Kata-katanya terkesan ikhlas daripada hati. Tekad lelaki yang dikenal kental berpegang kepada prinsip ini pun bukan calang-calang.

Beliau mahu mengembalikan kegemilangan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai institusi disenangi masyarakat. Caranya tanpa kos - meneguhkan integriti PDRM. Membersihkan terlebih dahulu pasukannya daripada apa jua amalan rasuah dan menambah baik kebajikan anggota menjadi tekad utama beliau.

Beliau pun bukan sekadar cakap kosong. Teladan ditunjukkan melalui dirinya sendiri. Mudah kita melihat seorang Abdul Hamid yang hidupnya begitu sederhana itu dalam keramaian orang awam. Contoh mudah, mengangkat beg sendiri dan melalui pemeriksaan keselamatan lapangan terbang seperti orang lain.

Pertemuan khas Mingguan Malaysia, Khamis lalu pun berbaur dalam suasana formal dan santai. “Nak lagu raya,” pelawa Abdul Hamid semasa mempersilakan kami menikmati kuih raya yang terhidang di atas meja bilik pejabatnya di tingkat 31, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

MINGGUAN: Boleh kongsi prinsip Datuk Seri mengenai integriti?

ABDUL HAMID: Soal integriti ini sebenarnya telah ditanam sejak kecil. Pertama sekali daripada kedua-dua Allahyarham ibu bapa saya yang sering menasihatkan supaya jangan mengambil hak orang, jangan mencuri dan jangan merokok. Tapi kenyataan yang kerap dikeluarkan adalah jangan ambil hak orang. Jadi di situlah terbentuknya mesej hidup perlu jujur dan amanah.

Selepas itu, masuk sahaja alam persekolahan, seorang cikgu India yang betul-betul saya rapat iaitu Cikgu Murugiah dan seorang ustaz (semasa di sekolah menengah) selalu nasihat agar jujur, amanah dan jangan menipu. Maklumlah, ketika duduk di asrama dahulu ramai penghuni menipu sebab tidak mahu pergi mengaji.

Selepas itu saya bekerja di bahagian perhotelan. Saya telah diterapkan ketepatan waktu datang ke pejabat sehingga terbentuk disiplin dalam diri. Apabila masuk PDRM, saya teringat waktu mengangkat sumpah pada hari terakhir di pusat latihan. Ayat-ayat ikrar itu saya hafal dan hayati sehingga terbentuk apa yang dikatakan prinsip-prinsip integriti.

Semasa menjadi Timbalan Pengarah Cawangan Khas, saya terdedah kepada pelbagai kritikan orang ramai dan dalam cawangan ini juga kita bercampur dengan pelbagai masyarakat termasuk ahli politik, korporat dan penjawat awam lain yang kebanyakan mereka bising mengenai rasuah.

Apabila naik pangkat, kita tahu betapa pentingnya prinsip ini diperkasakan. Itulah prinsip yang dipegang, bukannya datang mengejut atau sesuatu yang saya cipta untuk menaikkan imej diri. Ia terbentuk daripada proses sekian lama iaitu daripada kecil sampai besar, dari sekolah sehingga ke alam pekerjaan.

Apakah benar isu integriti sebenarnya gagal ditangani?

ABDUL HAMID : Saya percaya semua Ketua Polis Negara (KPN) sebelum ini mempunyai misi untuk menangani masalah integriti. Bagi saya masalah integriti dalam PDRM amat serius. Saya rasa pihak media lebih maklum tentangnya kerana wartawan-wartawan mendengar secara terus kecaman-kecaman daripada masyarakat.

Kadang kala, wartawan ini pun berlakon. Manakan tidak apabila menghadiri sidang akhbar, ada yang takut bertanya kepada pegawai kanan polis yang memberikan kenyataan dalam majlis itu. Walhal wartawan mendapat maklumat daripada orang awam, kadang kala satu-satu kes ini terdapat pembabitan polis kemudiannya polis tidak berlaku adil tetapi mereka takut atau segan mahu bertanya. Saya faham dan ikut sahaja waktu itu.

