 hanya orang Cina dilihat berbuat demikian.

Himpunan Bersih 4.0 adalah antara rancangan yang disusun oleh pakatan pembangkang selepas kegagalan kempen ‘Ubah! Ini kalilah’ yang dikatakan dipelopori oleh DAP.

Hakikatnya kempen yang dikatakan penuh onar dan muslihat untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO dalam Pilihan Raya Umum 2013 (PRU-13) itu amat melukakan dalam arus sihat demokrasi negara.

Semasa itu, tohmahan dan fitnah sentiasa dilontarkan terhadap para pemimpin BN dan UMNO. Bukan sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi mang­sa bahkan turut disasarkan ialah tokoh-tokoh korporat Melayu termasuklah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Ungkapan-ungkapan berbaur nis­ta antaranya ‘kronisme’ dan ‘penipu’ dalam proses pengundian antara fitnah yang dilemparkan. Lebih teruk lagi menjelang peng­undian PRU-13, provokasi pembangkang ditingkatkan ke gear 5 dan 6 de­ngan mencanangkan dalam portal mereka kononnya BN akan menggunakan ‘pengundi hantu’ warga Bangladesh untuk mempertahankan mandat parti pemerintah.

Akibatnya, pada hari pengundian tercetus insiden rakyat Malaysia yang seiras warga Bangladesh ditahan penyokong pembangkang.

Pembangkang ketika itu turut mengadu domba mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melakukan penipuan. Isu dakwat kekal pula ditimbulkan.

Seorang pemimpin DAP di sebuah kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan disertai penyokong melakukan ‘wayang’ - demonstrasi menanggalkan dakwat kekal yang dicalit di jari selepas mengundi.

Pada sebelah malamnya pula biarpun proses pengiraan undi masih dijalankan, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akaun Twitter miliknya memberi amaran kepada UMNO dan SPR supaya tidak menyembunyikan apa yang dianggap kemenangan pakatan. Licik lakonannya.

Apabila keputusan rasmi diumumkan dengan BN berjaya menubuhkan kerajaan melalui majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, pembangkang tetap menguar-uarkan kononnya masih wujud penipuan BN. Walhal yang peliknya, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor dikuasai mereka. DAP pula menjadi dominan dalam pakatan pembangkang dengan memenangi 38 daripada 51 kerusi yang ditandingi.

Provokasi DAP berterusan. Sekumpulan wanita Cina seramai 40 orang yang memakai topeng muka dan menutup mulut berkumpul dalam apa yang dipanggil Silent Walk membantah keputusan PRU-13. Sekumpulan anak muda Cina yang terpengaruh dengan politik cauvinis DAP turut bergambar bersama Jalur Gemilang yang diterbalikkan.

Slogan ‘Ubah! Ini Kalilah’ memberi pengaruh besar terutama dalam kalangan pengundi muda Cina.

Analisis memperlihatkan kira-kira 80 peratus pengundi Cina di kawasan bandar lebih berpihak kepada DAP dan sekutunya. Najib menggambarkan PRU-13 sebagai ‘tsunami kaum Cina’.

Penasihat Parti DAP, Lim Kit Siang mengalahkan calon popular, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi di Gelang Patah. Di Johor, DAP turut menakluk kerusi Parlimen di bandar Kluang, Bakri dan Kulai yang rata-ratanya dibantu sokongan kuat daripada pengundi Cina. Namun DAP tewas di beberapa kawasan seperti di Tanjong Piai dan Labis.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, DAP mengekalkan kerusi Kepong, Bukit Bintang, Cheras, Segambut dan Seputeh.

Di Melaka, bekas Ketua Menteri yang berpindah kawasan bertan­ding dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Parlimen Bukit Katil, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam turut tersungkur di tangan ‘budak mentah’ PKR dipercayai kesan pe­nangan ‘Ubah! Ini kalilah’.

“Saya tidak percaya orang Cina di Parlimen Bukit Katil boleh menolak saya dan kerana undi merekalah saya tewas dalam pilihan raya kali ini.

“Apa jasa Shamsul Iskandar (Mohd. Akin) terhadap orang Cina, kalau hendak dibandingkan dengan apa yang telah saya berikan selama (13 tahun berkhidmat sebagai ketua menteri) ini,” kata Ali Rustam meng­ulas kekalahannya.

Di Negeri Sembilan, Parlimen Seremban terus kekal milik DAP walaupun calonnya Loke Siew Fook menghadapi pertandingan lima penjuru iaitu dua calon Bebas, Berjasa dan BN. Beliau menang dengan majoriti 12,553 undi.

Persaingan di Perak, DAP mencatat kemenangan selesa di kebanyakan kerusi Parlimen majoriti Cina, iaitu di Kampar, Beruas, Teluk Intan, Batu Gajah, Ipoh Barat, Ipoh Timur dan Taiping.

Sumbangan pengundi Cina juga terserlah di Selangor. DAP meneruskan penguasaannya di kerusi Parlimen Petaling Jaya Utara (Tony Pua), Puchong (Gobind Singh Deo) serta Klang (Charles Santiago). Sokongan padu pengundi Cina turut menyum­bang kepada kemenangan pendatang baharu dalam politik iaitu Ong Kian Ming dengan 79,238 undi menewaskan Datuk Yap Pian Hon (BN) 37,032 undi dengan majoriti 42,206 di Serdang.

Kemenangan DAP di kawasan majoriti pengundi Cina menyaksikan gelombang tsunami pengundi Cina pada PRU kali ini walaupun gagal menembusi tembok BN untuk ke Putrajaya.