Saya menghujahkan bahawa UMNO tidak akan terkubur kerana kekalahan itu. Sebabnya adalah, pertama, pengundi-pengundi UMNO pada PRU-13 berpindah mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 adalah kerana bencikan Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin yang dilihat sebagai terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kebanyakan mereka bukanlah ahli UMNO yang keluar beramai-ramai dan menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (Amanah) ataupun DAP. Mereka hanya mengundi PH dalam pilihan raya itu. Kebanyakan mereka masih sayangkan UMNO.

Kedua, jika dibanding (anggaran) undi Melayu yang diperolehi UMNO dengan yang diperolehi PH, saya fikir UMNO memperolehi lebih banyak undi Melayu daripada PH.

Jika dijumlah (anggaran) bilangan undi Melayu yang diperolehi UMNO dan Pas, dan dibandingkan dengan yang diperolehi PH, saya percaya, bilangan undi Melayu yang diperolehi UMNO dan Pas adalah lebih kurang dua pertiga, manakala PH memperolehi paling tinggi satu pertiga sahaja. Ertinya dua pertiga pengundi Melayu masih menolak PH.

Ketiga, kekalahan UMNO juga disebabkan oleh pengundi-pengundi muda. Saya hujahkan orang muda memang begitu. Mereka tidak merasai pengalaman hidup di bawah penjajahan British, pemerintahan tentera Jepun, Bintang Tiga dan darurat.

Mereka lahir dan hidup dalam keadaan merdeka, aman, tenteram, makmur dan dengan sekolah menengah, universiti dan biasiswa yang sedia menunggu.

Mereka tidak sedar bahawa UMNO yang berjuang untuk memperolehi semua itu. Mereka lupa bahawa kebanyakan mereka baru sahaja keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi. Mereka lupa, tanpa itu semua, di mana mereka?

Pada umur itu, mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, apatah lagi di luar negara atas biasiswa Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh UMNO, dipengaruhi oleh ilmu akademik yang diajar oleh profesor-profesor mereka dan daripada apa yang mereka (baru) baca, tertarik dengan konsep kesamarataan yang dilaung-laungkan oleh PH dan NGO-NGO bukan Melayu.

Mereka tidak menyedari bahawa dalam konteks Malaysia, ia merugikan orang Melayu. Lagi pula, pada umur itu mereka hendak “menukar dunia” (change the world).

Satu lagi kumpulan orang muda yang mengundi PH adalah yang tidak tinggi pelajarannya, termasuklah Mat Rempit. Mereka adalah golongan anti-establishment dan tertarik dengan ucapan-ucapan seperti ucapan Mohamad Sabu. Bagi mereka, menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan adalah satu keseronokan. Saya percaya, dalam masa 10 atau 20 tahun apabila anak-anak mereka akan mencari tempat untuk masuk ke universiti dan biasiswa dan, selepas itu mencari kerja, mereka akan sedar kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO menyediakan semua itu.

Namun demikian, untuk berlaku adil kepada semua, terutama sekali melihat apa yang berlaku dalam masa dua minggu selepas PRU-14, Najib perlu disingkirkan dan tidak ada jalan lain melainkan menjatuhkan kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO dengan beliau bersamanya. Itu realitinya dan tragedinya.

Semua pemimpin UMNO mesti memikul tanggungjawab menyebabkan kerajaan BN yang diterajui UMNO selama enam dekad itu tumbang. Jika UMNO tidak terkubur, maka UMNO perlu diperkuatkan semula. Apa yang perlu dilakukan?

Pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti hendaklah disingkir dan digantikan dengan muka-muka baru yang bersih. Sekarang adalah masa yang paling baik untuk berbuat demikian kerana, pertama, terdapat kekosongan di atas dan tidak ada sesiapa yang nampak jelas untuk menggantikan Najib. Kedua, tanpa kuasa, politik wang akan berkurangan.

Pemimpin-pemimpin baru itu hendaklah belajar daripada kesilapan pemimpin-pemimpin UMNO praPRU-14 dan tidak mengulanginya. Buangkan amalan dan sifat-sifat keji yang dibenci oleh pengundi.

Persidangan Agung UMNO janganlah dijadikan medan pertandingan lawak jenaka dan suara siapa paling kuat untuk mendapat tepukan gemuruh. Itu tempat berbincang dengan serius dengan hujah-hujah bernas mengenai kedudukan dan masa depan UMNO dan negara.