Setiap hari saya menerima surat daripada pengadu-pengadu awam yang mendakwa tentang ketidakadilan polis. Ada polis tidak siasat kes, berat sebelah dan ambil duit. Surat-surat itu juga dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan saya dapat salinannya. Saya akui, ada yang betul dan tidak. Tetapi saya harus perhalusi satu persatu dan tidak akan ketepikan walaupun sedikit atau sekecil mana aduan, saya akan arahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan jalankan siasatan. Saya ambil berat mengenai perkara ini.

Datuk Seri ada tempoh yang singkat memandangkan kontrak tidaklah begitu lama. Apakah impian untuk menangani isu ini? Mungkin ada tempoh masa yang disasarkan?

ABDUL HAMID: Saya tidak meletakkan sasaran. Saya terus terang, dua tahun kontrak yang diberikan memadai. Saya yakin dan optimis akan melaksanakan kenyataan-kenyataan yang saya keluarkan berhubung usaha meningkatkan integriti ini.

Soal meningkatkan integriti tidak melibatkan kos yang mana saya terpaksa mengeluarkan belanja RM15 juta setahun. Ia datang daripada teladan yang ditunjuk oleh pucuk pimpinan dan pegawai kanan. Saya sendiri tekankan teladan dan contoh yang baik untuk diikuti. Saya datang awal ke pejabat, tidak sesuka hati mengambil cuti kerana saya yang paling kurang pergi makan angin, tidak bermewah-mewah, tidak mengkehendaki pegawai bawahan melayan saya seperti separuh Tuhan. Arahan saya, saya haramkan usaha memberi kemewahan dari segi sambutan atau makanan kepada saya kerana itu melibatkan kos.

Jadi berbalik kepada integriti, ia hanya kesedaran dalam diri masing-masing dan saya percaya setiap seorang daripada 135,000 warga PDRM pada asasnya adalah orang yang baik. Hanya dalam proses peredaran masa berdasarkan pengalaman senior-senior mereka sebelum itu yang telah terbabas, maka mereka terpengaruh.

Satu lagi senyum. Mahalkah memberi senyuman kepada orang ramai datang membuat aduan? Secara automatik, 90 peratus masalah mereka akan hilang. Selain itu bersangka baik dan beri layanan mesra kepada mereka dan seterusnya tindakan susulan oleh pegawai penyiasat perlu dijalankan dengan penuh integriti dan tidak berat sebelah. Secara amnya, perkhidmatan polis akan disenangi orang ramai.

Jadi, saya tekankan semula, tidak ada melibatkan apa-apa kos untuk tingkatkan integriti. Kesedaran itu sendiri, masing-masing dah dewasa dan sekarang ini pegawai kanan dan anggota pangkat rendah berkelayakan dari sudut akademik, jadi fikirkan baik dan buruknya. Sekiranya saya fokus, insya-Allah, tahun yang diberikan amat memadai dan saya yakin jika ia lebih awal ditingkatkan, saya sendiri bersedia untuk bersara. Saya tidak mahu lama dalam PDRM. Cukuplah.

Datuk Seri ialah simbol imej PDRM yang baharu. Tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang pegawai kanan telah bersara masuk semula. Mungkin Datuk Seri mahu kongsi falsafah hidup yang dari dahulu dikenali sebagai orang yang ringkas?

ABDUL HAMID : Tiada yang luar biasanya diri saya. Hanya saya sentiasa bersangka baik terhadap sesiapa pun. Saya tidak melabelkan seseorang itu melalui pandangan pertama dan tidak mudah menghukum seseorang kerana perlu ada tempoh waktu untuk kita mengenali seseorang. Sebab itulah apabila kita bersangka baik pada orang, majoritinya orang akan bersangka baik dengan kita.

