UKE: Dalam hal ini kita berpandukan kepada mazhab Syafie kerana di Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat, tidur dalam keadaan rapat papan punggungnya di tempat duduk tidaklah membatalkan wuduk. Mereka berdalilkan kepada hadis berikut:

Hadis riwayat Anas yang bermaksud: “Pernah para sahabat Rasulullah SAW menunggu waktu untuk solat Isyak lalu mereka terlena sambil duduk. Kemudian mereka bangun melakukan solat tanpa wuduk. (Hadis riwayat Syafie, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)

Yang mewajibkan seseorang berwuduk kembali kerana tidur ialah hilangnya fungsi akal, baik tidur ringan mahupun tidur nyenyak. Adapun orang yang fungsi akalnya tidak hilang dengan kepala yang tersengguk-sengguk kerana mengantuk atau adanya bisikan hati maka hal itu tidak mewajibkan berwuduk kembali sehingga dia yakin bahawa dia telah berhadas.

Perlukah niat puasa setiap hari

Niat pada malam pertama puasa Ramadan. Ada yang kata pada malam tersebut perlu niat keseluruhan (kulluhu) untuk keseluruhan bulan. Ada yang kata niat puasa setiap hari. Mana lebih afdal ustaz? - CHE YAM, Mersing.

UKE: Niat pada pandangan syarak adalah asas bagi seseorang itu melakukan ibadat, termasuklah ibadat puasa. Tanpa niat, ibadat puasa menjadi tidak sah. Menurut mazhab Syafie, berniat puasa Ramadan wajib dilakukan pada setiap malam kerana ibadat pada setiap hari puasa itu adalah dianggap ibadat yang berasingan di antara satu hari dengan hari yang lainnya.

Akan tetapi ulama mazhab Syafie juga membolehkan supaya bertaklid dengan mazhab Maliki iaitu berniat sebulan penuh pada malam pertama Ramadan sebagai langkah berjaga-jaga demi mengelakkan terlupa berniat puasa. Bahkan dalam mazhab Syafie sendiri perkara itu adalah sunat. Perbezaan pendapat di antara pelbagai mazhab termasuk dalam perkara niat puasa adalah satu rahmat. Dengan adanya pendapat-pendapat yang berbeza itu kita boleh beramal dengannya berdasarkan apa yang disarankan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.