Akhbar itu selanjutnya melaporkan enam mangsa yang terhidu gas toksik tersebut terpaksa diberi rawatan rapi untuk membersihkan paru-paru daripada gas toksik itu.

Mengikut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, mangsa berkenaan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, dan kini berada dalam keadaan stabil.

Dr. Noor Hisham menambah bahawa 30 mangsa masih ditempatkan dalam wad biasa di hospital itu manakala tiga orang sudah dibenarkan pulang. Kesemua mangsa didapati stabil, namun tahap pernafasan masih perlu dipantau bagi melihat sebarang kesan keracunan gas.

Timbalan Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Lokman Hakim Sulaiman menjelaskan, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) bersama lapan anggotanya telah bergerak ke lokasi kejadian sebaik saja menerima panggilan mengenainya. Hasil siasatan menunjukkan bahan kimia dan gas adalah jenis metana.

KEJADIAN TERBURUK

JBPM Johor terpaksa menggunakan peralatan penyerap minyak (oil boom) untuk mengelakkan bahan kimia itu merebak ke kawasan sekeliling. Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis kemudian menjelaskan bahawa HAZMAT telah mengambil sampel air, sampel tanah tempat tumpahan dibuang dan sampel air di laluan sungai untuk dianalisis di makmal forensik jabatan.

Mengikut Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, terdapat 30 kilang di sekitar kawasan itu (Pasir Gudang, Tanjung Langsat dan Kawasan Perindustrian Tebrau) yang ‘dipercayai terbabit’ dalam jenayah pembuangan sisa kimia secara haram ke Sungai Kim Kim.

Bagi Zulkifly Kassim, yang telah menetap di Kampung Bukit Pulai itu selama 15 tahun, beliau sudah lali dengan hal keadaan pencemaran di Sungai Kim Kim itu. Bezanya pada kali ini ia merupakan kejadian terburuk.

Zulkifly memberitahu wartawan bahawa sewaktu dia mula menetap di situ, air sungainya jernih dan ada banyak hidupan air yang menjadi punca pencarian penduduk setempat. Malangnya, apabila kawasan perindustrian mula membangun di kawasan ini, kualiti air menjadi teruk dan sungai mulai mati.

Kita tahu apa yang berlaku di kampung dekat Pasir Gudang ini berlaku juga di tempat lain di seluruh negara.

Kita sudah biasa melihat alam sekitar anugerah Ilahi terus musnah, air sungai terus tercemar dan sungai akhirnya mati apabila industri ditempatkan di kawasan kampung atau berhampiran dengannya.

UNDANG-UNDANG LEMAH?

Kita juga merasakan betapa lemahnya undang-undang alam sekitar, peruntukannya tidak diperkasakan, penguatkuasaannya tidak konsisten. Pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula nampaknya bersikap lebih mesra industri dan mesra perniagaan dari mesra alam sekitar, seolah-olah tidak mempedulikan kepentingan masa depan orang kampung.

Istilah ‘jenayah alam sekitar’ merangkumi pelbagai aktiviti seperti pembuangan sampah (di darat, air, sungai, laut), sisa (kimia dan bahan toksik), minyak, pemusnahan tanah lembap (wetlands), pencemaran bawah tanah dan pembakaran.

Hukuman yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 22(3) Akta Alam Sekitar 1974 (Akta 127) iaitu kesalahan melakukan pencemaran atmosfera adalah denda RM150,00, penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.

Hukuman yang sama dikenakan bagi kesalahan di bawah seksyen 25(3), iaitu kesalahan melakukan pencemaran kepada sungai (pollution of inland waters).

PENJARA MANDATORI?

Persoalan yang biasa ditanya dalam kalangan pengamal undang-undang adalah sama ada pesalah jenayah alam sekitar wajar dikenakan hukuman penjara mandatori? Beberapa tahun lalu ada satu kes pencemaran sungai yang amat teruk berlaku di Melaka.

Walaupun mahkamah dalam kes itu ada menyatakan (selepas mensabitkan tertuduh membuang sisa kilangnya ke sebatang sungai hingga menyebabkan sungai itu mati) bahawa kes ini adalah satu kes yang serius, ia masih keberatan memenjarakan pemilik kilang, sebaliknya mengenakan hukuman denda sahaja.

Di beberapa negara luar, hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah kepada penjenayah alam sekitar termasuklah memerintahkan pesalah untuk melaksanakan tugas jangka panjang seperti memulihkan keadaan sungai yang sudah musnah hingga ia boleh kembali dalam keadaaan asalnya.

Hukuman ini dipanggil oleh pakar undang-undang sebagai restorative justice atau reparative justice. Misalnya, di New South Wales Australia, Mahkamah Tanah dan Alam Sekitar (Land and Environment Court) diberi pilihan mengenakan hukuman yang setimpal terhadap penjenayah alam sekitar di negara itu.

Di bawah seksyen 250 Akta POEO (Protection of the Environment Operations Act 1997 NSW), mahkamah boleh memerintahkan pesalah melakukan pemulihan, pembayaran kos, penyerahan balik segala keuntungan atau hasil dari kesalahan yang dilakukan, melaksanakan apa-apa projek pemulihan atau penambahbaikan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Atau memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun amanah bagi maksud melaksanakan projek pemulihan ditetapkan.

Di bawah seksyen 253A(1A) akta sama, sebagai alternatif kepada hukuman yang disebutkan di atas itu tadi, pesalah boleh diberi pilihan untuk membuat akujanji (undertaking) kepada mahkamah bahawa ia (pesalah) akan melaksanakan satu aktiviti pemulihan (restorative justice activity) di masa depan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Andainya satu undang-undang seumpama yang ada di New South Wales itu dapat diwujudkan di negara ini, mana-mana pemilik kilang yang sabit kesalahannya mencemarkan dan memusnahkan mana-mana sungai negara kita ini boleh (selain dikenakan denda atau penjara) diperintahkan oleh mahkamah untuk melaksana aktiviti pemulihan.

Mereka juga boleh diperintahkan menyerahkan kepada mahkamah segala keuntungan atau hasil yang diperoleh daripada aktiviti haram mereka yang menyebabkan kemusnahan alam sekitar kita.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Skudai, Johor.