Saya hanya cuba mematuhi semua yang dipertanggungjawabkan dan dari sudut disiplin saya akan cuba mematuhi sebaik-baiknya garis panduan ditetapkan dan perintah tetap KPN yang dipanggil Peraturan Tetap Ketua Polis Negara (IGSO). Itu adalah garis panduan yang ditetapkan dan kita ikut sahaja. Yang lain semua hasil didikan daripada kecil sehingga besar.

Kalau kita didendangkan dengan nasihat-nasihat yang baik daripada ibu bapa, guru-guru, sahabat-sahabat dan jiran-jiran, insya-Allah apa yang kita buat itu akan sentiasa dalam parameter terkawal dan tidak akan mudah tersalah langkah atau terkeluar dari­pada garisan tersebut.

Tidakkah perjalanan hidup Datuk Seri ini suatu yang dramatik, di mana dua tahun lapan bulan di luar masuk kembali PDRM kemudian menjadi jawatan tertinggi dalam pasukan ?

ABDUL HAMID: Soalan ini berkali-kali ditanya oleh orang yang mahu mengorek apa yang ada dalam hati saya. Apabila saya mendapat panggilan telefon pada hari tersebut selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 memang ada perasaan terkejut kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu berjumpa dengan saya tetapi tidaklah sampai saya hilang pedoman yang mana kalau orang putih nak buka champange untuk buat sambutan.

Selepas itu, secara tiba-tiba datang perasaan syukur sekurang-kurangnya saya dipanggil semula mungkin Perdana Menteri mahu berjumpa untuk mengucapkan terima kasih atas pendirian saya selama ini. Saya tidak terfikir akan ditawarkan untuk balik bekerja bersama pasukan ini kerana saya tahu saya telah bersara.

Seterusnya saya terus datang ke Putrajaya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri. Saya tidak ada apa-apa kerana saya mudah mengawal emosi saya dan tidak mudah hilang pertimbangan. Saya rasa rendah diri dan bersyukur kerana selama dua tahun lapan bulan saya tidak ada menyusahkan sesiapa. Saya tidak ada komen apa-apa pun selepas sidang akhbar mengenai surat terbuka saya.

Cuma adalah saya berlawak, suatu hari nanti kalau saya masuk politik, jadi Perdana Menteri, siap kau orang aku kerjakan. Itu hanyalah lawak dan tiada makna dan ada rakan-rakan yang dengar saya cakap begitu. Itu lawak-lawak harian saya.

Jadi Datuk minat politik?

ABDUL HAMID : Tidak langsung. Tidak ada minat sedikit pun dalam politik. Saya dilatih jadi pegawai polis selama 37 tahun dan itu sahaja yang saya tahu.

Saya berkhidmat dalam cawangan yang memantau kegiatan politik dari situ saya dapat pengalaman dan ilmu apa itu politik. Asam garam dan pahit getir, itu tidak menakutkan saya masuk politik tetapi memang saya tidak berminat dengan politik.

Mahu berlaku adil pada anak buah

Ketua-ketua polis negara sebelum ini juga berusaha untuk meningkatkan integriti, jadi apa halangan dan penyebab perkara tersebut tidak tercapai? Adakah kerana gaji atau faedah yang diperoleh PDRM?

ABDUL HAMID : Satu adalah kerana penyeliaan tidak kemas dari atas. Kita boleh keluarkan apa sahaja kenyataan, tetapi sekiranya tiada tindakan susulan untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan penjelasan kepada orang bawah, perkara itu akan jadi cakap kosong.

Keduanya, memang seperti apa yang saya sebutkan tentang gaji dan elaun kebajikan anggota, pada saya nampaknya perkara itu tidak betul-betul diberi perhatian sebelum ini.

