Bagi mengupas persoalan tersebut, Felo Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali berkata, Hikayat Hang Tuah tidak digunakan sebagai bahan rujukan bagi membincangkan kewujudan laksamana tersebut, sebaliknya merujuk kepada sumber Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

“Hikayat Hang Tuah tidak diguna pakai sebagai bahan rujukan kerana naskhah itu merupakan epik Melayu, hikayat berperlambangan dan bukan sebuah naskhah sejarah.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat maklumat sejarah terkandung di dalamnya. Misalnya pada bahagian akhir hikayat tersebut, tercatat tokoh bergelar Paduka Raja atau Datuk Paduka Raja yang memang wujud dalam sejarah Johor dan disandang oleh Laksamana Tun Abdul Jamil.

“Gelaran itu dianugerahkan kepada Laksamana Tun Abdul Jamil oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim (1677-1685) kerana berjaya mengalahkan Jambi pada 1679.

“Justeru, naskhah Hikayat Hang Tuah yang mencatatkan gelaran Datuk Paduka Raja, sudah tentulah ditulis atau disalin sama ada pada atau selepas 1679,” katanya.

Di dalam lapan versi naskhah Sejarah Melayu, hanya dua sahaja iaitu versi A. Samad Ahmad dan keturunan Megat Seri Rama mencatatkan asal Hang Tuah dari keturunan Raja Bajang, Bugis.

Versi lain memulakan kisah Hang Tuah ketika Sultan Mansur bersiap hendak berangkat ke Majapahit untuk mengahwini Raden Galoh Cendera Kirana.

Sungguhpun ada perbezaan, apa yang lebih penting dalam semua versi naskhah Sejarah Melayu ada mencatatkan tentang Laksamana Hang Tuah.

Malah turut dicatatkan selepas Laksamana Hang Tuah meninggal dunia, beliau digantikan oleh Laksamana Khoja Hasan. Setelah angkatan Portugis menyerang dan menakluk Melaka, Laksamana Khoja Hassan meninggal dunia dan digantikan pula oleh Laksamana Hang Nadim.