Dengan itu, saya percaya banyak pengundi UMNO sebelum PRU-14 yang berpindah mengundi PH akan kembali kepada UMNO. Malah UMNO tidak perlu risau jika terdapat ahli-ahli yang lari untuk memasuki PPBM, PKR atau Amanah.

Kebanyakan mereka itu adalah oportunis yang mengharapkan sesuatu. Biarkan mereka pergi. UMNO akan menjadi lebih bersih.

Adakah falsafah perjuangan UMNO masih relevan?

Bagi saya, jawapan kepada soalan ini tertakluk kepada jawapan kepada soalan: Apakah tujuan ahli-ahli UMNO berjuang?

Adakah mereka berjuang semata-mata untuk menang pilihan raya, dapat menubuhkan kerajaan dan mendapat habuan daripadanya? Atau, adakah mereka berjuang untuk matlamat tertentu, iaitu untuk agama, bangsa dan negara, dalam konteks Malaysia sekarang, untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan lain-lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

Jika yang pertama, maka ikutlah sahaja apa yang disukai oleh majoriti pengundi seperti di negara-nagara Barat. Buat kaji selidik, jika lebih banyak pengundi sukakan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam dihapuskan, pinda matlamat perjuangan UMNO ke arah itu untuk mendapat undi mereka! Soalnya, adakah itu matlamat perjuangan UMNO?

Sebaliknya, jika matlamat perjuangan UMNO adalah yang kedua, maka, sama ada menang atau kalah dalam pilihan raya, matlamat perjuangan itu tetap kekal.

Mungkin dihujahkan bahawa adalah lebih baik menang daripada kalah kerana jika menang, sebagai pemerintah kita dapat melakukan apa yang kita mahu. Hujah itu sah (valid) jika kita tidak terpaksa membuang matlamat kita untuk menang. Jika dari awal kita terpaksa membuangnya, jika menang pun, apa yang boleh dilaksanakan lagi?

Kita sudah terikat dengan manifesto. Parti-parti yang menjadi rakan dalam pilihan raya itu tidak akan membenarkan kita berpatah balik (to go back on ) daripada janji-janji kita.

Seterusnya, jika matlamat perjuangan UMNO adalah yang kedua, maka UMNO perlulah menjelaskan pendiriannya. Dalam berbuat demikian, UMNO perlu menjelaskan bahawa ia hanya mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan lain-lain yang telah dipersetujui semasa mencapai kemerdekaan dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini telah berjalan dengan baik selama enam dekad sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, tenteram dan makmur, malah sebuah negara membangun dan negara Islam contoh di dunia.Siapa rakyat Malaysia yang hidup selepas merdeka yang boleh berkata dia tidak langsung menikmatinya, tidak kira apa bangsa dan agamanya?

Dalam hal ini UMNO hanya mahukan hak masing-masing dikekal, bukan hendak mengambil hak pihak lain. Sebaliknya, pihak lain itulah yang mahu lebih. Yang lebih itu akan datang dari mana? Tentu daripada hak orang Melayu. Jika tidak dari mana lagi? Itu yang ditentang oleh UMNO.

Patutkah UMNO diubah menjadikan sebuah parti multi-racial? Tujuannya adalah untuk menambah keahlian dan, dengan itu, pengundinya. Saya fikir tidak berbaloi berbuat demikian. Pertama, ia tidak akan menarik orang bukan Melayu menjadi ahli UMNO dengan ramai.

Lihat sahaja kepada DAP dan Gerakan. Berapa ramaikah orang Melayu menyertainya? PKR tidak banyak bezanya. Yang menyertainya adalah peringkat pemimpin atasan yang mencari tempat dalam parti baru. Lihatlah berapa banyak pengorbanan yang terpaksa dibuat olah PKR untuk melayan (accomodate) mereka.

Kedua, adalah sukar untuk memilih siapa yang jujur dan siapa tidak. Mungkin ada yang menyertai UMNO dengan tujuan membuat kacau, malah mengubahnya dari dalam. Biar apa pun, faktor utama yang akan menentukan sama ada UMNO akan semakin berkembang atau tidak pada masa hadapan ialah apa yang dilakukan oleh penyokong-penyokong PH dan kerajaan PH.

Lagi banyak tuntutan dibuat oleh kumpulan-kumpulan seperti Hindraf (atau serpihannya), Dong Zong dan Komango, malah DAP dan lagi banyak tuntutan mereka dilayan, semakin sedarlah orang Melayu bahawa hak mereka semakin terhakis.

Itu akan menyebabkan orang Melayu marah dan kembali kepada UMNO. (Maaf jika saya katakan orang Melayu kerapkali membuat keputusan kerana marah, bukan kerana fikir). Pada masa itu mungkin anak-anak muda yang disebut awal tadi pun, akan mula sedar.

