Ia dianggap sesuatu yang ‘meletup’ terutama bagi generasi usia bawah 40 tahun, tambah-tambah lagi dengan wujudnya usaha meliberalkan minda agar bertoleransi terhadap golongan LGBT. Lihat saja reaksi tulisan segelintir dalam Facebook atau Twitter.

Tetapi bagi generasi yang berusia 40 tahun ke atas, menghela nafas lelah. Lelah kerana ‘perang kuasa’ meletus lagi di Malaysia. Lelah kerana kesan perebutan kuasa 1998 pun parut lukanya tidak hilang-hilang di minda.

Video Raya

Untuk rekod, Merrepak sehingga kini tidak menonton video terbaharu ini baik klip pertama, mahu pun klip kedua. Ada orang persoalkan, bukankah tugas wartawan untuk menyaksikannya sendiri bagi membantu penulisan. Atas nama tugas, saya hanya melihat gambar cetak. Itupun sekeping saja.

Saya tidak ada keperluan menonton setiap detik klip video itu, apatah lagi saya jangka jika menontonnya akan menyebabkan saya kehilangan selera makan dan diganggu mimpi ngeri berminggu-minggu lamanya.

Kes video gay terbaharu ini istimewa kerana ia pastinya adalah permulaan kepada perang kuasa di Malaysia secara besar-besaran. Dan daripada apa yang berlaku setakat ini, setiap perkembangan benar-benar mengikuti buku teks taktik peperangan politik atau sedap disebut political warfare’.

Taktik serupa 1998

Pertamanya, video dibocorkan, disusuli kemunculan watak-watak dan tentunya penafian. Kemudian pihak berkuasa masuk, dan kemelut berlaku dengan penyokong dan bukan penyokong saling berbalah. Yang tiada kena mengena pun, sibuk berbalah sebab marah kenapa tak guna situasi ini untuk balun mereka.

Benar, generasi usia 40 tahun ke atas masih segar dalam ingatan apa yang terjadi pada 1998. Tanpa mahu merungkai terlalu terperinci kes tersebut di ruangan ini, memadailah kita ringkaskan bahawa persepsinya ialah apakah mencipta tuduhan terlibat dengan perlakuan luar tabii menjadi pilihan utama menumbangkan musuh politik?

Terlintas dalam benak ajaran sains politik bahawa punca kejatuhan ahli politik ada tiga perkara lazim iaitu rasuah, arak dan main betina. Jadi sekarang tambah satu lagi – main jantan?

Merrepak tidak mengulas dari sudut video itu sahih atau tidak, walaupun ada individu sudah membuat pengakuan terbuka kerana ia layak hanya untuk pihak berkuasa menyiasatnya.

Merrepak hanya melihat dari sudut pandangan udara. Gejala bersemburit (bersetubuh sesama lelaki : Kamus Dewan Edisi Keempat) bukan saja salah dari segi perundangan negara tetapi juga salah dari segi agama Islam dan Kristian Katolik.

Berkocak lagilah negara ini dengan perebutan kuasa dari parti yang dominan di dalam kerajaan. Saya sangkakan hanya menyaksikan kes seumpamanya sekali seumur hidup. Sangkaan itu meleset sama sekali.

Rumah Terbuka Raya

Sejak semalam, hari ini dan seterusnya setiap hujung minggu sepanjang Syawal ini, kita akan meriah dengan acara rumah terbuka raya. Cubaan untuk mengelak, nampaknya kurang berjaya setakat ini melainkan anda mengisytiharkan diri tidak sihat minda dan kaki untuk sekali lagi tersekat dalam kesesakan jalan raya semasa menuju ke rumah terbuka.

Itu jemputan ke rumah individu. Di peringkat organisasi, kena juga penuhi jemputan rumah terbuka syarikat sama ada di hotel atau premis syarikat tersebut.

Panduan mudah untuk anda mengelak daripada migrain dan sakit kaki ialah datang awal ke majlis. Misalnya, jemputan bermula 2 petang. Pastikan anda di depan pintu seawal 1.30 petang. Lazimnya petugas akan benarkan anda masuk, takkan hendak biarkan anda berdiri macam penjual insurans depan pintu. Jadi, anda akan dapat makan dengan aman sebab tidak perlu beratur dan bila pintu dibuka 2 petang, anda sudah siap makan dan boleh pulang.

Bagi yang suka datang pada waktu puncak jemputan, eloklah bermuhasabah. Sudahlah susah hendak cari petak letak kereta, nak masuk dewan pun sendat, beratur makan panjang. Tuan rumah pun risau bagaimana hendak layan tetamu yang kerumun waktu serentak.

Hiburan Raya

Kebetulan saya tidak raya sangat kali ini, sebagai menghormati pemergian bapa, Februari lalu. Selain meja makan, banyak juga masa terluang di hadapan televisyen. Disebabkan alat kawalan jauh televisyen dipegang oleh isteri, maka kenalah ikut pilihan beliau.

Mujurlah yang dipilihnya masih boleh diterima, antaranya filem Azura lakonan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud dan beberapa filem Hindustan (tak ingat judul sebab terlelap mata semasa babak Shah Rukh Khan menyanyi atas bukit).

Khamis lalu, seniman Datuk A. Rahman Hassan meninggal dunia. Arwah adalah antara pendukung muzik era 1960-an digelar Pop Yeh Yeh. Arwah bapa saya adalah penggemar muzik A. Rahman Hassan dan Orkes Nirwana. Inilah buat saya tersentuh bila terdengar semula lagu ‘Tak Mengapa’, yang sering jadi siulan halus arwah bapa suatu waktu dahulu.

Tapi tak mengapa (aaaa)

ku derita (parap parap)

Nanti tiba masa (aaa...)

kan kau rasa (parap parap)

Betapa hebatnya (aaa...)

hati luka kecewa (parap parap)

Gagal dalam bercinta.