Terbaharu seorang lelaki ditahan reman sehingga hari ini ekoran tindakannya memuat naik status menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah. Ia dilakukan dalam akaun Facebook bernama Foo Sing Wai.

Nampaknya, golongan begini tidak serik dan tidak mahu mengambil pengajaran daripada kes-kes terdahulu.

Pada 26 Mei 2016, bekas teman wanita kepada blogger Alvin Tan, dipenjara lima bulan 22 hari oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menyiarkan gambar mereka berserta kapsyen mempersenda agama Islam, di laman Facebook mereka.

Mengikut pertuduhan, Vivian Lee atau Lee May Ling dan bekas teman lelakinya itu, didakwa menyiarkan gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)’ dan mengandungi logo halal.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 13 Julai 2013 mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas tindakan mengesan sehingga membawa kepada penangkapan lelaki terbabit.

Setakat ini, polis menerima 395 laporan di seluruh negara berkaitan perkara tersebut.

Suka kita beri pesanan kepada golongan sebegini agar bertanya dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja bohong tetapi menghina insan paling mulia seperti Nabi Muhammad SAW.

Sebab itu, Michael H. Hart dalam bukunya The 100 – a Ranking of Most Influential People in History menilai Nabi Muhammad SAW sebagai satu-satunya manusia dalam sejarah yang berjaya dalam bab keagamaan dan keduniaan.

Persoalannya mengapa golongan yang menghina Nabi Muhammad ini tidak mahu belajar menghormati agama Islam? Adakah mereka jahil bahawa Perkara 3 dalam Perlembagaan menyatakan Islam itu adalah agama bagi negara?

Apabila menjadi agama kepada negara, sepatutnya masyarakat bukan Islam perlu bukan sahaja menghormatinya tetapi juga mengambil inisiatif berusaha mengambil tahu tentang perkara asas berkaitan Islam. Ini termasuklah bab hak eksklusif penggunaan kalimah Allah dan juga kedudukan Nabi Muhammad SAW.

Nampaknya, umat Islam sahaja selalu bertolak ansur sedangkan penganut agama lain sering ‘menguji’ dengan tindakan dan mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejas keharmonian dan kerukunan hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

Golongan ini juga nampaknya tidak memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara terutama dalam bab Kesopanan dan Kesusilaan.

Para ulama bersepakat bahawa orang mukmin yang menghina Nabi SAW adalah kafir murtad dan wajib dibunuh. Pendapat ini adalah ijmak yang dinukilkan antaranya oleh Imam Ishaq Bin Ruwaihah, Ibnu Mundzir, Qodhi Iyadh, Al-Khattabi dan lain-lain. (As-Sharimul Maslul, 2/13-16)

Apabila seorang kafir harbi menghina agama Islam, mencaci Allah SWT dan Rasul-Nya atau mencaci ayat al-Quran maka hendaklah ia diperangi dan dibunuh kecuali ia masuk Islam.

Hal ini ditegaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (daripada memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 193)

Sesungguhnya perbuatan mencaci Nabi Muhammad SAW itu amat menyakitkan hati umat Islam. Cuma, kita belum sampai ke tahap mengambil tindakan sendiri.

Kita masih percaya dan menghormati sistem perundangan negara supaya orang yang menghina Islam diadili mengikut proses undang-undang. Hatta, jika kita terpaksa bangkit mempertahankan hak dan maruah Islam pun perlu melalui undang-undang.

Selain Akta Hasutan, undang-undang negara berkaitan hal ini adalah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan seseorang boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Seksyen 298A Kanun Keseksaan pula memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan. Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan maksimum lima tahun.

Selain hukuman tersebut, dicadangkan pesalah terlibat diwajibkan mengikuti kelas tamadun Islam untuk tempoh tertentu agar mereka faham dan belajar asas Islam.

Ini supaya perkara yang sama tidak berulang. Elok juga, pesalah itu diwajibkan lulus ujian kelas tersebut sebelum dibebaskan daripada hukuman.