Hakikatnya adalah kedua-dua isu ini begitu sensitif yang mana memaksa kerajaan memerintah mengambil keputusan untuk kekal status quo dalam isu ICERD selepas bantahan besar-besaran yang menyaksikan dua parti politik yang berseteru berganding tangan.

Sementara dalam isu Statut Rom pula kerajaan terpaksa menarik balik keputusan ratifikasi apabila ada sangkaan yang menjurus wujud pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan menggunakan faktor pertikaian dengan monarki.

Agak berbeza di antara kes ICERD, isu Statut Rom tidak menghasilkan perhimpunan bantahan besar-besaran tetapi menariknya wujud perdebatan dan hujah yang sihat dilakukan secara terbuka. Paling terkini ialah kumpulan aktivis pelajar yang bertanggungjawab mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja mengenai Statut Rom oleh empat ahli akademik kepada Majlis Raja-Raja diberitakan akan menganjurkan forum berkaitan pada 27 April ini yang mana Peguam Negara, Tommy Thomas telah bersetuju untuk hadir sebagai ahli panel.

Menariknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Tengku Mahkota Johor yang lebih dikenali sebagai TMJ turut diundang dalam forum tersebut. Dalam sidang akhbar, salah seorang kumpulan aktivis pelajar tersebut iaitu Asheeq Ali membuat tanggapan TMJ ‘keliru sepenuhnya’ mengenai Statut Rom.

Mungkin juga Asheeq merujuk kepada isu tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dalam kerangka perundangan Statut Rom yang telah menjadi fokus utama tuduhan kertas kerja empat ahi akademik yang dikatakan sebagai berat sebelah.

Tidak dapat dinafikan terlalu banyak naratif mengenai baik buruknya Malaysia meratifikasi statut tersebut dan kadang kala senario sebegini amat mengelirukan masyarakat umum. Salah satu naratif popular ialah kaitan mencari keadilan terhadap mangsa pesawat MH17 melalui kaedah menyertai Statut Rom yang boleh membicarakan pelaku yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17 di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Memang tepat sekali naratif mencari keadilan MH17 melalui kerangka ICC adalah satu kaedah terbaik tetapi mengaitkan isu ini dengan penyertaan Malaysia adalah agak berat sebelah. Persepsi yang timbul adalah apabila Malaysia tidak meratifikasi Statut Rom, ia akan menyukarkan proses membawa kes MH17 ke ICC tetapi hakikatnya adalah isu ratifikasi dan MH17 tiada kena mengena dan tidak akan membawa apa-apa perubahan dalam proses mencari keadilan.

Memang benar jenayah melibatkan MH17 termaktub dalam Statut Rom tetapi ICC hanya mempunyai kuasa untuk mendakwa individu dan bukannya sebuah negara dan dalam hal ini sasaran ialah sama ada Rusia atau Ukraine. Masalahnya kedua-dua negara ini seperti Amerika Syarikat (AS) bukan ahli konvensyen tersebut dan mustahil bagi ICC untuk memaksa kedua-duanya menyerahkan rakyat mereka yang terlibat dengan jenayah MH17.

Sebab itu ketika Malaysia menjadi ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 2015 telah mengusulkan resolusi penubuhan tribunal antarabangsa untuk menyiasat kes MH17 mengguna kerangka UNSC dan bukannya ICC.

Memang benar walaupun Rusia bukan ahli Statut Rom tetapi mekanisme resolusi UNSC membolehkan ICC memaksa Rusia menyerahkan rakyat mereka tetapi kaedah ini tidak digunakan oleh kerajaan bukan kerana pada ketika itu Malaysia belum meratifikasi statut tersebut tetapi untuk mengelak Rusia menggunakan kuasa veto mereka. Seperti diketahui, Rusia telah menolak resolusi Malaysia walaupun penubuhan tribunal tidak guna kerangka ICC.

Sebab itu juga Belanda dan Australia yang mana kedua-dua negara ini adalah ahli yang telah meratifikasi Statut Rom tidak menggunakan ICC untuk membicarakan kes MH17, tetapi menggunakan sistem mahkamah masing-masing seperti mana yang telah dilakukan oleh Scotland dalam perbicaraan pengeboman pesawat Pan Nam 103 pada 2000.

Perlu diberi perhatian, Malaysia masih menjadi ahli Statut Rom dan harapannya ialah penghujahan yang lebih adil mengenai isu ini dilaksanakan untuk mengelak senario salah tanggap atau kekeliruan.

Tidak adil mengaitkan isu Malaysia tarik diri daripada proses ratifikasi dengan MH17 kerana ia memberi harapan palsu kepada keluarga mangsa.