Bagaimanapun terdapat satu kategori kenderaan berenjin yang tidak perlu membayar tol iaitu motosikal. Mereka tidak bayar tapi pada masa sama dapat menikmati segala-galanya yang diperoleh oleh pemilik kenderaan lain.

Mungkinkah kerana faktor berkenaan menyebabkan terlalu kurang kemudahan hentian berteduh atau lay-by semasa hujan untuk penunggang motosikal di lebuh raya, sekali gus mengurangkan daripada kebarangkalian maut dirempuh kenderaan lain.

Perlu diakui memang ada kemudahan itu tetapi amat sedikit dan jika wujud sekalipun hanya ‘cukup-cukup makan’ - bolehlah memuatkan kurang daripada 10 buah motosikal pada satu-satu masa.

Sebab itulah semasa hujan, pasti pengguna laluan ­lebuh raya bakal dihidangkan dengan pemandangan wajib iaitu kelihatan berlonggok-longgok motosikal ber­teduh di bawah jejantas kerana mereka tidak mempunyai alternatif lain.

Keadaan ini amat berbahaya. Terlalu banyak kes kehilangan nyawa sebelum ini apabila terdapat kenderaan yang terbabas dan merempuh mereka. Antara yang tragis adalah kejadian berlaku pada 27 April 2015 apabila jenazah seorang pegawai polis ditemukan selepas lebih 10 jam terlibat dalam kemalangan ketika berteduh di bawah jambatan di Kilo­meter 17.2 Lebuh Raya Kajang-Cheras (Grand Saga).

Dalam kemalangan itu, sebuah kereta yang terbabas merempuh lima buah motosikal termasuk milik mangsa yang berteduh daripada hujan lebat di bawah jambatan itu. Kemalangan itu turut me­ragut nyawa seorang warga emas manakala empat lagi cedera parah.

Sedikit peringatan kepada pemilik motosikal, jika hujan sekadar renyai-renyai, usahlah berhenti tetapi pakailah baju hujan dan teruskan perjalanan. Jika tiada baju hujan, belilah satu. Bukannya mahal sangat jika dibandingkan dengan harga telefon bimbit, malah jika dijaga dengan baik ia mampu bertahan hingga bertahun-tahun.

Ini kerana hasil pemerhatian mendapati kebanyakan pengguna motosikal yang tumpang berteduh tidak mempunyai baju hujan, hanya sekadar jaket biasa yang pasti lencun jika hujan.

Perlu disematkan dalam kepala bahawa motosikal yang ditunggang tidak mempunyai ‘bumbung’, maka kena pandai-pandailah sediakan baju hujan sebelum hujan!

Kepada pemandu kenderaan lain pula usahlah pandu laju-laju. Ingatlah nyawa pengguna lain yang juga amat berharga sama seperti milik anda sendiri. Kes-kes kemalangan di negara ini amat kronik sebenarnya. Kementerian Pengangkutan pada November tahun lalu menyatakan bahawa jumlah kemalangan sepanjang 2016 adalah seba­nyak 960,569 kes manakala kadar kemalangan maut me­ningkat melepasi angka 7,000 orang.

Kenapa negara-negara maju mampu mengurangkan kematian dan kemalangan jalan raya sehingga 10 kali ganda lebih rendah berbanding Malaysia?

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi: “Sweden misalnya mencatatkan hanya 263 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2016. Dengan jumlah penduduk seramai 9.9 juta, kadar kematian akibat kemalang­an jalan raya di negara itu adalah serendah 2.65 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

‘‘Berbanding Malaysia, kadar­nya adalah 22.35 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Purata 20 kematian setiap hari atau satu kematian bagi setiap 78 minit ini amat sedih dan membimbangkan,”.

Penulis ada sedikit cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan. Kepada pemilik konsesi lebuh raya, binalah lay-by sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat. Selain dapat memberikan manfaat kepada pengguna, pada masa sama dapat juga mengurangkan sedikit kos bayaran cukai kepada pihak berwajib.

Sementara itu kepada kedai yang menjual baju hujan, laksanakan kempen harga murah baju hujan pada musim hujan. Lebih baik kurang sikit keuntungan berbanding stok baju hujan langsung tidak terjual sama ada semasa musim kering atau hujan.