Kenaikan kos sara hidup tidak dapat diseimbangkan dengan kena­ikan gaji dan elaun. Jadi, kita ketinggalan dan masalahnya apabila warga PDRM ini telah memperoleh sebegitu banyak kuasa. Kuasa yang diberikan amat luas, jadi bahaya sekiranya pegawai-pegawai polis yang dibebankan dengan tanggungjawab ini jika mereka sendiri mengalami tekanan, masalah peribadi atau rumah tangga. Bayangkan apa yang mereka boleh buat.

Lebih penting lagi apabila poket mereka kosong selepas wang gaji halal digunakan untuk membesarkan anak, menghidupkan api dapur dan menjaga hal-hal kesihatan keluarga di kampung. Dalam keadaan terdesak, mereka boleh bertukar masuk ke alam jenayah.

Itu yang banyak berlaku walaupun ada sebilangan mereka memang tegar dan hidup mewah tidak seperti seorang warga polis kerana tersasar tetapi sebahagian besar adalah mereka yang terhimpit dengan keadaan, gaji rendah, elaun rumah tidak cukup. Ini tidak adil.

Saya dah berbisik dengan Perdana Menteri dan saya yakin daripada gerak tubuhnya, usaha saya untuk mendapatkan pembelaan dari sudut ini akan diambil tindakan oleh kerajaan.

Contoh yang saya mahu kongsi di sini, duduk di Kuala Lumpur, KPN dapat elaun perumahan RM1,500, bagi anggota RM300. Sekiranya dia tidak diberikan penginapan, dia perlu mencari di luar, RM300 mana rumah dia mahu duduk. Flat kos rendah sahaja RM450.

Logiknya mereka terpaksa tinggal jauh di Kampung Delek atau mana sahaja di Klang atau berkongsi rumah dan kena tambah dengan duit sendiri RM150 untuk cukupkan sewa RM500. Motosikal ke tempat kerja pun tiada elaun minyak. Kena isi guna duit sendiri selain risiko ketika bertugas sehingga ramai anggota cedera di jalan raya. Itu semua perlu difikirkan.

Itu dari satu sudut yang mana kerajaan perlu bagi perhatian. Tetapi dosa-dosa yang dilakukan dalam pasukan pun ada. Peruntukan membaiki berek-berek polis tidak diagih dengan sepenuhnya yang mana berlaku peruntukan diselewengkan kepada tempat lain.

Jadi, ini adalah salah dalam PDRM. Berlaku penyelewengan dalam PDRM, jadi sebab ini yang saya mahu tekankan soal integriti, bukan rakyat biasa atau orang awam yang jadi mangsa warga kita sendiri jadi mangsa perbuatan rakus pegawai-pegawai kanan tidak bertanggungjawab.

Apabila kerajaan membuat keputusan untuk memperbetulkan semula gaji di peringkat bawahan ini, negara mana yang menjadi penanda aras atau hanya mengikut kemampuan kerajaan kini?

ABDUL HAMID : Kedua-duanya. Satu kemampuan kerajaan, keduanya realiti kos di sini. Kalau mahu ambil kira gaji di negara luar seperti Singapura, Hong Kong atau negara lain, itu sudah lain. Tetapi apa yang diperoleh mestilah mengikut sukatan tempatan yang berpadanan dengan kemampuan kerajaan.

Pihak pengurusan kini sedang merangka, apakah keperluan yang perlu diminta dan kita tidak memaksa kerajaan mengikut kehendak dengan mengugut tetapi kita sama-sama mencari titik penyelesaian yang adil.

Selain itu, saya juga ambi kira penjawat-penjawat awam di jabatan lain. Hanya saya highlight penting­nya diberikan kepada PDRM kerana ini tulang belakang penguat kuasa.

Kuasa besar yang diberikan kepada seorang Konstabel, Inspektor mudah disalahgunakan sekiranya mereka menjadi warga yang hidup dalam tekanan. Itu bahaya. Jadi saya sebagai KPN akan berlaku adil kepada kerajaan dan anak buah saya.