Sebaliknya, jika kerajaan PH pandai menjaga hak dan kepentingan semua pihak dengan adil mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan orang Melayu merasai bahawa hak mereka terjamin, masa depan UMNO mungkin malap.

Bagi saya itu tidak mengapa. Pokok pangkalnya hak semua pihak dipelihara dengan adil, mengikut peruntukan Perlembagaan, seperti yang dilakukan semenjak merdeka. Kita tidak kisah siapa melakukan, asalkan ia dilakukan. UMNO bukan matlamat. Ia hanya alat untuk mencapai semua itu.

Tetapi, jika keadaan demikian berlaku pun, UMNO perlu terus ada untuk menjadi penjaga kepentingan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Satu perkara yang perlu diingatkan ialah penghakisan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu bukan hanya boleh dilakukan melalui pindaan Perlembagaan. Perlembagaan tidak perlu dipinda, tetapi penghakisan boleh dibuat melalui tindakan pentadbiran.

Memberi beberapa contoh, pertama, jika seperti yang dijanjikan dalam kempen Pilihan raya PH bahawa jumlah kakitangan awam akan dikurangkan separuh. Siapa yang akan dibuang kerja itu jika bukan orang Melayu? Apabila bilangannya ditambah semula, nisbahnya semestinya akan merugikan orang Melayu.

Kedua, katakan sahaja biasiswa diberi mengikut merit, bilangan pelajar Melayu yang memperolehi biasiswa akan berkurangan berbanding dengan pelajar Cina.

Sekarang, nasib baiklah terdapat Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah-sekolah menengah seperti Sekolah Tunku Khursiah, Sekolah Seri Putri, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Sekolah Datuk Abdul Razak dan lain-lain. Tetapi, berapa ramaikah pelajar yang boleh masuk ke sekolah-sekolah itu? Apatah lagi jika sekolah-sekolah itu dibuka kepada pelajar-pelajar bukan Melayu.

Yang lainnya kekal di sekolah-sekolah di luar bandar dan tinggal di kampung yang kurang kondusif untuk belajar berbanding dengan pelajar-pelajar Cina yang tinggal di bandar-bandar besar, berdekatan sekolah-sekolah ternama, tinggal di rumah yang jauh lebih selesa dan ibu bapa berpendapatan jauh lebih tinggi dan mampu membayar guru tuisyen.

Saya bercakap daripada pengalaman sendiri. Sila baca biografi di laman web saya. Saya tidak pernah termimpi untuk dapat masuk ke Universiti Harvard atau London School of Economics and Political Science. Anak-anak saya berjaya belajar di universiti-universiti itu, malah berjaya pula mendapat biasiswa Fulbright dan Matsushita Internal Foundation.

Bezanya antara mereka dengan saya ialah mereka tidak mengalami kelemahan yang saya alami.

Ketiga, kerajaan PH boleh menutup beberapa universiti dan institusi Islam, malah jabatan Islam atas alasaan ia terlalu banyak, bertindan, tidak perlu atau, kurangkan sahaja perbekalan kepada universiti-universiti, institusi-institusi Islam dan jabatan itu!

Jika UMNO dapat dipulihkan sekalipun, selagi orang Melayu berpecah-belah, politik orang Melayu akan terus lemah. UMNO, Pas dan Perkasa perlu mencari jalan untuk bersatu atau berkerjasama.

Kebanyakan ahli Perkasa adalah bekas atau masih menjadi ahli UMNO. Saya dapati mereka itu berjiwa Melayu seperti ahli-ahli UMNO di tahun 1950-an. Mereka kecewa dengan UMNO. Saya fikir mereka patut kembali kepada UMNO. Mereka tidak sepatutnya menubuh parti baru. Ia hanya akan lebih mengeliru dan memecah-belahkan orang Melayu.

Saya telah banyak menulis mengenai perlunya kerjasama antara UMNO dan Pas demi menjaga kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Saya tidak akan mengulanginya di sini. Sila rujuk laman web saya.

Memadailah dengan mengatakan bahawa di Pantai Barat, adalah jelas bahawa perlawanan tiga penjuru merugikan UMNO dan Pas. Ini perlu dielak pada masa hadapan.

Untuk itu, kedua-dua pihak hendaklah mengetepikan kepentingan diri dan parti dan mencari jalan berkerjasama dalam PRU yang akan datang.

Wallahu alam.

PENULIS ialah bekas Ketua Hakim Negara.